Ahad, 28 Februari 2021 | 11:03am
Daus Eli mengakui kesilapan terlalu taksub membuat kemunculan semula, namun tidak menyedari tindakannya melukakan hati bekas isteri. - Foto IG Daus Eli
Daus Eli mengakui kesilapan terlalu taksub membuat kemunculan semula, namun tidak menyedari tindakannya melukakan hati bekas isteri. - Foto IG Daus Eli

Daus tetap jaga hati bekas isteri

KUALA LUMPUR: Lantaran terlalu taksub membuat kemunculan semula dalam bidang nyanyian, penyanyi, Daus Eli tidak menyedari dirinya mengenepikan perasaan insan lain semata-mata mahu melonjakkan namanya kembali.

Dalam keghairahan meluncurkan single Takdir Kita dikaitkan dengan kisah kegagalan rumah tangga bersama bekas isteri, Syaza Shamimi Jalaludin Khan, pemenang tempat ketiga program realiti, Akademi Fantasia musim kelapan (AF8) itu tidak menyangka bekas isteri dan keluarga mentua terasa hati dengan tindakannya.

Meskipun kekecewaan tidak disampaikan secara berdepan kepadanya, namun ada insan lain memaklumkan mengenai perasaan bekas isteri dan ahli keluarga yang terguris dengannya.

Enggan terus melukakan perasaan bekas isteri, Daus mengambil tindakan menarik semula video muzik Takdir Kita daripada laman YouTube.

"Jika difikirkan semula, tindakan saya agak keterlaluan. Saya tidak sepatutnya berbuat sedemikian dan mementingkan diri. Saya akui, terlalu taksub dengan strategi pemasaran untuk membuat kemunculan semula.

"Saya langsung tidak memikirkan hati dan perasaan orang lain. Baru sahaja mahu kembali menempa nama, kini saya terpaksa menanggung kerugian apabila single Takdir Kita ditarik balik demi menjaga hati perasaan bekas isteri dan keluarganya.

"Jujurnya, saya tidak perasan mengguris hati pihak sebelah sana. Tetapi, saya mula perasaan bekas isteri bersikap dingin setiap kali saya menghubungi anak-anak," katanya kepada BH Online.

Daus atau nama sebenarnya, Muhd Shahril Firdaus Eli berkata, sikap bekas isteri biasa sahaja sebelum muzik video Takdir Kita dilancarkan.

"Saya nampak bekas isteri mula berubah sejak video muzik Takdir Kita keluar. Walaupun tidak hidup sebumbung, tetapi saya tidak seronok dengan keadaan seperti ini. Biarlah saya kehilangan 'job', asalkan hubungan saya dengan bekas isteri dan anak-anak baik," katanya.

Daus Eli melancarkan single Takdir Kita yang dikaitkan dengan kisah rumah tangga bersama bekas isteri, Syaza Shamimi Jalaludin Khan. - Foto IG Daus Eli
Daus Eli melancarkan single Takdir Kita yang dikaitkan dengan kisah rumah tangga bersama bekas isteri, Syaza Shamimi Jalaludin Khan. - Foto IG Daus Eli

Daus berkata, tindakan dilakukan bukanlah kerana berhasrat berbaik semula dengan bekas isteri, sebaliknya tidak mahu hubungan dengan anak-anak terganggu.

"Dalam tidak sedar, saya akui, sudah mengaibkan bekas isteri. Saya benar-benar rasa serba salah. Kini, saya hanya fikirkan anak-anak. Walaupun sudah bercerai, saya mahu menjaga hubungan baik dengan bekas isteri dan keluarganya.

"Jika boleh, saya tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan. Bukan apa, ia hanya akan menyukarkan saya untuk bertanyakan khabar anak-anak jika hubungan berterusan dingin.

"Lagipun, saya tinggal di Kuala Lumpur, anak-anak pula di Sarawak. Saya tidak mahu anak-anak melupakan saya disebabkan kami berjauhan," katanya.

Katanya, tindakan menarik semula video muzik Takdir Kita adalah kehendaknya, bekas isteri dan keluarganya tidak pernah mengugut apa-apa tindakan.

"Saya kena jaga hati mereka. Bekas isteri mahupun keluarganya tidak pernah meminta atau mengugut untuk mengambil tindakan saman, tetapi ia adalah atas keputusan saya.

"Saya rasa tidak adil kerana bekas isteri bukan selebriti, jadi dia tidak boleh bersuara untuk menjelaskan keadaan sebenar. Jadi, lebih baik saya yang mengambil tindakan lebih bijak, " katanya.

Setakat ini, Nova Music sudah pun menurunkan video muzik Takdir Kita daripada saluran YouTube. Sehingga kini, Daus juga tidak mempunyai perancangan menghasilkan video muzik baharu.

Daus dan Syazaa mendirikan rumah tangga pada 7 Jun 2013 dan dikurniakan tiga cahaya mata, Delysha Senzela, 6, Myesha Sehrish, 4, dan Ayesha Sheraz yang kini berusia setahun. Pasangan itu bercerai pada 1 Februari 2019.

Berita Harian X