Khamis, 23 September 2021 | 6:30pm

'Penyakit misteri, kemurungan sebab popular'

KUALA LUMPUR: Daripada anak felda yang naif dan tidak punya apa-apa, kehidupan penyanyi Mawi, 38, berubah 360 darjah selepas menjuarai program realiti, Akademi Fantasia 3 (AF3) pada 2005.

Sebaik sahaja bebas selepas tiga bulan terkurung dalam sangkar emas AF, dunia Mawi atau nama sebenarnya, Asmawi Ani bagaikan 'terbalik' dalam sekelip mata.

Bagi penyanyi kelahiran Felda Taib Andak, Kulai, Johor itu, apa yang terbentang di hadapan matanya adalah satu pemandangan yang cukup asing.

Cukup janggal apabila ramai tidak dikenali meneriak, memanggil nama, menyerbu dan berebut-rebut mahu merakamkan foto bersama.

Pelbagai gelaran diberikan termasuklah gelombang Tsumawi, Mawi World, Mawimania dan penyanyi jolokan Raja SMS menjadikan anak kelima daripada enam beradik itu sebagai pencetus fenomena baharu.

Namun, lebih membuatkan Mawi terkejut apabila dijulang Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) pada 2005, sekali gus menewaskan nama besar termasuk penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Mawi bersama kereta Kia Optima Edisi Terhad yang dimenangi apabila diangkat sebagai Bintang Paling Popular, ABPBH pada 2005.
Mawi bersama kereta Kia Optima Edisi Terhad yang dimenangi apabila diangkat sebagai Bintang Paling Popular, ABPBH pada 2005.

Mengimbau kembali momen indah itu, Mawi mengakui, setiap pengalaman manis dilalui masih tersimpan dalam kotak ingatan, biarpun sudah 16 tahun berlalu.

"Saat paling saya tidak boleh lupa ketika pengacara mengumumkan saya sebagai pemenang Bintang Paling Popular, dalam anugerah sebesar ABPBH 2005.

"Namun, satu lagi momen yang masih terngiang-ngiang apabila saya kena 'boo' dengan penonton ketika diumumkan sebagai finalis kategori Penyanyi lelaki Popular. Ketika itu juga, tahun keempat saya dicalonkan sebagai Bintang Paling Popular.

"Puncanya, saya mengumumkan kisah cinta dan bakal berkahwin dengan isteri, Nora'Asikin Rahmat atau Ekin beberapa jam sebelum malam kemuncak ABPBH pada 2010.

"Ia menjadi pengalaman baharu apabila saya pernah melalui situasi nama disorak kerana menang trofi dan kena 'boo' akibat dedah kisah peribadi dalam anugerah sama," katanya kepada BH Online.

Menyandang gelaran Bintang Paling Popular selama tiga tahun berturut-turut, penyanyi Aduh! Salih itu menyifatkan di sebalik kemasyhuran yang dimilikinya, ada harga yang perlu dibayar.

"Apabila diimbas semula kejayaan diperoleh, hanya kesyukuran mampu dipanjatkan. Malah, saya memang tidak pernah terfikir langsung kehidupan saya seakan berputar dengan begitu ketara.

"Terus-terang, berdasarkan pengalaman sendiri, gelaran popular diberikan tidak seindah yang dibayangkan. Apabila semakin dikenali, tiada lagi kebebasan dalam kehidupan.

"Segala gerak-geri akan diperhati dan apa sahaja dilakukan, orang luar ambil tahu. Tiada lagi persoalan peribadi dalam hidup kerana segala-galanya perlu dikongsi," luah Mawi.

Mawi kini bahagia melayari bahtera rumah tangga bersama wanita dicintainya, Ekin dan anak tunggal, Cahaya Malaika yang kini berusia 9 tahun.
Mawi kini bahagia melayari bahtera rumah tangga bersama wanita dicintainya, Ekin dan anak tunggal, Cahaya Malaika yang kini berusia 9 tahun.

Justeru, apabila timbul cakap-cakap nakal yang mengatakan populariti semakin merudum hanya kerana status bergelar suami, Mawi tidak pernah berkecil hati.

Baginya, apa yang berlaku adalah satu rahmat kerana ia menandakan segala doa dipanjatkan dimakbulkan Tuhan.

"Ramai anggap populariti saya semakin merudum. Dan, saya sendiri tidak pernah kisah populariti naik atau menurun.

"Mungkin orang tak tahu saya pernah berdepan penyakit misteri dan kemurungan hanya kerana populariti sekelip mata yang diraih.

"Jujurnya, saya takut dengan perhatian dan dipuja berlebihan. Bayangkan, daripada anak kampung yang bukan siapa-siapa, nama saya Mawi mencetuskan fenomena dalam tempoh tiga bulan menyertai AF.

"Saya hanya mahu hidup kembali seperti biasa. Bukan tidak bersyukur dengan populariti diraih, tetapi saya lebih selesa kesederhanaan.

"Justeru, saya mula tenang apabila perhatian diberikan tidak sehangat dahulu. Saya tidak lagi tertekan dan dapat menjalani kehidupan biasa," ungkap Mawi yang juga bergelar penyampai radio Zayan FM.

Meskipun nama Mawi tidak lagi sehangat dahulu, namun tiada sekelumit perasaan kesal atau kecewa dalam hati.

Malah, bapa kepada seorang cahaya mata itu berkata, hidupnya cukup lengkap dan sempurna dengan kerjaya seni semakin stabil serta bahagia melayari rumah tangga bersama wanita dicintai.

Mawi kini bergelar pengarah filem dan bakal muncul dengan karya kedua berjudul Hantu Kuat Ketawa.
Mawi kini bergelar pengarah filem dan bakal muncul dengan karya kedua berjudul Hantu Kuat Ketawa.

"Tiada apa lagi didambakan dalam hidup kerana apa yang dimiliki, sudah cukup membahagiakan. Saya ada keluarga, masih aktif dalam industri seni dan melakukan kerja yang disukai.

"Bermula nyanyian, saya mengorak langkah dengan pencipta lagu, lirik, skrip, mengarah filem dan bergelar penyampai radio Zayan FM.

"Jujurnya, saya sendiri tidak tahu dari mana datangnya kekuatan. Bagaimanapun, saya yakin segala kehebatan dari Allah, saya hanya mampu berserah kepada-Nya," ujarnya.

Terdahulu, Mawi mengungguli kategori Penyanyi Lelaki Popular dan Bintang Paling Popular pada 2005, 2006 dan 2007.

Filem Tiada Tajuk dihasilkan pada 2019 menjadi karya pertama arahan Mawi. Bakal muncul dengan naskhah filem baharu berjudul Hantu Kuat Ketawa ditayangkan di Astro First.

Berita Harian X