Khamis, 3 Disember 2020 | 6:04pm
Pelakon Pujaan Hat Kanda, Sarah Hildebrand terpaksa menelan kata-kata cacian daripada individu yang menilai dirinya hanya dari luaran. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Pelakon Pujaan Hat Kanda, Sarah Hildebrand terpaksa menelan kata-kata cacian daripada individu yang menilai dirinya hanya dari luaran. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Sarah simpan rahsia

KUALA LUMPUR: Sanjungan dan pujian yang pernah diterima suatu ketika dahulu bertukar kecaman. Semuanya gara-gara keputusan wanita ini menanggalkan hijab yang menjadi penampilan dirinya sejak lima tahun lalu.

Ibarat bom jangka yang meledak, tindakan pelakon, model dan pengacara, Sarah Hildebrand bukan sahaja mengejutkan peminat, malah meletakkan dirinya dalam bara.

Dalam laman sosial, netizen mula melemparkan kata-kata kurang enak. Bukan sekadar mempersoalkan keputusannya, malah menyebarkan spekulasi punca Sarah menanggalkan hijab.

Selain mendakwa keputusan Sarah ada kaitan dengan faktor 'terdesak' untuk mendapatkan tawaran kerja, netizen mengaitkan kontroversi dengan kemahuan suami pelakon berdarah kacukan Melayu, Inggeris dan Jerman itu.

Netizen mendakwa entri dimuat naik suami Sarah, Otto Gillen yang merestui keputusan pelakon itu sejurus isterinya berkongsi foto tidak berhijab di Instagram (IG), sebagai petunjuk.

Kesal dengan tuduhan yang disifatkan tidak berasas, Sarah mempertahankan suaminya bukan punca dia menanggalkan hijab.

"Ada yang tuduh kononnya saya buka tudung atas permintaan suami. Mereka buat dakwaan hanya kerana suami saya saudara baharu dan memiliki tatu.

"Suami saya tidak bersalah dalam hal ini. Keputusan itu dibuat atas kehendak saya dan tidak dipengaruhi sesiapa.

"Justeru tidak adil untuk menuding jari kepada Otto," katanya ketika ditemubual kapsul hiburan BHTV, Apa Kes?, baru-baru ini.

Sarah memberitahu, ketika menyuarakan hasrat untuk menanggalkan hijab, suaminya terkejut.

"Otto bertanya mengapa saya mengambil keputusan itu? Dia mengaku suka melihat saya berhijab.

"Apa yang diluahkan suami dalam IG hanyalah suatu bentuk sokongan terhadap apa sahaja keputusan yang dibuat isterinya.

"Bukanlah bermakna suami menggalakkan saya membuka tudung," katanya.

Mengenai dakwaan tidak ditawarkan 'job' menjadi punca dia terpaksa membuka tudung, Sarah menafikan perkara itu.

Kesal dengan tuduhan yang disifatkan tidak berasas, Sarah Hildebrand mempertahankan suami, Otto Gillen bukan punca menanggalkan hijab. - Foto IG Sarah Hildebrand
Kesal dengan tuduhan yang disifatkan tidak berasas, Sarah Hildebrand mempertahankan suami, Otto Gillen bukan punca menanggalkan hijab. - Foto IG Sarah Hildebrand

Sarah turut menolak andaian konon 'digam' selepas membuat keputusan nekad itu.

"Keputusan yang saya buat tidak ada kena-mengena dengan terdesak mendapatkan tawaran kerja.

"Situasi saya sama sahaja dengan penggiat seni lain yang sedikit terjejas berikutan penularan wabak COVID-19.

"Tawaran kerja masih ada, cuma tidaklah banyak seperti sebelum pandemik melanda. Saya juga tidak digam seperti yang disangka ramai.

"Mengapa saya buat keputusan ini, agak sukar untuk saya jelaskan. Jadi, biarlah saya sahaja yang tahu.

