Selasa, 19 Januari 2021 | 4:13pm
Kenyataan Presiden FDAM, Ahmad Ibrahim menerusi satu video yang ditular disalahertikan, menanti kenyataan rasmi FINAS mengenai garis panduan penggambaran. - Foto NSTP
Kenyataan Presiden FDAM, Ahmad Ibrahim menerusi satu video yang ditular disalahertikan, menanti kenyataan rasmi FINAS mengenai garis panduan penggambaran. - Foto NSTP

'Bukan minta kebenaran penggambaran kawasan PKP'

KUALA LUMPUR: Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) menggesa Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) segera mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai kebenaran menjalani penggambaran di kawasan zon hijau supaya syarikat produksi peka mengenai perkara itu.

Presiden FDAM, Ahmad Ibrahim berkata, pemain industri masih menantikan kenyataan rasmi FINAS biarpun sudah hampir seminggu perbadanan itu bertemu dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi membincangkan mengenai prosedur operasi standard (SOP) penggambaran.

"Kenyataan saya menerusi rakaman video yang tersebar disalah tafsirkan. Saya tidak menuntut kebenaran penggambaran di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Saya faham dengan arahan yang dikeluarkan kerajaan. FDAM juga tidak mahu pemain industri menanggung risiko kesan daripada COVID-19.

"Sebaliknya, FDAM hanya memohon FINAS membuat kenyataan rasmi penggambaran boleh dilakukan di kawasan zon hijau. Namun sehingga kini, tiada sebarang kenyataan dibuat FINAS sedangkan kebenaran merentas negeri dibenarkan dengan syarat perlu mendapat kebenaran daripada polis.

"Ini berpunca daripada desakan karyawan seperti pengarah, penerbit, pelakon dan kru balik tabir ada perlu menghabiskan penggambaran atau memulakan penggambaran baru.

"Apa yang dimaksudkan dengan kebenaran kerja di kawasan PKP hanyalah untuk kerja studio seperti persediaan pra produksi, animasi, pos produksi dan penggambaran produk yang dilakukan di tempat yang tertutup atau produk atas talian. Tetapi, kenyataan saya disalahertikan," katanya kepada BH Online.

FDAM mengeluarkan kenyataan berikutan desakan penggiat seni yang kebanyakannya perlu menghabiskan baki penggambaran. - Foto IG Ahmad Ibrahim
FDAM mengeluarkan kenyataan berikutan desakan penggiat seni yang kebanyakannya perlu menghabiskan baki penggambaran. - Foto IG Ahmad Ibrahim

Susulan kenyataan dibuatnya tempoh hari, banyak syarikat produksi beralih ke lokasi zon hijau meneruskan penggambaran kerana tidak mahu pendapatan terjejas dengan syarat dokumen mestilah lengkap dan mendapat keizinan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ahmad atau lebih mesra disapa Mat London berkata, kenyataan yang dikeluarkan bagi meredakan kebimbangan dan keresahan karyawan yang sibuk bertugas dan memerlukan panduan kerja.

"Difahamkan, lebih 20 syarikat produksi sedang menjalani penggambaran di zon hijau. FINAS sepatutnya memberikan garis panduan dan peraturan penggambaran ditetapkan MKN. Sekurang-kurangnya, apabila ada kenyataan rasmi FINAS dapat memberi kelegaan kepada pemain industri," kata Ahmad.

Bagaimanapun, katanya, sekiranya sesetengah syarikat produksi merasakan tiada keperluan menjalani penggambaran di kawasan zon hijau, ia lebih dialu-alukan bagi mencegah risiko jangkitan.

Katanya, FDAM sentiasa peka dan prihatin dengan syarikat produksi yang sedang menjalani penggambaran. Bahkan tiga ahli, Timbalan Presiden FDAM, Datuk Zulkifli M Osman, Biro Kebajikan, Ahmad Hashim dan Ketua Sekretariat, Zaini Hassan sentiasa mengambil berat produksi yang sedang menjalani penggambaran, selain memantau aktiviti penggambaran bagi memastikan keselamatan tenaga produksi terjamin.

"Mereka sentiasa menghubungi syarikat produksi untuk memberikan nasihat dalam mematuhi SOP penggambaran. Mereka juga sentiasa mengingatkan pengarah kemungkinan yang bakal berlaku sekiranya SOP diabaikan.

"FDAM sentiasa mengambil berat kegiatan industri dalam menggembleng tenaga untuk memastikan kelicinan penggambaran. Ini adalah langkah prihatin kami bagi membolehkan pemain industri dapat meneruskan kerja dan memiliki pendapatan untuk kelangsungan hidup," katanya.

Berita Harian X