Selasa, 12 Oktober 2021 | 1:01pm
Penyanyi tersohor, Siti Nurhaliza kembali memeriahkan senarai pencalonan, manakala Siti Nordiana saban tahun naik ke pentas ABPBH menerima trofi kemenangan.
Penyanyi tersohor, Siti Nurhaliza kembali memeriahkan senarai pencalonan, manakala Siti Nordiana saban tahun naik ke pentas ABPBH menerima trofi kemenangan.

'Cita rasa pengundi sukar dijangka'

KUALA LUMPUR: Kini, terjawab sudah persoalan siapakah yang berjaya membolosi senarai Top 5, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34 selepas keputusan penuh bagi dua kategori dipertandingkan iaitu utama dan online diumumkan penganjur, BH, kelmarin.

Melihat senarai nama artis yang berjaya bergelar finalis ternyata cita rasa pengundi sukar untuk dijangka. Populariti bagi mereka cukup subjektif.

Ada yang memilih disebabkan produk atau hasil kerja artis yang diminati. Kelompok ini dilihat konsisten mengikuti setiap inci perkembangan artis kesayangan mereka.

Malah, sokongan diberikan tidak pernah berbelah-bahagi. Buktinya, mereka mencalonkan artis yang disanjungi dalam apa juga kategori ataupun dalam mana-mana acara anugerah, pasti nama mereka akan sangkut sebagai finalis.

Antara artis yang boleh dikategorikan sebagai bertuah adalah penyandang trofi Bintang Paling Popular ABPBH 33, Haqiem Rusli, Mira Filzah, Khai Bahar, Siti Nordiana, DJ Lin dan penyanyi tersohor yang kembali memeriahkan senarai pencalonan iaitu Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Boleh dikatakan, saban tahun nama-nama ini pasti naik ke pentas menerima trofi kemenangan.

Faktor lain turut mempengaruhi undian adalah hubungan atau keakraban artis dan peminat. Salah satu formula untuk meraih undian adalah kerjasama erat antara kedua-dua pihak.

Menjadi satu bonus kepada calon jika mereka mempunyai kelab peminat yang aktif dan bijak menyusun strategi bagi memastikan kemenangan berpihak kepada artis kesayangan mereka.

Ada juga artis yang mewujudkan kumpulan dalam aplikasi WhatsApp untuk memudahkan komunikasi.

Formula ini mula dipraktikkan ketika zaman Siti Nurhaliza masih bertanding apabila kelab peminatnya, Sitizone bekerja keras hingga melayakkan penyanyi Aku Bidadari Syurgamu dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular sebanyak tujuh kali dan menggenggam 13 trofi Penyanyi Wanita Popular.

Pelakon senior, Sharnaaz membuktikan masih relevan dan mampu memberi saingan kepada artis baharu yang semakin ramai bagai cendawan tumbuh selepas hujan. - Foto IG Sharnaaz Ahmad
Pelakon senior, Sharnaaz membuktikan masih relevan dan mampu memberi saingan kepada artis baharu yang semakin ramai bagai cendawan tumbuh selepas hujan. - Foto IG Sharnaaz Ahmad

Kejayaan itu turut menghadiahkan penyanyi bervokal ampuh itu dengan pengiktirafan khas, Anugerah Sri Perak sempena sambutan ulang tahun ABPBH Ke-25 pada 2011.

Mengikut jejak langkah penyanyi ini adalah Mawi apabila kelab peminatnya, Mawi FC menghadiahkan dengan tiga trofi Bintang Paling Popular, diikuti pelakon dan penyanyi Fattah Amin yang juga disokong kuat oleh kelab peminat, The Fa Team apabila dijulang sebagai Bintang Paling Popular ABPBH 3.0.

Selebriti lain turut disokong kuat kelab peminat hingga memenangi trofi Bintang Paling Popular adalah Neelofa (Neelofa Team), Wany Hasrita (The Nizer) dan Haqiem Rusli (Qiemilio).

Wany dan Haqiem juga dilihat masih utuh meneruskan penguasaan dalam ABPBH 34 apabila masih bergelar finalis.

Meskipun ada yang beranggapan produk atau hasil kerja sebagai faktor utama kejayaan dalam menduduki senarai Top 5, namun satu hakikat yang harus diakui adalah kontroversi turut memainkan peranan.

Ibarat rempah ratus menyedapkan lagi masakan, gosip dan cerita sensasi yang melingkari kisah hidup artis turut membantu untuk menarik perhatian khalayak.

Bukan menafikan bakat yang ada cuma, apabila seseorang artis dilanda kontroversi, dia akan cepat dikenali terutama pada era penguasaan media sosial seperti hari ini.

Jika tidak, masakan ada segelintir selebriti menggunakan media sosial untuk memuat naik foto atau meluahkan perasaan berbaur sensasi dengan harapan tindakan mereka dapat memancing perhatian khalayak termasuk media.

Semakin kerap wajah terpampang di akhbar, ditayangkan di kaca televisyen serta media baharu hingga menjadi bahan perdebatan netizen, peluang untuk meraih populariti segera lebih cerah.

Mira antara artis yang dikategori bertuah kerana saban tahun membolosi senarai Top 5, ABPBH 34. - Foto IG Mira Filzah
Mira antara artis yang dikategori bertuah kerana saban tahun membolosi senarai Top 5, ABPBH 34. - Foto IG Mira Filzah

Walaupun ada berpendapat, anugerah berdasarkan pilihan peminat lebih memihak kepada artis muda, andaian itu nyata tidak relevan lagi.

Tempoh pembabitan dalam bidang seni, paras rupa, usia mahupun status diri bukan satu 'badi' hingga ada yang menyerah kalah lebih awal atas alasan ingin memberi laluan kepada artis muda.

Pelakon senior, Liza Abdullah, Erra Fazira, Sharifah Shahirah, DJ Lin, Kumpulan Inteam dan Sharnaaz Ahmad membuktikan mereka masih relevan dan mampu memberi saingan kepada artis baharu yang semakin ramai bagai cendawan tumbuh selepas hujan.

Seperkara menjadikan ABPBH 34 lebih bervariasi adalah kehadiran calon seperti Syahmi Sazli yang tersenarai sebagai finalis kategori Pelakon Filem Lelaki Popular, Asif Suhaimi (Artis Komedi Popular) dan Norreen Iman (Artis Baharu Wanita Popular) di mana wajah mereka terlebih dahulu dikenali di pelantar YouTube sebelum terjun ke arus perdana.

Kehadiran ramai muka baharu sebagai seperti Sissy Imann, Naqiu, Aprena Manrose, Izuan Fitri, Siti Elizad dan Tyzo dilihat

memeriahkan lagi acara untuk tahun ini.

Kesimpulannya, populariti boleh diraih dengan pelbagai cara. Malah, tiada syarat atau formula khusus untuk menentukan apakah kaedah yang dipilih dihalalkan ataupun dilarang.

Apa yang pasti, apabila peminat yang menjadi juri, siapapun pilihan dibuat, kita harus akur kerana itu adalah mandat mereka dan terima keputusan dengan hati terbuka.

Tahniah kepada semua artis yang berjaya membolosi Top 5, ABPBH 34 dan kepada peminat, selamat mengundi.

Berita Harian X