Isnin, 1 Februari 2021 | 8:30am
Rosmin Hashim mohon ahli RPM dan PRISM menyerahkan butiran supaya pengiraan dan pengagihan dapat diselesaikan dengan segera.
Rosmin Hashim mohon ahli RPM dan PRISM menyerahkan butiran supaya pengiraan dan pengagihan dapat diselesaikan dengan segera.

Tubuh komuniti elak seleweng agih royalti

KUALA LUMPUR: Masalah pengagihan royalti tertunggak yang membelenggu penggiat muzik selama dua tahun berjaya diselesaikan apabila lebih 1,500 penyanyi dan pemuzik yang juga ahli Recording Performers Malaysia Berhad (RPM) dan Performers Rights and Interest Society of Malaysia Berhad (PRISM) sudah menerima bayaran sebanyak RM500 setiap seorang, Jumaat lalu.

Usaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dalam mengendalikan masalah pengagihan royalti dengan pantas dan telus mendapat pujian ramai.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid mengumumkan pendahuluan dana royalti tertunggak sebanyak RM11,788,347.18 akan diagihkan membabitkan 1,134 ahli RPM dan 396 ahli PRISM.

Ia adalah agihan pertama royalti tertunggak ekoran pembubaran konsortium Music Rights Malaysia (MRM), sejak dua tahun lalu. Dana royalti tertunggak diagihkan berdasarkan laporan penggunaan lagu yang diperoleh daripada stesen televisyen (TV) dan radio tempatan.

Pemuzik dan komposer, Mohd Rafi Shafie yang juga ahli RPM memuji tindakan pantas yang diambil oleh KPDNHEP.

"Kita mempunyai Timbalan Menteri KPDNHEP yang cekap kerana mengambil langkah paling cepat dan efektif. Dalam dua hingga tiga bulan sahaja masalah royalti ini dapat diselesaikan.

"Terima kasih kepada Presiden Persatuan Karyawan Malaysia, Datuk Freddie Fernandez yang menggerakkan semua ini. Malah, saya boleh katakan ia mengikut perjanjian yang dibuat, sebelum ini. MyIPO juga berjaya mengendalikan masalah royalti ini dengan baik," katanya kepada BH Online.

Ekoran itu, bagi mengelakkan pengagihan berjalan dengan baik dan telus, Rafi mencadangkan komuniti atau ahli jawatankuasa ditubuhkan.

"Saya cadangkan supaya satu komuniti ditubuhkan bagi menyelenggara pengagihan seterusnya. Sebab pengagihan pertama dibuat secara pukal kepada semua ahli, tetapi pengagihan seterusnya mengikut putaran lagu.

"Komuniti yang diwujudkan perlulah dilantik dari dua badan pelesenan, RPM dan PRISM, manakala orang tengahnya, MyIPO. Contohnya, ahli komuniti yang layak seperti Datuk Khadijah Ibrahim, Datuk Norman Abdul Halim dan penggiat muzik yang berpengalaman. Mereka perlu diketengahkan kerana individu yang berkaliber.

"Mungkin komuniti ini boleh dianggotai 10 hingga 15 orang. Barulah bayaran royalti tertunggak diagihkan secara tepat dan telus. Sekiranya tiada komuniti, kemungkinan besar boleh berlaku penyelewengan. Kerana, kita tidak akan dapat membuat analisis dengan sempurna.

"Saya percaya akan timbul isu pembayaran seterusnya dipertikaikan. Sebelum ini, isu dana royalti tertunggak sebanyak lebih 11 juta pun timbul masalah, apatah lagi, selepas diagihkan. Tak mahulah rumah sudah siap, pahat masih lagi berbunyi," katanya.

Mohd Rafi Shafie mencadangkan supaya satu komuniti ditubuhkan bagi menyelenggara pengagihan royalti yang tertunggak.
Mohd Rafi Shafie mencadangkan supaya satu komuniti ditubuhkan bagi menyelenggara pengagihan royalti yang tertunggak.

Bagi penulis lirik, Ad Samad berkata, usaha pengagihan pertama adalah satu tindakan yang bijak.

Baginya, pengagihan pertama yang boleh dikatakan sebagai pengagihan interim sedikit sebanyak mampu membantu penyanyi dan pemuzik tempatan.

