Isnin, 15 Februari 2021 | 8:30am
Saifuddin menjelaskan SOP bagi syarikat produksi meneruskan penggambaran ‘outdoor’ sedang diperhalusi dengan jangkaan dibentangkan, tidak lama lagi. - Foto NSTP/Asyraf Hamzah
Saifuddin menjelaskan SOP bagi syarikat produksi meneruskan penggambaran ‘outdoor’ sedang diperhalusi dengan jangkaan dibentangkan, tidak lama lagi. - Foto NSTP/Asyraf Hamzah

SOP penggambaran 'outdoor' dikaji

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang memperincikan prosedur operasi standard (SOP) bagi aktiviti penggambaran di luar studio atau 'outdoor' termasuk acara siaran langsung dan tayangan di pawagam.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, SOP bagi semua sektor itu sedang diperhalusi dengan jangkaan dibentangkan, dalam masa terdekat.

Mengumumkan antara kebenaran diberi kepada syarikat produksi untuk meneruskan kerja penggambaran dalam studio atau 'indoor', Saifuddin berkata, Majlis Keselamatan Negara (MKN) sudah menerima SOP untuk industri kreatif yang ditambah baik dengan mengambil kira pandangan pemain serta penggiat industri kreatif kepada kerajaan.

"SOP yang ditambah baik terpakai dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Sehubungan itu, bagi sektor industri kreatif, kerajaan membenarkan operasi produksi animasi dan muzik, pasca-produksi di studio, pembangunan muzik secara digital dan rakaman lagu di studio.

"Kerajaan juga membenarkan kerja pra-produksi penggambaran dan aktiviti penggambaran di studio tanpa penonton mulai Rabu lalu," katanya dalam kenyataan dimuat naik di laman web kementerian.

Syarikat produksi merayu kebenaran penggambaran dalam studio diperluaskan kepada ‘outdoor’ sepanjang tempoh PKP. - Foto NSTP/Saifullizan Tamadi
Syarikat produksi merayu kebenaran penggambaran dalam studio diperluaskan kepada ‘outdoor’ sepanjang tempoh PKP. - Foto NSTP/Saifullizan Tamadi

Saifuddin berkata, syarikat produksi perlu memohon kelulusan Sijil Perakuan Penggambaran Filem (SPP) Khas untuk kebenaran aktiviti penggambaran dalam studio tanpa penonton daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

"Saringan ujian COVID-19 perlu dilakukan bagi semua tenaga produksi yang terbabit. Keputusan ujian perlu dikemukakan kepada FINAS tiga hari sebelum tarikh penggambaran.

"Pemantauan berkala juga akan dilakukan di lokasi penggambaran oleh penguatkuasa FINAS bagi memastikan pematuhan SOP tidak dikompromi," katanya.

Saifuddin berkata, kementerian berharap penambahbaikan kepada SOP industri kreatif akan dapat membantu penggiat seni terus berkarya demi kelangsungan pendapatan.

Berita Harian X