Khamis, 18 Februari 2021 | 7:44pm
FINAS memandang serius terhadap spekulasi yang disebarkan dalam media sosial kerana ia boleh menjatuhkan kredibiliti industri kreatif negara. - Foto FINAS
FINAS memandang serius terhadap spekulasi yang disebarkan dalam media sosial kerana ia boleh menjatuhkan kredibiliti industri kreatif negara. - Foto FINAS

FINAS saman penyebar fitnah

PETALING JAYA: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) akan mengambil tindakan undang-undang terhadap penggiat seni kreatif yang bertindak secara serkap jarang dalam membuat tuduhan, fitnah, kenyataan dan spekulasi mengelirukan dalam media sosial.

Menerusi kenyataan dikeluarkan oleh Unit Komunikasi Korporat, FINAS memandang serius terhadap isu yang disebarkan dalam platform media sosial kerana ia boleh menjatuhkan kredibiliti industri kreatif negara.

Ia juga antara perkara penting diputuskan dalam Mesyuarat Ahli Perbadanan FINAS yang diketuai oleh Pengerusi FINAS, Zakaria Abdul Hamid, hari ini.

Dalam masa yang sama, FINAS mengingatkan penggiat industri kreatif supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) berkaitan aktiviti penggambaran yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Ia berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilanjutkan hingga 4 Mac bagi Selangor, Johor, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, manakala pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi Kedah, Perak, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Terengganu, Sabah, Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Labuan serta pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Perlis dalam tempoh yang sama.

Selain itu, FINAS memaklumkan pelaksanaan program Padu Citra 2.0 dalam pemakluman dan sokongan setiap Ahli Perbadanan FINAS selepas dibentangkan mengenai perincian pelaksanaan program berkenaan dalam mesyuarat hari ini.

"Ekoran itu, FINAS akan mengadakan sesi taklimat dan memanggil semua persatuan industri kreatif bagi menerangkan perincian mengenai program ini sebelum membuka semula keahlian persatuan yang dijangka akan dilaksanakan pada Mac ini," kata kenyataan media itu.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah melancarkan PRISMA iaitu inisiatif jangka pendek yang memanfaatkan penggiat industri kreatif ketika pandemik COVID-19, baru-baru ini. - Foto FINAS
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah melancarkan PRISMA iaitu inisiatif jangka pendek yang memanfaatkan penggiat industri kreatif ketika pandemik COVID-19, baru-baru ini. - Foto FINAS

Sementara itu, FINAS menyambut baik dan menyokong pelaksanaan Pakej Rangsangan Industri Kreatif Malaysia (PRISMA) oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM).

Pelaksanaan merangkumi empat kategori dan 32 program itu bertujuan memastikan kelangsungan dan kelestarian penggiat industri kreatif negara dalam berhadapan impak pandemik COVID-19 melalui penyediaan peruntukan sebanyak RM89.2 juta.

"FINAS berharap penggiat industri kreatif dapat mengambil peluang disediakan di bawah PRISMA bagi menerima manfaat ke arah kemajuan industri kreatif tempatan," dalam kenyataan media itu.

Baru-baru ini, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah melancarkan PRISMA iaitu inisiatif jangka pendek yang memanfaatkan penggiat industri kreatif ketika pandemik COVID-19.

Pelaksanaan itu akan memberi manfaat kepada lebih 9,000 penggiat industri kreatif dan berupaya mewujudkan sekurang-kurangnya 40,000 peluang pekerjaan melalui 32 program. Ini merangkumi kategori filem, muzik, kandungan kreatif digital, seni visual, persembahan dan kraf.

Berita Harian X