"Saya memuji usaha pengagihan ini sebab ia dapat mengurangkan beban penyanyi dan pemuzik terutamanya berdepan dengan pandemik COVID-19. Ia adalah keputusan yang bagus dan bijak yang sepatutnya sudah lama dilakukan.

"Tetapi, satu persoalan, sudahkah RPM dan PRISM menyediakan pangkalan data untuk menjalankan pengagihan.

Badan pelesenan yang berkaitan perlu segera menyediakannya supaya pengagihan dapat berjalan dengan teratur dan segera," katanya.

Sebagai salah seorang ahli Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP) dan bekas lembaga pengarah MRM, Ad berkata, pengagihan seterusnya perlu berjalan dengan telus dan tepat mengikut sistem.

"Royalti dari persembahan awam mestilah diagihkan mengikut jadual putar. Maksudnya, ia diagihkan berdasarkan populariti sesebuah lagu, jadi pendapatan masing-masing mestilah berdasarkan populariti atau jumlah lagu dimainkan.

"Tetapi, bagi saya, kedua-dua badan pelesenan berkenaan tidak berkemampuan untuk mengagihkan secara tepat dan telus kerana mereka tidak memiliki sistem yang baik. Jadi, bagi pengagihan pertama iaitu RM500 itu lebih baik diberikan pada semua yang berdaftar baik dengan RPM atau PRISM.

"Saya cadangkan RPM dan PRISM mesti mengemukakan pangkalan data untuk memastikan setiap ahli yang berdaftar akan menerima royalti mengikut senarai putaran lagu dalam tempoh enam bulan," katanya.

Ad Samad beranggapan RPM dan PRISM tidak berkemampuan mengagihkan secara tepat dan telus kerana tidak memiliki sistem yang baik.
Ad Samad beranggapan RPM dan PRISM tidak berkemampuan mengagihkan secara tepat dan telus kerana tidak memiliki sistem yang baik.

Sementara itu, Rosmin Hashim berkata, proses pengiraan jumlah penggunaan sesebuah lagu bagi ahli RPM dan RPM perlu diselesaikan terlebih dahulu untuk menjalankan pengagihan seterusnya.

"Proses ini mengambil agak masa sebab kita perlu tetapkan ahli RPM dan PRISM yang mempunyai rakaman dan tuntutan lagu. Sekarang, Jabatan Insolvensi Malaysia (MDI) sedang mengumpul butiran yang perlu agar tuntutan lagu bagi penggiat muzik dapat dilakukan secara tepat.

"Ini kerana pembayaran dibuat berdasarkan penggunaan lagu dari Januari 2018 hingga November 2018, jadi semua butiran perlu diperoleh daripada ahli RPM dan RPM.

"Kami memberi masa selama tiga bulan untuk ahli RPM dan PRISM menyerahkan butiran rakaman lagu yang digunakan pada 2018 mengikut laporan penggunaan lagu.

"Laporan penggunaan lagu berdasarkan sistem audio teknologi yang berfungsi memantau stesen radio terpilih selama 24 jam. Dari situ, kita akan dapat tahu dengan tepat lagu yang diputarkan sepanjang tahun berkenaan. Daripada laporan itu, pengagihan kepada penggiat muzik dapat dilakukan dengan tepat," katanya.

Jadi, katanya, semua butiran itu perlu diserahkan supaya pengiraan dan pengagihan dapat diselesaikan dengan segera.

"Kami memohon semua penggiat muzik memberikan kerjasama menyerahkan butiran agar proses pengiraan dan pengagihan dapat dijalankan dengan adil.

"MDI akan mengeluarkan arahan kepada ahli berkenaan bagi memaklumkan kepada mereka butiran perlu diserahkan.

"Selepas butiran diperoleh, ia mungkin mengambil masa lebih kurang dua hingga tiga bulan. Jadi, bayaran berikutnya mungkin akan diagih kepada penggiat muzik sekitar enam bulan lagi," katanya yang mewakili ahli jawatankuasa penjaga pengurusan MRM yang bertindak menyelesaikan masalah royalti.

Dalam masa sama, Rosmin juga mengetuai jawatankuasa sukarela PRISM Performers Verification & Claims Committee (PPVCC) bagi membantu MDI mengenalpasti ahli PRISM yang mempunyai rakaman lagu dan membuat tuntutan lagu fasa pertama bagi pihak 'Featured Performers' PRISM iaitu penyanyi dan ahli-ahli kumpulan.

Berita Harian X