Sabtu, 23 Januari 2021 | 9:52am
Fauzi bersama ayahnya, Pak Jamali. Foto Ihsan Fauzi Jamali
Fauzi bersama ayahnya, Pak Jamali. Foto Ihsan Fauzi Jamali

'Saya baru suapkan ayah...'

KUALA LUMPUR: "Ayah okay." Itu jawapan Siti Zabedah Sood, iaitu menantu Datuk Jamali Shadat mengenai perkembangan terkini pelawak veteran berusia 78 tahun itu.

"Ayah okay... Saya baru selesai mandikan dan suap makanan kepada ayah," katanya ketika dihubungi BH Online.

Sejak malam tadi, tular berita konon Jamali atau lebih mesra dipanggil Pak Jamali, sudah menghembuskan nafas terakhir yang dikongsi netizen melalui media sosial.

Siti berharap penyebaran berita palsu mengenai kematian ayah mentuanya itu dipandang serius dan usah dibuat main-main.

"Hal kematian jangan buat main. Kalau tidak pasti jangan kongsi. Sebaiknya, bertanya dan siasat dahulu.

"Bagaimanapun, kami tidak ambil hati dengan apa yang terjadi. Cuma berharap hal begini tidak lagi berlaku.

"Selama ini, saya dan suami, Fauzi sering mendengar berita palsu mengenai kematian artis, kali ini, terjadi kepada ayah kami," katanya.

Siti berkata, sejak malam tadi, dia dan suami mula mendapat panggilan telefon bertanya kesahihan berita itu.

"Saya tidak tahu siapa yang menyebarkan berita palsu ini dalam media sosial," katanya.

Pak Jamali kini uzur dan memerlukan bantuan untuk makan dan menguruskan diri. Foto Ihsan Fauzi Jamali
Pak Jamali kini uzur dan memerlukan bantuan untuk makan dan menguruskan diri. Foto Ihsan Fauzi Jamali

Siti berkata, Jamali masih dalam keadaan sama iaitu uzur seperti dilaporkan BH Online, baru-baru ini.

Isnin lalu, BH Online melaporkan, Pak Jamali yang cukup dikenali dengan kebolehan melakonkan watak kanak-kanak bernama 'Atan' pada era 1980-an, semakin uzur dan kurang selera makan.

Fauzi, 48, dilaporkan memberitahu, sejak dua bulan lalu, bapanya perlu disuap setiap kali makan.

Pak Jamali juga lebih banyak bergantung kepada 'drip' iaitu memasukkan air ke dalam tubuh bagi mengelak dehidrasi atau kekurangan air dalam badan.

Sejak pemergian isteri, Allahyarham Lela Yacob akibat serangan angin ahmar pada Jun 2018, Jamali yang dilahirkan di Bukit Kapar, Klang, bagai hilang semangat.

Beliau banyak berdiam dan bergantung kepada anak, menantu dan cucu untuk menguruskan diri.

Jamali menetap bersama Fauzi di Pulau Indah bersama menantu dan lima anak mereka.

Jamali mempunyai lapan anak dan 39 cucu.

Berita Harian X