Selasa, 15 Disember 2020 | 1:00pm
Pengerusi FINAS, Zakaria Abdul Hamid sedia berunding dengan 9 syarikat produksi yang masih gagal dikesan untuk menyelesaikan isu penyelewengan Dana Kandungan Digital (DKD). - Foto Ihsan FINAS
Pengerusi FINAS, Zakaria Abdul Hamid sedia berunding dengan 9 syarikat produksi yang masih gagal dikesan untuk menyelesaikan isu penyelewengan Dana Kandungan Digital (DKD). - Foto Ihsan FINAS

9 syarikat produksi masih gagal dikesan

KUALA LUMPUR: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) mendedahkan sembilan daripada 44 syarikat produksi yang didakwa menyeleweng Dana Kandungan Digital (DKD) masih belum dapat dikesan untuk membincangkan isu berkenaan sebelum penghujung bulan ini.

Pengerusi FINAS, Zakaria Abdul Hamid berkata, sebanyak 35 syarikat produksi sudah menghubungi FINAS bagi berbincang masalah selepas didakwa gagal menyiapkan filem melalui dana diberikan sejak 2015 hingga 2019.

Katanya, tujuan FINAS menghebahkan isu penyelewengan dana menerusi media massa bukan untuk mengambil tindakan kerana dana yang disalurkan kerajaan itu bagi membantu perfileman negara.

"Hanya ada sembilan syarikat produksi membabitkan dana RM11 juta yang kebanyakannya drama dan dokumentari masih belum dapat dikesan untuk perbincangan lanjut.

"FINAS memberikan tempoh sehingga hujung bulan ini untuk produser datang dan berbincang secara baik, sebelum kes diserahkan kepada peguam.

"Jika sudah sampai kepada pihak guaman, ia akan memberi kesan buruk kepada nama produser dan produksi hingga tidak boleh memohon dana," katanya kepada BH Online.

Zakaria ditemui ketika mengunjungi pelakon, pelawak dan penulis lirik terkenal, Bob Lokman menerusi program Ziarah FINAS Prihatin 2.0 di kediamannya di Kampung Demit, Kubang Kerian, Kelantan, petang semalam.

Dalam masa sama, Bob turut dikunjungi Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob (kiri) dan Pengerusi FINAS, Zakaria Abdul Hamid mengunjungi Bob Lokman di kediamannya di Kampung Demit, Kubang Kerian, Kelantan, petang semalam. - Foto Ihsan FINAS
Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob (kiri) dan Pengerusi FINAS, Zakaria Abdul Hamid mengunjungi Bob Lokman di kediamannya di Kampung Demit, Kubang Kerian, Kelantan, petang semalam. - Foto Ihsan FINAS

Beliau berkata, FINAS sedia berbincang dan menambah dana sekiranya ada projek filem terbengkalai dan masih boleh diteruskan bagi memastikan karya berkenaan boleh dimanfaatkan serta ditayangkan.

"Sekiranya tidak boleh, FINAS akan mencari jalan lain untuk menyelesaikannya kerana mengambil kira berapa banyak sudah dibelanjakan atau pulangkan semula kepada FINAS.

"Kami boleh menggunakan dana ini untuk mengeluarkan filem baharu. Separuh daripada produser memberitahu penggambaran sudah siap, cuma peringkat pos-produksi terbengkalai kerana tidak mempunyai dana mencukupi.

"FINAS mempunyai dana untuk pemasaran. Paling penting, FINAS mahu melihat kualiti cerita. Jika bagus, kita boleh memberi tambahan dana untuk disiapkan daripada dibiarkan terbengkalai," katanya.

Berita Harian X