Jumaat, 26 Februari 2021 | 8:30am
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri merasmikan Majlis Apresiasi Seni JKKN 2021 secara virtual dengan berkonsepkan revolusi industri digital 4.0. - Foto Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri merasmikan Majlis Apresiasi Seni JKKN 2021 secara virtual dengan berkonsepkan revolusi industri digital 4.0. - Foto Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara

Penggiat seni budaya perlu manfaat teknologi digital

KUALA LUMPUR: Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) akan melaksanakan program pelancongan budaya di enam negeri sepanjang tahun ini melalui konsep dalam talian dan secara fizikal jika mendapat keizinan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Program terbabit adalah Pesta Angin Timur di Perlis; Festival Kesenian Rakyat Kelate (Kelantan) dan Festival Kota Selatan (Johor).

Turut dirancang Festival Permainan Malaysia (Kuala Lumpur), Rhythms of Kinabalu (Sabah) dan Festival Gendang (Sarawak).

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata program secara fizikal akan dikendalikan mengikut prosedur operasi standard (SOP) jika mendapat kebenaran MKN.

"Jika keadaan diizinkan oleh MKN dan kerajaan selepas Oktober depan, program pelancongan budaya akan dilaksanakan secara fizikal mengikut SOP yang ditetapkan," katanya dalam kenyataan.

Nancy berkata, bagi memastikan kesinambungan pelaksanaan program, JKKN mensasarkan 279 Indeks Prestasi Utama (KPI) membabitkan penganjuran 305 aktiviti dan program seni budaya di seluruh negara.

"Semua program ini dilaksanakan melalui medium dalam talian iaitu media sosial dan fizikal.

"Program yang akan dilaksanakan ini diharap dapat membantu dan memberi suntikan semangat kepada penggiat seni budaya untuk terus menghasilkan karya berkualiti dan bergerak ke hadapan demi kelangsungan hidup," katanya.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri. - Foto Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri. - Foto Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara

Nancy berkata, penggunaan teknologi digital adalah pendekatan paling efektif dalam menyebar maklumat dan melaksanakan aktiviti seni budaya secara maya.

"Kelebihan medium digital ini diharap mampu dimanfaatkan pemain industri seni budaya. Ini adalah cabaran baharu dan peluang untuk terus berkarya dalam keadaan ruang yang lebih luas dan terbuka.

"Saya amat berharap penggiat dan pemain industri seni budaya tidak berputus asa dan dapat menerima serta menyesuaikan diri mengikut norma baharu dalam melaksanakan aktiviti seni budaya.

"Ini adalah adaptasi baharu yang perlu diterima dan diamalkan dalam usaha memastikan industri ini terus berjalan dan disemarakkan," katanya.

Baru-baru ini, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui JKKN menganjurkan Majlis Apresiasi Seni JKKN 2021 secara virtual dengan berkonsepkan revolusi industri digital 4.0.

Majlis itu disempurnakan Nancy; Ketua Setiausaha, Datuk Dr Noor Zari Hamat dan Ketua Pengarah JKKN, Mesran Mohd Yusop.

Berita Harian X