Selasa, 23 Februari 2021 | 4:17pm
Anak kepada Seniwati Mariani Ismail, Rozita Rohaizad melakar sejarah apabila menjadi artis Malaysia pertama diundang menjayakan International Mother Language Day dalam talian. - Foto Rozita Rohaizad
Anak kepada Seniwati Mariani Ismail, Rozita Rohaizad melakar sejarah apabila menjadi artis Malaysia pertama diundang menjayakan International Mother Language Day dalam talian. - Foto Rozita Rohaizad

Rozita angkat lagu joget ke persada antarabangsa

KUALA LUMPUR: Irama joget menjadi sebahagian seni tradisional Melayu kini semakin dilupakan, khususnya generasi baharu yang lebih gemar kepada genre muzik hip hop, rock atau K-pop.

Bagaimanapun, penyanyi dan pelakon Rozita Rohaizad tidak malu mahu mengetengahkan irama tradisional Melayu ke peringkat antarabangsa ketika menyertai International Mother Language Day (Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa) yang diraikan di Aberdeen Multicultural Center, United Kingdom, Ahad lalu.

Anak kepada Seniwati Mariani Ismail itu melakar sejarah apabila menjadi rakyat Malaysia pertama diundang menjayakan festival berkenaan yang dianjurkan sejak 2019.

Sambutan setiap tanggal 21 Februari itu diperkenalkan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) bertujuan mempromosi dan memberi kesedaran mengenai kepelbagaian bahasa dipertuturkan seluruh dunia.

Berkongsi detik manis, Rozita berkata, dia memilih menyanyikan lagu etnik tradisional berjudul Joget Malam Pertama dalam persembahan yang dijayakan secara dalam talian menerusi Zoom Meeting.

"Saya merakamkan persembahan nyanyian dan tarian joget dalam video dengan memakai baju kebaya, berkain batik dan berlatarbelakangkan kereta lembu bagi memperkenalkan keunikan kebudayaan serta bahasa Melayu.

"Awalnya, saya tidak tahu menjadi artis Malaysia pertama menyertai festival ini. Saya memang terkejut, tetapi dalam masa yang sama, bersyukur kerana terpilih," katanya kepada Bernama.

Rozita Rohaizad rakam persembahan dan tarian joget dalam video ketika menyertai International Mother Language Day dalam talian di Aberdeen Multicultural Center, United Kingdom, Ahad lalu. - Foto Rozita Rohaizad
Rozita Rohaizad rakam persembahan dan tarian joget dalam video ketika menyertai International Mother Language Day dalam talian di Aberdeen Multicultural Center, United Kingdom, Ahad lalu. - Foto Rozita Rohaizad

Katanya, antara negara yang diundang membuat persembahan termasuklah Slovenia, Poland, Scotland, Colombia, India, Bangladesh, Afrika Selatan, Mexico, Venezuela dan Romania.

Sebelum ini, Rozita pernah beberapa kali mewakili negara mengadakan persembahan di festival muzik antarabangsa seperti National Multicultural Festival Canberra, Malaysia Festival Sydney dan Fuji Television Tokyo.

Anak saudara kepada Biduanita Negara, Allahyarham Puan Sri Saloma yang pernah membintangi drama bersiri, Tanah Kubur dan Gerak Khas itu berharap, pandemik COVID-19 segera berakhir.

"Saya ingin terus menjayakan persembahan di luar negara bagi memartabatkan seni budaya di persada antarabangsa," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X