Selasa, 23 Februari 2021 | 11:00am
Rosol ketika mengumumkan bayaran pendahuluan royalti sebanyak RM500 diagihkan kepada penerima, bulan lalu. Foto Ihsan KPDNHEP
Rosol ketika mengumumkan bayaran pendahuluan royalti sebanyak RM500 diagihkan kepada penerima, bulan lalu. Foto Ihsan KPDNHEP

Mula terima bayaran royalti

KUALA LUMPUR: Jaminan bahawa semua penggiat seni muzik yang terkesan dengan pembubaran konsortium Music Rights Malaysia (MRM) sejak dua tahun lalu menerima hak masing-masing, tertunai apabila bayaran pendahuluan royalti tertunggak sebanyak RM500 setiap seorang, selesai diagihkan.

Agihan pertama pembayaran royalti ini dimanfaatkan lebih 1,500 penyanyi dan pemuzik rakaman yang menjadi ahli Recording Performers Malaysia Berhad (RPM) dan Performers Rights and Interest Society of Malaysia Berhad (PRISM) yang layak.

Pemangku Pengerusi Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM), Rosmin Hashim, berkata banyak cabaran perlu diatasi bagi membolehkan penyanyi dan pemuzik menerima tunggakan royalti masing-masing, biarpun ada yang berpendapat isu berkenaan sepatutnya diselesaikan lebih awal.

Rosmin mengaku banyak cabaran perlu diatasi bagi membolehkan penyanyi dan pemuzik menerima tunggakan royalti masing-masing. Foto Ihsan Rosmin Hashim
Rosmin mengaku banyak cabaran perlu diatasi bagi membolehkan penyanyi dan pemuzik menerima tunggakan royalti masing-masing. Foto Ihsan Rosmin Hashim

"Pihak yang terbabit akan terus bekerja keras agar agihan seterusnya dapat dilaksanakan secara berperingkat hingga agihan terakhir daripada jumlah tertunggak diselesaikan," katanya.

Bulan lalu, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid mengumumkan bayaran pendahuluan royalti sebanyak RM500 bakal diagihkan kepada penerima melalui Unlogged Performance Allocation (UPA).

Agihan itu membabitkan dana royalti tertunggak sebanyak RM11,788,347.18.

Rosol dilaporkan berkata, baki agihan akan disalur berdasarkan laporan penggunaan lagu yang diperoleh daripada stesen televisyen (TV) dan radio tempatan.

Rosmin berkata, agihan royalti itu dapat memberi kelegaan kepada penggiat seni muzik yang terjejas berikutan impak penularan COVID-19.

"Ketika pendapatan ramai penggiat seni persembahan terjejas disebabkan kekurangan pekerjaan akibat pandemik dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kami berharap pembayaran royalti ini dapat membantu meringankan beban kewangan yang mereka hadapi," katanya.

Rosmin berkata, RIM amat menghargai usaha dilakukan agensi kerajaan dan badan industri muzik dalam menyelesaikan isu tunggakan royalti ini.

"Penyelesaian ini dicapai hasil daripada beberapa siri rundingan antara Rosol dan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) sebagai agensi kerajaan yang memantau badan pelesenan.

"Ini juga terhasil dengan kerjasama Jabatan Insolvensi Malaysia (JIM) sebagai pelikuidasi tetap bagi menyelia bekas badan pelesenan.

"Selain itu, PRISM Performers Verification & Claims Committee (PPVCC) dan Jawatankuasa Pengurusan Music Rights Malaysia (MRM) bagi menyelesaikan isu pengagihan bahagian royalti penyanyi dan pemuzik yang tidak dapat diagihkan MRM sebelum ini," katanya.

Sehubungan itu, Rosmin berkata, RIM berterma kasih kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), MyIPO dan JIM atas bantuan mereka.

"RIM juga mengucapkan terima kasih Kementerian Komunikasi dan Multimedia atas usaha membangunkan industri kreatif Malaysia secara amnya," katanya.

Berita Harian X