Selasa, 8 Disember 2020 | 11:00am
Pansha menyarankan FINAS melantik ahli panel bagi menyemak setiap permohonan mendapatkan DKD. Foto Ihsan FB PFM
Pansha menyarankan FINAS melantik ahli panel bagi menyemak setiap permohonan mendapatkan DKD. Foto Ihsan FB PFM

Seleweng DKD : PFM syor lantik panel buat saringan

KUALA LUMPUR: Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) mencadangkan Perbadanan Kemajuan Perfileman Malaysia (FINAS) melantik ahli panel dianggotai individu berkelayakan membuat saringan syarikat produksi yang layak menerima Dana Kandungan Digital (DKK) bagi mengelak diseleweng.

Presiden PFM, Pansha, berkata ahli panel yang dilantik bagaimanapun perlu daripada kalangan penggiat seni yang memahami selok-belok industri perfileman seperti karyawan veteran daripada PFM.

"Janganlah lantik mereka yang tidak mempunyai ilmu atau pengalaman dalam bidang perfileman.

"Disebabkan senario itulah, kita dapat lihat ada taukeh sayur, tukang besi dan golongan seumpamanya yang mendapat geran kerajaan.

"Penggiat berpengalaman seperti kami tahu siapa yang boleh dipercayai atau tidak. Kami sudah lebih 40 tahun bergiat di dalam bidang ini.

Suatu bentuk mekanisme perlu diperkenalkan bagi memastikan DKD diagihkan kepada syarikat produksi berwibawa. Gambar Hiasan. Foto NSTP
Suatu bentuk mekanisme perlu diperkenalkan bagi memastikan DKD diagihkan kepada syarikat produksi berwibawa. Gambar Hiasan. Foto NSTP

"Saya tegaskan perkara ini supaya kes pemberian dana kepada syarikat produksi yang tidak layak, berulang lagi," dakwanya kepada BH Online.

Baru-baru ini, Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Zakaria Abdul Hamid mendedahkan enam syarikat produksi didakwa terbabit dalam isu penyelewengan Dana Kandungan Digital (DKD) sedang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Zakaria dilaporkan berkata, tindakan itu dibuat susulan pendedahan mengenai 44 syarikat produksi yang didakwa menyalah guna geran DKD sebanyak lebih RM30 juta apabila gagal menerbitkan filem kenegaraan seperti dijanjikan.

Pansha berkata, pihaknya terbuka jika FINAS mahu mengadakan perbincangan bagi mencari jalan mengelak DKD disalahgunakan.

Tambahnya, PFM menyokong langkah FINAS mengambil tindakan terhadap enam syarikat yang didakwa terbabit dalam isu penyelewengan DKD.

"Saya menyokong langkah SPRM dan FINAS menyiasat kes berkenaan.

"Apabila timbulnya kes ini, penerbit yang jauh lebih layak dan berkemampuan untuk menggunakan dana yang diberi dengan baik, tidak berpeluang.

"Persatuan sangat berharap penerbit yang menyalahgunakan dana dibawa ke muka pengadilan," katanya.

Pansha berkata, ahli PFM tidak terbabit dalam kes penyelewengan DKD.

"Saya fikir kebanyakan mereka yang bermasalah adalah penerbit yang baru terjun dalam bidang ini.

"Disebabkan tiada pengalaman, mereka tidak dapat menguruskan dana dengan baik.

"Ini adalah duit rakyat, sepatutnya mereka lebih bertanggungjawab. Ramai yang boleh mendapat manfaat, tapi mereka ini merosakkan," katanya.

Berita Harian X