Selasa, 19 Januari 2021 | 11:00am
Winnie mengajak teman artis untuk meluangkan masa membantu kanak-kanak dan golongan tidak bernasib baik yang menerima kesan daripada penularan COVID-19. Foto Ihsan Winnie K
Winnie mengajak teman artis untuk meluangkan masa membantu kanak-kanak dan golongan tidak bernasib baik yang menerima kesan daripada penularan COVID-19. Foto Ihsan Winnie K

Winnie dekati anak sindrom down terabai

KUALA LUMPUR: Bukan publisiti dicari selebriti ini setiap kali berkongsi foto kunjungan ke rumah kebajikan.

Sebaliknya, Winnie K percaya langkah itu boleh menarik perhatian ramai untuk membantu insan kurang bernasib baik.

Akui Winnie, dia sedih melihat anak-anak sindrom down ketika negara berperang melawan pandemik COVID-19.

"Ketika negara menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Mac tahun lalu, anak-anak sindrom down kurang menerima kunjungan dan perhatian orang ramai.

"Sedih mendengar keluhan mereka ketika berkunjung ke salah sebuah rumah anak istimewa di Happy Garden di Sri Petaling, pada 9 Januari lalu.

"Anak-anak ini menyangka pelawat takut hendak datang disebabkan COVID-19.

"Namun, kita harus ingat mereka lebih sihat daripada kita kerana tidak berhubung dengan orang luar.

Winnie tersentuh apabila kanak-kanak penghidap sindrom down yang ditemui di sebuah rumah kebajikan mendakwa mereka tidak dikunjungi pelawat sejak penularan COVID-19. Foto Ihsan Winnie K
Winnie tersentuh apabila kanak-kanak penghidap sindrom down yang ditemui di sebuah rumah kebajikan mendakwa mereka tidak dikunjungi pelawat sejak penularan COVID-19. Foto Ihsan Winnie K

"Malah, pada lawatan itu, kami patuh dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat," katanya kepada BH Online.

Sebelum pandemik COVID-19 melanda dunia, Winnie kerap melawat rumah kebajikan, namun, tahun lalu, dia tidak berkesempatan.

Akhirnya, pada 9 Januari lalu, Winnie berpeluang meluangkan masa dan menghiburkan anak-anak di Persatuan Kebajikan Kanak-Kanak Istimewa Insan Wilayah Kuala Lumpur dan Selangor.

"Bukan sekadar selebriti, saya sangat berharap orang ramai yang mempunyai wang dan kelapangan, memberi bantuan kepada golongan ini.

"Kehadiran pelawat boleh membuatkan mereka gembira," katanya.

Selain itu, Winnie turut menyalurkan wang setiap bulan kepada dua anak kelahiran Myanmar dan Thailand melalui program naungan World Vision.

Tambah Winnie, ia adalah usahanya untuk melihat anak-anak yang kurang bernasib baik gembira.

"Saya suka melihat mereka teruja. Walaupun tidak banyak yang saya boleh lakukan, namun, melihat mereka terhibur dengan nyanyian saya, itu sudah membuatkan saya tersenyum," katanya.

Sementara itu, bertanya mengenai perkembangan kerjaya seni, Winnie mengakui sedih apabila pendapatannya terjejas akibat banyak undangan nyanyian dibatalkan.

"Sejak Mac tahun lalu, banyak persembahan saya dibatalkan termasuk di luar negara. Nyanyian adalah sumber pendapatan utama saya.

"Tapi tak mengapa, saya berfikir positif. Bukan saya seorang terkesan, semua orang merasa.

"Saya harap semua orang boleh mematuhi pelaksanaan PKP agar kita semua dapat menyambut Tahun Baharu Cina bersama yang tersayang," katanya.

Berita Harian X