Ahad, 24 Oktober 2021 | 7:05pm
Sweet dan Adam merancang mengikat pertunangan selama setahun. Foto Ihsan Sweet Qismina
Sweet dan Adam merancang mengikat pertunangan selama setahun. Foto Ihsan Sweet Qismina

'Bukan babak drama, kami betul bertunang'

KUALA LUMPUR: Tiga tahun menyulam cinta, pasangan sama cantik sama padan, Sweet Qismina dan Adam Lee mengikat tali pertunangan, petang tadi.

Majlis berlangsung di sebuah premis persendirian di Ampang, dihadiri 20 tetamu dalam kalangan ahli keluarga masing-masing dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Bertemakan putih dan songket, majlis pertunangan lebih manis apabila Sweet atau nama sebenarnya, Farhanna Qismina Supandi menyambut ulang tahun kelahiran ke-24.

Adam dan Sweet masing-masing finalis Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34, memuat naik foto pertunangan di Instagram (IG).

"Ini bukan babak penggambaran drama, kami betul-betul bertunang," kata Qismina yang meraih trofi Artis Baharu Wanita Popular ABPBH 3.0 ini.

Pada ABPBH 34, Sweet tercalon dalam kategori Pelakon TV Wanita Popular dan Gandingan Serasi Drama Popular bersama Adam bagi drama lakonan mereka, Bidadari Salju.

Pada majlis pertunangan itu, Sweet menyerahkan tujuh dulang hantaran berbalas lima dulang daripada Adam.

Selepas tiga tahun menyulam cinta, Adam dan Sweet mengikat pertunangan di sebuah premis acara di Ampang, petang tadi. Foto Ihsan Sweet Qismina
Selepas tiga tahun menyulam cinta, Adam dan Sweet mengikat pertunangan di sebuah premis acara di Ampang, petang tadi. Foto Ihsan Sweet Qismina

Sweet berkata, majlis pertunangan itu sudah lama dirancang.

"Kebetulan majlis pertunangan kami berlangsung dalam 'perang' kempen ABPBH 34. Ini bukan gimik, sebenarnya rezeki.

"Peminat kami sudah lama menanti ikatan terjalin. Sama juga dengan peminat di Indonesia yang bertanya-tanya 'kapan' (bila) mahu ada ikatan sah.

"Jadi, ini mukadimah sebelum kami melangkah ke fasa seterusnya," katanya.

Sweet berkata, mereka sepakat mengikat tali pertunangan selama setahun.

"Perancangan atau keputusan untuk berkahwin belum ada lagi. Kita selesaikan yang ini (bertunang) dahulu.

"Lagipun, sektor kreatif sudah kembali aktif selepas kerajaan melonggarkan SOP. Ini masa untuk kami bekerja semula," katanya.

Hubungan pasangan ini dikatakan mekar selepas Sweet mempelawa Adam menemaninya menghadiri ABPBH 31 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 2018. Sebelum itu, mereka digandingkan dalam drama Adam Chempaka.

Berita Harian X