Jumaat, 12 Februari 2021 | 9:05am
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah mengumumkan enam puluh lima syarikat produksi sebagai penerima bantuan PELAKSANA DKD bernilai RM20.9 juta, bagi fasa kedua, tahun ini, petang semalam. - Foto FINAS
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah mengumumkan enam puluh lima syarikat produksi sebagai penerima bantuan PELAKSANA DKD bernilai RM20.9 juta, bagi fasa kedua, tahun ini, petang semalam. - Foto FINAS

Pejuang isu hak cipta

KUALA LUMPUR: Penerbit syarikat produksi Karya Cipta Sdn Bhd, Erma Fatima bersyukur dipilih penerima bantuan Pelan Langkah Segera Ekonomi Industri Kreatif (PELAKSANA), Dana Kandungan Digital (DKD) bagi fasa kedua, petang semalam.

Namun, bagi Erma, bukan wang yang menjadi perkara utama, sebaliknya, lebih kepada isu hak cipta yang diperjuangkan.

"Dana kita boleh cari di mana-mana. Kita boleh pinjam bank untuk buat modal terbitkan drama atau filem.

"Tapi ini lebih kepada soal hak cipta, isu yang sudah lama kita perjuangkan," katanya kepada BH Online.

Menghuraikan perkara itu, Erma berkata, dana PELAKSANA sangat bagus kerana selepas setahun produk diterbitkan, karya akan menjadi hak milik penerbit.

"Ini membela nasib kita... Kalau kita mati, tidak adalah dalam papa kedana," katanya.

Erma yang pernah diangkat sebagai Pengarah Terbaik Festival Filem Antarabangsa Pyongyang Ke-7 itu akan menerbitkan sebuah program berbentuk realiti.

"Nama program ini adalah Zero To CEO. Ia akan disiarkan di saluran milik Media Prima.

"Program ini berkonsepkan keusahawanan yang objektifnya adalah untuk membantu penganggur dan asnaf mendapatkan kerja.

"Dalam situasi sekarang, saya fikir terbitkan program seperti ini tepat pada waktunya," katanya.

Penerbit syarikat produksi Karya Cipta Sdn Bhd, Erma Fatima akan menerbitkan sebuah program berbentuk realiti.- Foto IG Erma Fatima
Penerbit syarikat produksi Karya Cipta Sdn Bhd, Erma Fatima akan menerbitkan sebuah program berbentuk realiti.- Foto IG Erma Fatima

Sementara itu, sebagai 'orang baharu' dalam dunia penerbitan, Issey Fazlisham menyifatkan dana PELAKSANA DKD dapat membantu penggiat seni meneruskan survival dalam industri ini.

"Biasanya, kekangan yang dihadapi syarikat produksi adalah wang.

"Kadang-kadang kita ada idea dan bahan tetapi tiada modal. Dengan adanya bantuan seperti ini, ibarat orang mengantuk disorongkan bantal.

"Bantuan ini boleh mempermudahkan syarikat produksi menghasilkan produk berkualiti dan memuaskan hati penonton," katanya.

Issey berbangga melihat ramai penerbit baharu menerima dana itu.

"Saya harap bantuan seperti ini dapat diteruskan untuk dimanfaatkan lebih banyak syarikat produksi," katanya yang mengusahakan rumah produksi Red Beans Productions lebih setahun lalu.

Issey Fazlisham menyifatkan dana PELAKSANA DKD dapat membantu penggiat seni meneruskan survival dalam industri seni. - Foto IG Issey Fazlisham
Issey Fazlisham menyifatkan dana PELAKSANA DKD dapat membantu penggiat seni meneruskan survival dalam industri seni. - Foto IG Issey Fazlisham

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah mengumumkan enam puluh lima syarikat produksi sebagai penerima bantuan PELAKSANA DKD bernilai RM20.9 juta, bagi fasa kedua, tahun ini, petang semalam.

Dana itu disalurkan bagi penerbitan empat produk kandungan iaitu drama bersiri yang bakal diterbitkan 15 syarikat produksi; telefilem (14 syarikat); rancangan hiburan (21 syarikat) dan majalah (15 syarikat).

Saifuddin berharap, dana itu mampu memberi suntikan penerbit yang terjejas teruk akibat penularan wabak COVID-19.

Surat tawaran PELAKSANA DKD itu diserahkan Saifuddin secara virtual di Kompleks Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) di Petaling Jaya.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Mohammad Mentek; Pengerusi FINAS, Zakaria Abdul Hamid dan Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Ahmad Idham Ahmad Nadzri

Inisiatif PELAKSANA DKD bertujuan menjana semula ekonomi industri kreatif dan mewujudkan peluang pekerjaan melalui kerjasama dengan pihak swasta.

Ini membabitkan stesen televisyen (TV) dan penyiaran tempatan iaitu Media Prima Berhad (MPB), Astro, TV-Alhijrah dan Sarawak Media Group (SMG).

Sebelum ini, fasa pertama agihan PELAKSANA DKD, November lalu membabitkan 36 syarikat produksi dengan nilai peruntukan RM13.9 juta.

Dilancarkan pada 28 Julai tahun lalu, dana PELAKSANA bertujuan memperkasakan industri kreatif yang terjejas akibat penularan pandemik COVID-19 dan memperbanyakkan pemilikan hak cipta kandungan dalam kalangan penerbit tempatan bagi menjana keuntungan masa hadapan.

Berita Harian X