Rabu, 27 Januari 2021 | 4:01pm

Zarina Anjoulie cerai lagi

KUALA LUMPUR: "Ya, Anju sudah bercerai. Bukan nak sibuk, nak kecoh pun, tetapi sebab ramai bertanya. Tiada apa yang teruk, cuma kami tak sehaluan," demikian perkongsian pelakon kontroversi, Zarina Anjoulie, 34, menerusi laman sosial, Instagram (IG) berhubung perceraiannya.

Menerusi entri itu, Zarina atau nama sebenarnya, Zarina Anjoulie Lavocah Mohd Fahizul berkata, keputusan bercerai dengan suami, Eilyas Azhar adalah pilihannya.

Bagaimanapun, Zarina tidak memaklumkan tarikh perceraian selepas kira-kira enam bulan mendirikan rumah tangga buat kali kedua.

Zarina berkata, keputusan berpisah adalah jalan terbaik, memandangkan dirinya mahu fokus kepada kerjaya, anak dan keluarganya.

"Saya percaya ini adalah keputusan terbaik untuk saya. Saya mahu fokus pada kerja, keluarga dan anak saya.

"Saya mahu meluangkan lebih banyak masa dengan mereka kerana saya duduk seorang diri selama bertahun-tahun. Saya mahu menggunakan masa ini untuk kembali rapat dengan keluarga," katanya.

Dalam pada itu, Zarina turut berterima kasih kepada peminat yang menghantar mesej dan menghubunginya bagi memberikan sokongan.

"Terima kasih kepada mereka yang menghantar mesej langsung dan menghubungi saya. Jujurnya, saya amat terharu dan menghargai keprihatinan semua," katanya.

Saat bahagia Zarina Anjoulie bersama bekas suami, Eilyas Azhar dan anak lelakinya, Awangku Gabriel Martin Ezra. - Foto IG Zarina Anjoulie
Saat bahagia Zarina Anjoulie bersama bekas suami, Eilyas Azhar dan anak lelakinya, Awangku Gabriel Martin Ezra. - Foto IG Zarina Anjoulie

Zarina dan Eilyas mendirikan rumah tangga pada 17 Julai, tahun lalu di Pejabat Agama Islam Daerah Seremban, Negeri Sembilan selepas empat tahun bergelar ibu tunggal.

Sebelum itu, pelakon drama Anak Pontianak itu pernah mendirikan rumah tangga dengan jejaka dari Brunei, Pangiran Mohd Ilham Syazwan pada 2015, bagaimanapun bercerai pada Disember 2016.

Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Awangku Gabriel Martin Ezra.

Sebelum itu, Zarina memuat naik satu hantaran di IG memaklumkan sudah bercerai.

"Alhamdulillah, yeay aku dah cerai. Hari terbaik dalam hidup saya. Alhamdulillah, terima kasih Yas," tulisnya.

Jodoh Zarina Anjoulie bersama bekas suami, Eilyas Azhar hanya bertahan tak sampai enam bulan kerana tidak sehaluan. - Foto IG Zarina Anjoulie
Jodoh Zarina Anjoulie bersama bekas suami, Eilyas Azhar hanya bertahan tak sampai enam bulan kerana tidak sehaluan. - Foto IG Zarina Anjoulie
Berita Harian X