Selasa, 21 September 2021 | 5:33pm
Ramlah bimbang keadaan ibunya yang disahkan positif COVID-19, kelmarin. - Foto IG Ramlah Ram
Ramlah bimbang keadaan ibunya yang disahkan positif COVID-19, kelmarin. - Foto IG Ramlah Ram

Ramlah risau ibu usia 80 tahun positif COVID-19

KUALA LUMPUR: Tiada yang lebih merisaukan penyanyi popular era 1980-an, Ramlah Ram, 56, apabila ibunya disahkan positif COVID-19, kelmarin.

Penyanyi lagu Kau Kunci Cintaku Dalam Hatimu itu berkata, awalnya ibunya mengalami demam, tetapi keadaannya semakin stabil.

Namun, katanya, dia tetap risau memandangkan ibunya sudah berusia 80 tahun dan menghidap beberapa penyakit seperti darah tinggi, kencing manis dan kolesterol.

Selain ibu, adiknya, Shafiei turut menjalani kuarantin kendiri berikutan menjadi kontak rapat. Ibunya kini menjalani kuarantin di rumah abangnya, manakala adiknya pula di rumahnya sendiri.

"Keadaan Shafiei, semakin okay dan menjadi kontak rapat. Dia hanya menjalani kuarantin kendiri di rumah.

"Namun, saya lebih bimbang mengenai mak memandangkan sudah berusia. Bagaimanapun, keadaan mak semakin stabil dan hanya menjalani kuarantin di rumah.

"Mak juga sudah ada selera makan walaupun sedikit," katanya kepada BH Online.

Ramlah memuat naik hantaran menerusi laman Instagram memohon peminat mendoakan kesembuhan ibu, adik dan ahli keluarganya di Kluang, Johor agar dihindari COVID-19. - Foto IG Ramlah Ram
Ramlah memuat naik hantaran menerusi laman Instagram memohon peminat mendoakan kesembuhan ibu, adik dan ahli keluarganya di Kluang, Johor agar dihindari COVID-19. - Foto IG Ramlah Ram

Terdahulu, juara Bintang RTM 1985 itu memuat naik hantaran menerusi laman Instagram, semalam, memohon peminat mendoakan kesembuhan ibu, adik dan ahli keluarganya di Kluang, Johor agar dihindari COVID-19.

"Assalamualaikum, saya hamba yang tidak berdaya ini, memohon bantuan semua. Tolong doakan mak dan adik, Shafiei cepat sembuh. Dan semua ahli keluarga saya di Kluang, semoga mereka dijauhkan daripada wabak ini.

"Mereka baru disahkan, semalam. Saya tidak tahu hendak buat apa lagi, hanya mampu berdoa pada Allah. Saya amat risaukan keadaan mak yang berusia mencecah 80 tahun.

"Sekali lagi, mohon tolong doakan kesembuhan mak dan adik saya. Semoga Allah akan membalas jasa baik anda berlipat kali ganda... Amin," tulisnya.

Berita Harian X