Isnin, 22 Februari 2021 | 3:00pm
Ketua Pegawai Eksekutif UMG, Sir Lucian Grainge berpendapat usaha sama dengan Big Hit akan mencipta sejarah di pasaran muzik global. - Foto Universal Music
Ketua Pegawai Eksekutif UMG, Sir Lucian Grainge berpendapat usaha sama dengan Big Hit akan mencipta sejarah di pasaran muzik global. - Foto Universal Music

Big Hit, UMG ketengah bakat K-Pop di pasaran AS

KUALA LUMPUR: Dua syarikat global, Big Hit Entertainment (Big Hit) dan Universal Music Group (UMG) menjalinkan kerjasama dalam pelbagai projek serta platform teknologi seperti Weverse dan VenewLive sebagai ruang bagi artis berkomunikasi lebih meluas bersama peminat.

Kerjasama itu tidak hanya bertujuan memberi lebih peluang pada artis berinteraksi bersama peminat, ia juga meluaskan pengaruh K-Pop ke seluruh dunia.

Weverse, platform berasaskan komuniti dinamik diwujudkan bagi membolehkan peminat berinteraksi, melihat dan mendengar kandungan dan membeli produk baharu.

Setakat ini, Weverse sudah digunakan artis UMG seperti Gracie Abrams, New Hope Club, Alexander 23 dan Yungblud.

Menerusi platform VenewLive, dua syarikat gergasi itu bekerjasama dalam pencarian kumpulan lelaki K-Pop baharu dan mengetengahkan untuk pasaran Amerika Syarikat (AS) buat kali pertamanya.

Projek berkenaan dilancarkan di bawah label baharu hasil kerjasama dua syarikat berkenaan. Ia berpangkalan di Los Angeles dan turut menjalinkan kerjasama dengan Geffen Records.

Ketua Pegawai Eksekutif Big Hit, Bang Si-Hyuk bersama kumpulan K-Pop sensasi, BTS. - Foto Universal Music
Ketua Pegawai Eksekutif Big Hit, Bang Si-Hyuk bersama kumpulan K-Pop sensasi, BTS. - Foto Universal Music

Kerjasama bersama label yang sudah beroperasi lebih 40 tahun, Geffen Records itu diinspirasikan daripada kejayaan luar biasa kumpulan popular, BTS, yang berjaya menempa nama hingga ke Anugerah Grammy.

Geffen Records, label yang berpengalaman luas dalam menghasilkan pemuzik ternama. Antaranya, Nirvana, Guns N'Roses, Elton John, Avicii, Olivia Rodrigo dan ramai lagi.

Ketua Pegawai Eksekutif Big Hit, Bang Si-Hyuk berkata, kerjasama antara dua syarikat berkenaan bagi memastikan K-Pop dapat menembusi pasaran muzik global.

"Kami berkongsi visi sama. Kami mahu melakukan inovasi secara berterusan dan komited dalam menyediakan muzik dan kualiti terbaik untuk peminat tanpa kompromi.

"Jadi, saya percaya UMG dan Big Hit akan mewujudkan kerjasama yang akan mencipta sejarah tersendiri di pasaran muzik global," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif UMG, Sir Lucian Grainge berkata, usaha itu selaras dengan perkembangan sebagai peneraju utama dalam industri muzik global.

"Dengan pendekatan inovatif ini, kami mampu mengembangkan bakat artis, sekali gus menjadikan Big Hit sebagai salah satu syarikat paling dinamik dalam industri muzik. Kami gembira dapat bekerjasama dalam mengetengahkan K-Pop sebagai budaya global," katanya.

Berita Harian X