Khamis, 3 Disember 2020 | 12:00pm
Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Zakaria Abdul Hamid. - Foto FINAS
Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Zakaria Abdul Hamid. - Foto FINAS

Enam disiasat SPRM, sembilan lagi gagal dikesan

KUALA LUMPUR: Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Zakaria Abdul Hamid mendedahkan enam syarikat produksi didakwa terbabit dalam isu penyelewengan Dana Kandungan Digital (DKD) sedang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Zakaria berkata, tindakan itu dibuat susulan pendedahan mengenai 44 syarikat produksi yang didakwa menyalah guna geran DKD sebanyak lebih RM30 juta apabila gagal menerbitkan filem kenegaraan seperti yang dijanjikan.

"Daripada 44 syarikat produksi disenarai hitam berikutan kegagalan menerbitkan filem kenegaraan, enam kini sedang disiasat SPRM, sembilan lesap dan 29 syarikat produksi sudah menghubungi FINAS untuk mencari jalan penyelesaian.

"Tindakan dibuat selepas mendapati kes membabitkan enam produksi ini sudah berlanjutan terlalu lama hingga terpaksa dibawa ke peringkat undang-undang," katanya kepada BH Online.

Dalam perkembangan berkaitan, Zakaria turut memaklumkan FINAS sedang berusaha untuk mengesan sembilan syarikat produksi yang ghaib tanpa sebarang khabar berita.

"Sembilan produksi ini gagal dikesan hingga hari ini. Kami masih memberi ruang dan peluang pada mereka untuk tampil menghubungi FINAS dan memberikan penjelasan atas apa yang berlaku.

"FINAS memberikan tempoh selama sebulan. Jika sembilan syarikat ini gagal berbuat demikian dan masih terus berdegil dengan mengambil sikap mendiamkan diri, kami tiada pilihan selain mengenakan tindakan undang-undang.

"Jika boleh, kami tak mahu sampai tahap ini. Datang jumpa kami dan ceritakan apa masalah yang dihadapi dan kita sama-sama mencari jalan penyelesaian," katanya ketika ditemui selepas program Ziarah FINAS Prihatin 2.0 di Semenyih, Hulu Langat, semalam.

Zakaria berkata, enam produksi yang disenarai hitam membabitkan pemberian dana sebanyak RM10.4 juta, manakala RM8.2 juta membabitkan sembilan produksi yang gagal dikesan.

Beliau berkata, kebanyakan pemain industri yang berjumpa dengan FINAS menjadikan alasan tidak cekap dalam menguruskan kewangan sebagai punca gagal menerbitkan filem yang dikehendaki.

"Kebanyakan mereka memberikan kegagalan menguruskan kewangan dengan cekap membuatkan projek filem terbengkalai. Nak harapkan pinjaman bank, mungkin susah nak dapat kelulusan. Sudahnya perkara ini dibiarkan senyap begitu sahaja," ujarnya.

Mengulas gesaan yang dibuat oleh penggiat industri perfileman supaya nama produksi tidak bertanggungjawab didedahkan kepada umum, Zakaria berkata, tindakan berkenaan sukar dilakukan kerana FINAS tertakluk kepada syarat yang sudah dipersetujui awal.

"Mengikut perjanjian dibuat pengurusan tertinggi FINAS bersama produksi berkenaan, terdapat syarat yang menetapkan FINAS tidak dibenarkan mendedahkan maklumat penerima geran. Jika kami dedahkan, pihak syarikat produksi boleh mengambil tindakan saman.

"Atas dasar itu, FINAS tidak dapat mendedahkan nama produksi yang terbabit dalam isu ini. Bagaimanapun, saya dan Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Ahmad Idham Ahmad Nadzri mengambil keputusan menghapuskan syarat itu. Sebagai pemberi dana, kenapa kita kena ikut syarat yang tidak memihak kepada FINAS?

"Disebabkan itu, kami mengambil keputusan mengumumkan senarai 139 pemain industri yang menerima geran daripada FINAS supaya isu salah guna dana dapat dielakkan," tegasnya.

Pada majlis itu, selain bertanya khabar, Zakaria turut menyerahkan sumbangan berupa wang tunai, kerusi roda dan barangan dapur kepada anak Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee iaitu Sazali P Ramlee dan meluangkan masa selama dua jam.

Berita Harian X