Rabu, 9 Disember 2020 | 9:50pm
Dari kiri Ketua Pengarah MyIPO, Datuk Mohd Roslan Mahayudin; Rosol, Rosmin dan M Nasir selepas mengadakan mesyuarat di ibu pejabat MyIPO di ibu negara, petang tadi. Foto NSTP/Shahril Badri
Dari kiri Ketua Pengarah MyIPO, Datuk Mohd Roslan Mahayudin; Rosol, Rosmin dan M Nasir selepas mengadakan mesyuarat di ibu pejabat MyIPO di ibu negara, petang tadi. Foto NSTP/Shahril Badri

Kira-kira 1,000 ahli RPM, PRISM dapat royalti

KUALA LUMPUR: Isu agihan royalti penggiat seni yang hangat diperkatakan sejak beberapa minggu lalu, berakhir apabila kira-kira 1,000 ahli Recording Performers Malaysia (RPM) dan Performers Rights and Interest Society of Malaysia Berhad (PRISM) yang dibubarkan, bakal menerima RM500 sebagai bayaran pendahuluan, mulai awal bulan depan.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid, berkata pembayaran itu adalah kadar permulaan daripada jumlah keseluruhan royalti bernilai RM11.7 juta.

"Saya difahamkan, minggu depan ada mesyuarat antara RPM, PRISM dan Jabatan Insolvensi Malaysia (MDI) untuk selesaikan isu ini.

"Perkara ini membabitkan MDI berikutan status PRISM yang diisytiharkan muflis. Kita harap perkara ini dapat diselesaikan sebelum akhir tahun ini.

"Sekarang masih dalam peringkat untuk mengenal pasti ahli yang terbabit. Dijangka untuk bayaran pertama ini, hampir 1,000 ahli akan mendapat sekurang-kurangnya RM500 setiap seorang.

Rosol berharap penggiat seni termasuk artis yang belum berdaftar dengan mana-mana badan pelesenan dapat berbuat demikian bagi memudahkan urusan tuntutan royalti. Foto NSTP/Shahril Badri
Rosol berharap penggiat seni termasuk artis yang belum berdaftar dengan mana-mana badan pelesenan dapat berbuat demikian bagi memudahkan urusan tuntutan royalti. Foto NSTP/Shahril Badri

"Ini adalah bayaran permulaan manakala bakinya sekitar RM11.2 juta akan dibayar dari masa ke semasa," katanya pada sidang media di ibu pejabat Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) di sini, hari ini.

Terdahulu, Rosol mempengerusikan mesyuarat dengan pemimpin badan tiga badan pelesenan iaitu Pengerusi Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik (MACP) Berhad, Datuk M Nasir dan Pengerusi Public Performance Malaysia (PPM), Rosmin Hashim.

Pengerusi RPM, Datuk Sheila Majid tampil secara virtual dalam mesyuarat itu.

Bagi memastikan urusan agihan royalti lancar, Rosol memaklumkan sebuah jawatankuasa akan dibentuk bagi mengenal pasti ahli yang layak menerima bayaran.

"Ketika ini, ada isu ahli 'bertindih' apabila ada antara mereka memegang dua keahlian iaitu RPM dan PRISM. Tugas jawatankuasa ini adalah untuk menyemak keahlian mereka sama ada sahih atau tidak.

"Kita tidak mahu berlaku situasi di mana ada yang mendakwa mereka ahli, tetapi rupa-rupanya belum mendaftar.

"Jadi, saya menasihatkan mereka yang belum mendaftar sebagai ahli mana-mana badan pelesenan agar segera berbuat demikian. Ini penting supaya urusan agihan royalti dapat dibuat.

"Janganlah nanti apabila sudah 'sakit' baru hendak cari kawan-kawan," katanya.

Pada mesyuarat yang berlangsung lebih sejam itu, semua pihak sepakat mengekalkan fungsi tiga badan pelesenan iaitu MACP, RPM dan PPM dalam melaksanakan tanggungjawab secara berasingan, demi kepentingan pemegang hak cipta.

"Berdasarkan keputusan mesyuarat, tiga badan pelesenan terbabit tidak bersetuju mewujudkan semula badan pelesenan muzik kolektif iaitu Music Rights Malaysia (MRM) Berhad yang sudah dibubarkan, Julai lalu.

"Kita akan kekalkan status quo semua badan terbabit untuk melaksanakan tanggungjawab mereka mengutip dan mengagihkan royalti.

"Kita menghormati permintaan setiap badan dan percaya dengan pengalaman lebih 40 tahun mereka dalam bidang ini.

"Sebagai pemudah cara, kami hanya akan memantau. Jika ada perkara berbangkit atau tidak puas hati, ahli boleh membuat tuntutan di Tribunal Hak Cipta," katanya.

Berita Harian X