Khamis, 11 Februari 2021 | 8:32pm
Saifuddin berharap setiap penerima pakej PELAKSANA DKD dapat memanfaatkan dana dengan menerbitkan kandungan bermutu. Foto Ihsan FINAS
Saifuddin berharap setiap penerima pakej PELAKSANA DKD dapat memanfaatkan dana dengan menerbitkan kandungan bermutu. Foto Ihsan FINAS

RM20 juta lagi untuk syarikat produksi

PETALING JAYA: Enam puluh lima syarikat produksi terpilih menerima bantuan Pelan Langkah Segera Ekonomi Industri Kreatif (PELAKSANA) Dana Kandungan Digital (DKD) bernilai RM20.9 juta, bagi fasa kedua, tahun ini.

Dana itu disalurkan bagi penerbitan empat produk kandungan iaitu drama bersiri yang bakal diterbitkan 15 syarikat produksi; telefilem (14 syarikat); rancangan hiburan (21 syarikat) dan majalah (15 syarikat).

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berharap dana itu mampu memberi suntikan penerbit yang terjejas teruk akibat penularan wabak COVID-19.

Antara 65 penerima kumpulan kedua PELAKSANA DKD yang tampil pada sidang media virtual di Petaling Jaya, petang tadi. Foto Ihsan FINAS
Antara 65 penerima kumpulan kedua PELAKSANA DKD yang tampil pada sidang media virtual di Petaling Jaya, petang tadi. Foto Ihsan FINAS

Surat tawaran PELAKSANA DKD itu diserahkan Saifuddin secara virtual di Kompleks Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) di sini, hari ini.

Yang turut hadir pada majlis itu, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Mohammad Mentek; Pengerusi FINAS, Zakaria Abdul Hamid dan Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Ahmad Idham Ahmad Nadzri.

Inisiatif PELAKSANA DKD bertujuan menjana semula ekonomi industri kreatif dan mewujudkan peluang pekerjaan melalui kerjasama dengan pihak swasta.

Ini membabitkan stesen televisyen (TV) dan penyiaran tempatan iaitu Media Prima Berhad (MPB), Astro, TV-Alhijrah dan Sarawak Media Group (SMG).

Fasa pertama agihan PELAKSANA DKD, November lalu membabitkan 36 syarikat produksi dengan nilai peruntukan RM13.9 juta.

Dilancarkan pada 28 Julai tahun lalu, dana PELAKSANA bertujuan memperkasakan industri kreatif yang terjejas akibat penularan pandemik

COVID-19 dan memperbanyakkan pemilikan hak cipta kandungan dalam kalangan penerbit tempatan bagi menjana keuntungan masa hadapan.

Berita Harian X