Selasa, 9 Februari 2021 | 9:40pm
Ahmad menjelaskan antara 30 hingga 40 peratus babak dalam drama dan filem membabitkan penggambaran di luar. Foto Ihsan Ahmad Ibrahim
Ahmad menjelaskan antara 30 hingga 40 peratus babak dalam drama dan filem membabitkan penggambaran di luar. Foto Ihsan Ahmad Ibrahim

'Izin kami 'shooting' di luar pula...'

KUALA LUMPUR: Penggiat seni termasuk persatuan mewakili artis, penerbit, pengarah dan kru menyambut baik pengumuman kerajaan membenarkan sektor industri kreatif kembali beroperasi dengan prosedur operasi standard (SOP) ketat, mulai esok.

Cukup menantikan kebenaran Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk menyambung penggambaran selepas industri 'lumpuh' sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dikuatkuasakan, syarikat produksi bagaimanapun berharap kelulusan 'shooting' di luar studio, diberi kerajaan.

Presiden Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), Ahmad Ibrahim, berkata kebenaran menyambung aktiviti penggambaran ketika PKP membuktikan MKN faham situasi menimpa penggiat seni.

"Namun, kami sedikit kecewa dengan kebenaran penggambaran hanya dibenarkan dalam studio.

"Dalam setiap skrip drama atau filem, sebanyak 30 hingga 40 peratus babak membabitkan penggambaran di luar iaitu lokasi yang tidak berbumbung atau berdinding.

"Ini secara tidak langsung menyukarkan pihak produksi untuk menyempurnakan sesuatu babak yang memerlukan lokasi 'outdoor'.

"Justeru untuk jangka panjang, kami merayu supaya diberi kelonggaran untuk melakukan penggambaran di luar," katanya kepada BH Online.

Petang tadi, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkongsi senarai sektor industri kreatif yang dibenarkan beroperasi merangkumi produksi animasi dan muzik, pasca-produksi di studio, pembangunan muzik secara digital dan rakaman lagu di studio.

Selain itu, turut dibenarkan adalah pra-produksi penggambaran serta penggambaran di studio merangkumi drama, telemovie, iklan, dokumentari, sitkom, 'livestreaming', rakaman kebudayaan, seni dan warisan tanpa penonton.

Ismail berkata, antara lain, syarikat produksi perlu memohon Sijil Perakuan Penggambaran (SPP) khas mengandungi butiran tenaga kerja selain melakukan ujian saringan COVID-19 kepada semua petugas termasuk pelakon.

Ismail berkata, keputusan ujian saringan semua petugas termasuk pelakon perlu dikemukakan kepada FINAS tiga hari sebelum penggambaran bermula.

Presiden Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM), Datuk Jurey Latiff Rosli, berkata penggambaran di luar studio perlu disegerakan.

"Kalau hendak sentuh soal skop studio, negara kita belum ada studio secanggih Hollywood.

"Kerajaan mungkin menganggap industri filem kita seperti Hollywood. Hakikatnya, tidak... SOP ditetapkan agak berat dan membabitkan kos besar.

"Kami tidak boleh terus berpeluk tubuh kerana ramai penggiat seni terus merana jika dibiarkan berlarutan.

Jurey mahu bertemu MKN bagi berbincang lebih lanjut mengenai SOP terbaru yang dikenakan terhadap syarikat produksi bagi menyambung penggambaran. Foto Ihsan Jurey Latiff Rosli
Jurey mahu bertemu MKN bagi berbincang lebih lanjut mengenai SOP terbaru yang dikenakan terhadap syarikat produksi bagi menyambung penggambaran. Foto Ihsan Jurey Latiff Rosli

"PTVM akan bertemu MKN segera untuk membincangkan soal SOP baharu ini," katanya.

Selain itu, Jurey berkata, kerja sanitasi studio penggambaran dan peralatan yang digunakan juga memerlukan kos termasuk ujian calitan.

"Semua kos itu ditanggung penerbit dan tidak termaktub dalam kontrak dengan stesen televisyen (TV).

"Takkan hendak suruh pelakon dan kru tanggung semua kos itu.

"SOP lalu antara lain memeriksa suhu dan membuat pendaftaran dengan aplikasi My Sejahtera sudah memadai," katanya.

Presiden Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Zed Zaidi berterima kasih kepada kerajaan yang mendengar rayuan penggiat seni.

"Hakikatnya, penggiat seni perlu meneruskan kerja dan mencari rezeki seperti orang lain.

"Kerja sangat penting ketika waktu genting kerana barangan keperluan perlu dibeli.

"Biarpun SOP baharu agak ketat, syukur kerja dapat diteruskan. Benarlah ia membabitkan kos, namun, kita boleh bekerja.

Zed bersyukur rayuan penggiat seni termasuk kru agar diberi kebenaran meneruskan penggambaran dalam tempoh PKP, didengari kerajaan. Foto Ihsan Zed Zaidi
Zed bersyukur rayuan penggiat seni termasuk kru agar diberi kebenaran meneruskan penggambaran dalam tempoh PKP, didengari kerajaan. Foto Ihsan Zed Zaidi

"Kita juga berharap penggambaran di luar studio dibenarkan selepas ini. FINAS perlu menyediakan SOP baharu untuk 'shooting' di lokasi terbuka," katanya.

Berita Harian X