X
Jumaat, 26 November 2021 | 7:00pm
Laman web www.abpbh.com.my mencatatkan jumlah halaman dilihat (page views) sebanyak 16,440,800 sejak ABPBH 34 dilancarkan pada 10 September lalu.
Laman web www.abpbh.com.my mencatatkan jumlah halaman dilihat (page views) sebanyak 16,440,800 sejak ABPBH 34 dilancarkan pada 10 September lalu.

ABPBH 34 terima undian tertinggi

KUALA LUMPUR: Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34 yang melabuhkan tirai di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) di sini, pada 13 November lalu, mencipta sejarah apabila sebanyak 356,304,981 undi diterima sepanjang tempoh kempen undian selama 46 hari, suatu pencapaian tertinggi sejak lebih tiga dekad acara anugerah pilihan peminat ini dianjurkan.

Statistik diperoleh daripada Rev Media Group (RMG), iaitu pengendali laman web rasmi ABPB34, www.abpbh.com.my melalui undian daripada peminat dalam 14 kategori utama dan enam kategori online.

Laman web ini mencatatkan jumlah halaman dilihat (page views) sebanyak 16,440,800.

Rekod baharu ini mengatasi jumlah undian diterima ABPBH 33 iaitu 174,745,345 undi.

Kempen undian ABPBH34 dilancarkan mulai jam 12 tengah hari pada 10 September sehingga 3 Oktober lalu, iaitu bagi peringkat pencalonan awal Top 20 disusuli undian pusingan akhir, Top 5 mulai 10 Oktober hingga 31 Oktober.

Janna melakar sejarah peribadi apabila merangkul trofi Bintang Paling Popular dengan undian tertinggi lebih 86 juta. Foto NSTP
Janna melakar sejarah peribadi apabila merangkul trofi Bintang Paling Popular dengan undian tertinggi lebih 86 juta. Foto NSTP

Bertemakan #KITABERSAMA, ABPBH 34 yang dibawa penaja utama, Xiaomi juga menyaksikan rekod baharu dicipta apabila Janna Nick yang merangkul trofi Bintang Paling Popular, memperoleh 86,374,777 undi.

Janna yang mula menceburkan diri dalam dunia seni sejak sembilan tahun lalu, mengumpul undian tertinggi dalam sejarah penganjuran ABPBH, menewaskan calon 'favourite' seperti Haqiem Rusli, Siti Nordiana, Khai Bahar, Siti Saleha dan Ben Amir.

Selain trofi utama, pelakon, pengacara, penyanyi dan pengarah popular berusia 26 tahun ini membolot trofi Pelakon Filem Wanita Popular mengetepikan empat calon lain iaitu Sherry Alhadad, Nelydia Senrose, Zahirah MacWilson dan Aprena Manrose.

Janna atau nama sebenar, Nurul Jannah Muner turut memenangi trofi Pengacara TV Popular menewaskan Azira Shafinaz, Mira Filzah, Sherry dan Jihan Muse.

Pada ABPBH 33, Haqiem terpilih sebagai Bintang Paling Popular. Penyanyi, komposer dan penulis lirik berusia 22 tahun itu memperoleh 22,332,676 undi.

Selain trofi utama, Haqiem memenangi kategori Penyanyi Lelaki Popular Xiaomi Malaysia yang menyaksikan penyanyi itu memecah dominasi Khai Bahar yang tiga tahun berturut-turut memegang takhta itu. Haqiem juga mengungguli kategori Lagu Paling Boom Popular dengan single Lembah Kesepian.

Pada ABPBH 34, peminat boleh mengundi artis kesayangan dalam 14 kategori utama dan enam kategori online melalui lapan kaedah termasuk enam cara mengundi bersama penaja utama ABPB 34, Xiaomi.

Kaedah undian secara percuma melalui laman web rasmi ABPBH 34, iaitu www.abpbh.com.my; undian melalui langganan akhbar BH cetak dan digital, selain enam kaedah undian bersama Xiaomi.

Peningkatan tertinggi jumlah undian diterima menunjukkan peminat menggunakan pelbagai cara dan platform untuk mengundi selebriti kegemaran mereka pada edisi ABPBH kali ini.

Dalam hal ini, jumlah undian tertentu ditetapkan bagi setiap cara mengundi dan jumlah undian, menjadikan ia tidak bersamaan dengan bilangan pengundi.

Peminat juga boleh mengundi beberapa kali untuk cara undian yang sama dalam tempoh kempen mengundi kerana tiada had ditetapkan.

Semua terma dan syarat undian dipaparkan dalam laman web rasmi www.abpbh.com.my dan media sosial BH dan TV3 selaku penyiar rasmi sebaik ABPBH 34 dilancarkan pada 10 September lalu.

ABPBH 34 yang dikendalikan mengikut amalan norma baharu dan mendapat kebenaran Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan untuk industri kreatif dan tiada penonton.

Berita Harian X