Jumaat, 8 Januari 2021 | 6:00pm
Pengerusi FINAS, Zakaria Abdul Hamid menyerahkan sumbangan barangan kelengkapan sekolah kepada anak penggiat seni di FINAS, hari ini. - NSTP/Khairul Azhar Ahmad
Pengerusi FINAS, Zakaria Abdul Hamid menyerahkan sumbangan barangan kelengkapan sekolah kepada anak penggiat seni di FINAS, hari ini. - NSTP/Khairul Azhar Ahmad

FINAS bantu anak penggiat seni

PETALING JAYA: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) melalui Jawatankuasa Hal Ehwal Warga Industri, Kebajikan dan Data Industri menyerahkan sumbangan sempena kembali ke sekolah kepada anak penggiat industri kreatif.

Pengerusi FINAS, Zakaria Abdul Hamid berkata, program kali pertama dilakukan bagi membantu meringankan tanggungan penggiat seni ketika pandemik COVID-19 ini.

"Program ini adalah julung kali diadakan di FINAS. Rasanya tak pernah lagi FINAS tampil dengan program seumpama ini. Jika di luar, program ini biasa dilakukan setiap awal atau hujung tahun bersama badan bukan kerajaan (NGO) dan tokoh korporat.

"Jadi, saya mengadakan program ini kerana anak penggiat seni juga tak boleh dilupakan. Walaupun ada di kalangan masyarakat mengatakan FINAS tiada kerja lain, sepatutnya membangunkan industri perfileman tempatan.

"Bagi saya, itu bukanlah satu kenyataan yang tidak adil sebab dalam masyarakat seni, kita juga manusia biasa yang memerlukan keperluan sama. Disebabkan itu, FINAS bertanggungjawab membangunkan industri perfileman. Dalam masa sama, kami membangunkan penggiat seni.

"Ini bermaksud kami juga menjaga kebajikan mereka," katanya kepada BH Online.

Sehubungan dengan usaha itu, FINAS percaya program Back To School adalah antara usaha yang sewajarnya dilakukan.

Pengerusi FINAS, Zakaria Abdul Hamid (tiga dari kiri) bersama penggiat seni dan anak-anak mereka yang menerima bantuan program Back To School. - Foto FINAS
Pengerusi FINAS, Zakaria Abdul Hamid (tiga dari kiri) bersama penggiat seni dan anak-anak mereka yang menerima bantuan program Back To School. - Foto FINAS

Mengulas lanjut, Zakaria berharap, program itu dapat memberi semangat kepada anak penggiat seni menjalani aktiviti persekolahan pada sesi 2021 ini.

"Inisiatif sumbangan ini bertujuan meringankan beban penggiat industri kreatif dalam menyediakan keperluan persekolahan anak-anak sempena pembukaan semula sekolah sesi tahun ini.

"Seramai 60 anak-anak penggiat industri dari latar belakang keluarga yang menerima sumbangan seperti barangan kelengkapan sekolah tajaan GISB Holdings dan Balqis Textiles and Manufacturing Sdn Bhd," katanya.

Tidak hanya itu, penyerahan sumbangan turut mendapat kerjasama daripada barisan rakan strategik iaitu CDERT Ohhsem, Angkatan Pertahanan Awam, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dan Yayasan Felda.

Dan ia juga dilaksanakan hasil kolabrasi bersama Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM) dan Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA).

Zakaria ditemui pada majlis penyerahan Back To School di Panggung 1, FINAS, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ahli Perbadanan FINAS merangkap Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Warga Industri, Kebajikan dan Data Industri FINAS, Datuk Seri Eizlan Yusof.

Berita Harian X