Khamis, 23 September 2021 | 12:00pm
Mohd Mahyidin berpendapat perancangan misi pemasaran ke pasaran antarabangsa seperti Cannes, Perancis, Hong Kong dan Singapura harus digerakkan semula. - Gambar Hiasan
Mohd Mahyidin berpendapat perancangan misi pemasaran ke pasaran antarabangsa seperti Cannes, Perancis, Hong Kong dan Singapura harus digerakkan semula. - Gambar Hiasan

CCAM sedia anjur persidangan rangsang ekonomi jingga

KUALA LUMPUR: Persatuan Kandungan Kreatif Malaysia (CCAM) menyokong saranan Pengerusi MyCreative Ventures Sdn Bhd, Noor Azmi Mat Said agar kerajaan terus mengetengahkan dan menyokong pembangunan ekonomi kreatif pada Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan Belanjawan 2022 bagi merangsang kembali ekonomi kreatif yang merudum akibat pandemik COVID-19.

Ketua Pegawai Eksekutif CCAM, Datuk Mohd Mahyidin Mustakim, berkata sebagai persatuan mewakili penerbit kandungan kreatif, mereka menyokong saranan Noor Azmi serta berharap kerajaan memberi perhatian dan peruntukan sewajarnya ketika industri kreatif kembali bernafas.

"Industri kreatif merangkumi beberapa bidang. Antara yang terbesar adalah industri kandungan digital merangkumi filem, program televisyen (TV), animasi dan dokumentari.

"Hasil pengeluaran sektor itu dianggarkan bernilai RM29 billion setahun dengan ratusan ribu pekerja. Sebelum ini, usaha mengekalkan industri dibuat kerajaan dengan menyediakan dana kepada penerbit.

"CCAM berpendapat industri kreatif harus dibantu di peringkat seterusnya iaitu dengan usaha menggalakkan pemasaran," katanya kepada BH Online.

Dengan keadaan ekonomi dan gelembung perniagaan yang sudah mula dibuka, katanya, perancangan misi pemasaran ke pasaran antarabangsa seperti di Cannes, Perancis, Hong Kong dan Singapura harus digerakkan semula.

"Bagi penerbit dan pemain industri tempatan mungkin lebih sesuai untuk mereka meneroka peluang perniagaan dengan menghadiri majlis pasaran dan persidangan yang dianjurkan dalam negeri.

"Cadangan majlis ini merangkumi beberapa bidang seperti kandungan digital, muzik, fesyen dan seni persembahan seperti dikemukakan MyCreative Ventures untuk pertimbangan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM)," katanya lagi.

Mohd Mahyidin berharap kerajaan memberi perhatian dan peruntukan sewajarnya untuk industri kreatif kembali bernafas.
Mohd Mahyidin berharap kerajaan memberi perhatian dan peruntukan sewajarnya untuk industri kreatif kembali bernafas.

Mohd Mahyidin percaya, majlis dan persidangan itu akan membuka ruang kepada pemain tempatan untuk meneroka pasaran baharu di dalam mahupun luar negara.

Ini termasuk menyediakan platform sesuai untuk penerbit berinteraksi dengan penyiar baharu seperti stesen TV yang baru muncul, penyiar platform Over The Top (OTT), pengedar antarabangsa dan tokoh serta penggerak terkenal yang berjaya dalam bidang masing-masing.

"CCAM yang ahlinya merangkumi penerbit dan penggerak industri kreatif negara berpengalaman luas menganjurkan beberapa persidangan.

"Kami sedia menawarkan khidmat untuk mengelolakan acara sedemikian bagi melonjakkan kembali sektor industri kreatif.

"Justeru kami berharap agar KKMM dan Kementerian Kewangan dapat memberikan sokongan kepada industri kreatif melalui peruntukan RMK -12 dan Bajet 2022 agar ekonomi industri kreatif rancak kembali," katanya.

Berita Harian X