"Perkara ini terlalu peribadi untuk saya kongsi kepada khalayak," kata pelakon drama bersiri Rindu Awak 200% dan Pujaan Hati Kanda ini.

Berkongsi perasaan tatkala berdepan masyarakat selepas menanggalkan hijab, Sarah mengaku situasi itu cukup mencabar.

Sarah terpaksa menelan kata-kata cacian daripada individu yang menilai dirinya hanya dari luaran.

Bagaimanapun, kata-kata negatif diterima tidaklah sampai membuatkan dirinya makan hati atau menjeruk rasa.

"Apabila membaca komen yang dikongsi, terdetik dalam hati, mengapa mereka terlalu kejam dan tergamak melemparkan... Mereka bebas cakap apa sahaja kata-kata kesat.

"Tapi saya tidaklah sampai menangis. Sebaliknya, hanya rasa pelik dengan tindakan mereka.

"Kalau boleh, saya tak mahu sebut perkataan ini. Tetapi saya sudah lali dengan kecaman yang dilemparkan netizen," katanya.

Sarah Hildebrand menolak andaian kononnya ‘digam’ selepas membuat keputusan tidak berhijab. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Sarah Hildebrand menolak andaian kononnya ‘digam’ selepas membuat keputusan tidak berhijab. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Sarah bersyukur masih ada netizen yang memberi kata-kata semangat untuk dirinya lebih kuat berdepan cabaran.

"Walaupun ibu saya terkejut dengan tindakan saya, namun, ibu menghormati keputusan yang dibuat.

"Sekarang, saya sudah okay dan mahu meneruskan kehidupan seperti biasa. Biasalah mulut orang, mereka bebas hendak cakap apa," katanya.

Dalam membina kekuatan diri, Sarah mengaku mendapatkan pandangan rakan artis yang pernah melalui situasi sama.

"Mereka berkongsi pandangan dan memberi kata-kata semangat," katanya.

Sebelum ini, Sarah dikatakan bakal menyinar sebagai pelakon pelapis.

Namun, selepas mendirikan rumah tangga, populariti Sarah atau nama penuh, Nur Sarah Marie Hildebrand Asyraf Hildebrand seakan merudum.

Sarah bagai tenggelam dengan bakat baharu yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan.

Ketika diajukan pertanyaan itu, pelakon filem Mirip ini berpendapat, tanggapan itu sudah tidak relevan.

Sarah percaya peminat sekarang lebih menilai bakat berbanding status diri.

"Saya tidak fikir status sebagai isteri membuatkan populariti jatuh. Perkara ini ada kaitan dengan rezeki.

"Mungkin sekarang tawaran kerja berkurangan, tetapi pada masa akan datang, siapa tahu Allah bagi rezeki yang berlipat ganda.

"Berkahwin bukanlah penyebab. Selepas bergelar isteri, saya masih terima tawaran berlakon," katanya.

Sarah berkata, peminat sudah bijak menilai.

"Apabila kita minat dengan seseorang artis, status bukan lagi menjadi isu. Lagipun perkahwinan adalah sesuatu yang positif.

"Sebagai peminat, kita sepatutnya gembira apabila idola kita bahagia," katanya.

November yang bakal melabuhkan tirai tidak lama lagi menandakan genap setahun Sarah dan Otto melayari bahtera perkahwinan.

Apakah pasangan ini tidak berhasrat untuk menimang cahaya mata yang boleh menjadi pelengkap hidup?

Ketika diajukan soalan ini kepada empunya diri, Sarah memberi alasan tersendiri.

"Dalam situasi sekarang, kami fikir tidak sesuai untuk saya hamil. Kena tengok dahulu keadaan.

"Jika tahun depan keadaan semakin pulih, barulah kami boleh merancang untuk mempunyai zuriat," katanya yang mengusahakan perniagaan kosmetik dan produk makanan.

Berita Harian X