KUALA LUMPUR: Bapa pelakon Zalif Sidek, Wan Abu Bakar Sidek Wan Abdullah meninggal dunia di Institut Kanser Negara (IKN), Putrajaya, semalam.
Berita pemergian arwah bapanya kira-kira jam 7 malam dikongsi menerusi laman Instagram (IG). Zalif atau nama sebenarnya, Md Zalif Naquiyudin memuat naik entri ditulis Al-Fatihah menandakan bapanya sudah tiada.
"Jenazah arwah ayah berada di rumah di Bangi Avenue. Urusan pengebumian akan dijalankan, jam 10 pagi, hari ini.
"Dengan keadaan sekarang, perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) tidak digalakkan melawat, cuma mohon solat jenazah ghaib dan sedekahkan Al-Fatihah," tulis dalam entri baru dimuat naik, tengah malam ini.
Menerusi entri sebelumnya, Zalif, 36, berkongsi bapanya mengalami sesak nafas selepas makan malam di rumah, kelmarin.
Ekoran itu, bapanya dikejarkan IKN untuk mendapatkan rawatan lanjut.
"Mohon doakan papa saya kecemasan selepas makan malam semalam dan sesak nafas.
"Kelmarin, papa semput, ambil gas oksigen hidung pun tak jalan selepas makan malam. Terus telefon ambulans untuk hantar ke bahagian kecemasan IKN," katanya.
Terdahulu, arwah bapanya mendapatkan rawatan penyakit di Hospital Putrajaya, sebelum menjalankan rawatan susulan di rumah. Zalif memaklumkan arwah sudah setahun menghidap penyakit kanser paru-paru dan mempunyai masalah jantung.