Sabtu, 27 November 2021 | 4:44pm
Aina bersama ibunya, Zaini Abdullah pada sesi konvokesyen di kampus Universiti UCSI di ibu negara, pagi tadi. Foto Ihsan Aina Abdul
Aina bersama ibunya, Zaini Abdullah pada sesi konvokesyen di kampus Universiti UCSI di ibu negara, pagi tadi. Foto Ihsan Aina Abdul

Aina sudah bergelar graduan

KUALA LUMPUR: Selepas empat tahun bertungkus-lumus membahagikan masa antara akademik dan komitmen seni, penyanyi dan komposer, Aina Abdul, 28, akhirnya menamatkan pengajian dalam bidang muzik kontemporari di Universiti UCSI, hari ini.

Majlis graduasi Aina berlangsung di Dewan Tan Sri Ahmad Razali di kampus universiti itu, pagi tadi.

Aina atau nama penuh, Nurul Aina Abdul Ghani mengaku sukar untuk belajar dan bekerja pada masa sama.

"Saya sebenarnya sudah habis belajar tahun lalu. Namun, majlis konvokesyen ditangguhkan kerana pandemik COVID-19.

"Syukur, akhirnya majlis graduasi berlangsung pagi tadi. Secara rasminya, saya sudah berjaya menggenggam segulung ijazah sarjana muda.

Aina bersyukur penat lelah empat tahun membahagikan masa antara karier seni dan akademik membuahkan hasil apabila berjaya menggenggam segulung ijazah sarjana muda dalam bidang muzik kontemporari. Foto Ihsan Aina Abdul
Aina bersyukur penat lelah empat tahun membahagikan masa antara karier seni dan akademik membuahkan hasil apabila berjaya menggenggam segulung ijazah sarjana muda dalam bidang muzik kontemporari. Foto Ihsan Aina Abdul

"Bukan mudah untuk saya belajar dan bekerja. Namun, saya berusaha mahu menamatkan pengajian. Ada ketika saya letih tetapi saya harus cuba bersungguh-sungguh," katanya.

Aina mengaku pernah berhasrat menangguhkan pengajian disebabkan kesibukan karier seni.

"Saya pernah menangguhkan pengajian pada akhir 2014 kerana menyertai Mentor Legend. Selepas itu, saya mula mencari tapak dalam bidang seni dan pada masa sama, sambung belajar.

"Saya sedar menyanyi sahaja tidak cukup, saya harus melengkapkan diri dengan ilmu. Lagipun, saya belajar dalam bidang muzik. Jadi, saya banyak guna apa yang saya pelajari dalam karier seni," katanya.

Aina yang meraih trofi kategori Artis Kolaborasi/Duo/Berkumpulan Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34 bersama Khai Baharu untuk lagu Nafas Cinta, baru-baru ini, berterima kasih kepada semua pihak yang sentiasa memberi sokongan positif.

"Sekalung penghargaan kepada keluarga, pensyarah, universiti dan rakan-rakan yang banyak memberi sokongan tidak berbelah bahagi.

"Kelab peminat saya, Ainations juga menjadi pembakar semangat untuk saya melangkah maju. Setiap kali jika saya rasa lemah semangat, saya terus teringat insan yang menyokong saya.

"Saya tak boleh berhenti kerana ramai yang memberi sokongan dan aura positif untuk melihat saya melangkah jauh. Saya harus membanggakan mereka," katanya.

Berita Harian X