Rabu, 2 Disember 2020 | 1:00pm
Altimet dilantik Ahli Lembaga Pengarah RPM, tahun lalu. Foto IG Altimet
Altimet dilantik Ahli Lembaga Pengarah RPM, tahun lalu. Foto IG Altimet

Isu royalti : Altimet ajak bincang

KUALA LUMPUR: Isu menghambat Recording Performers Malaysia (RPM) boleh diselesaikan jika pihak yang membangkitkannya bersikap rasional, bukan mengikut emosi.

Ahli Lembaga Pengarah RPM, Altimet, berkata ada baiknya pihak terbabit menggunakan pendekatan berbincang atau datang berjumpa pengurusan RPM berbanding menggunakan media sosial untuk meluahkan perasaan.

"RPM sentiasa sedia menjawab segala persoalan yang timbul berkaitan isu royalti.

"Saya faham, mereka yang terbabit dalam kerja kreatif perlu berkarya dengan jiwa. Situasi itu membuatkan diri mereka menjadi lebih sensitif.

"Namun, lebih baik jika mereka yang tidak faham atau kurang jelas berhubung agihan royalti, datang berjumpa kami.

Altimet menganggap pendekatan rundingan mampu menyelesaikan masalah ahli badan pelesenan bagi pungutan royalti. Foto IG Altimet
Altimet menganggap pendekatan rundingan mampu menyelesaikan masalah ahli badan pelesenan bagi pungutan royalti. Foto IG Altimet

"Boleh bertanya kepada kami mengenai kemusykilan yang timbul," katanya kepada BH Online.

Altimet mengaku pernah berada dalam situasi sama ketika mula-mula menyertai bidang muzik.

"Pengetahuan saya mengenai royalti kosong. Saya ambil Inisiatif bertanya kepada Music Authors Copyright Protection (MACP) atau merujuk kepada komposer 'senior'.

"Tidak kisahlah orang hendak perli hanya kerana saya asyik bertanya perkara sama. Ini ada kaitan dengan periuk nasi. Kita kena ada ilmu itu," katanya.

Altimet atau nama sebenar, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad, 42, bagaimanapun memberitahu, tidak semua penggiat seni bersikap sedemikian.

Masih ada yang 'ringan mulut' bertanya soalan untuk mendapatkan maklumat lebih jelas.

"Saya puji sikap mereka yang datang sendiri bertanya isu berkaitan royalti.

"Menjadi tugas kami di RPM untuk menyalurkan apa sahaja maklumat kepada ahli," katanya.

Altimet berkata, ada kebaikan apabila ahli menghadiri mesyuarat agung tahunan persatuan.

"Kita boleh suarakan rasa tidak puas hati untuk didengari dan diambil tindakan. Apa yang berlaku, apabila kita mengadakan mesyuarat agung, kehadiran amat menyedihkan.

"Bayangkan, daripada kira-kira 2,000 ahli, mereka yang hadir cuma kira-kira 300 orang," katanya.

Selain Altimet, turut dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah RPM pada mesyuarat agung badan tahun lalu adalah Jaclyn Victor, Ana Raffali dan Aniu.

Mengulas rungutan penggiat seni yang mempersoalkan mengapa agihan royalti belum diselesaikan, penyanyi yang popular dengan lagu Amboi ini berkata, agihan royalti perlu diuruskan dengan berhati-hati dan profesional agar tidak berlaku perkara berbangkit.

"Agihan royalti tidak boleh dibuat sambil lewa. Kita kena pastikan ahli yang mendaftar mendapat hak sepatutnya.

"Justeru, urusan berkaitan perlu dibuat dengan hati-hati supaya tidak berlaku kesilapan yang boleh menyusahkan banyak pihak.

"Pernah berlaku apabila MACP membuat kesilapan dengan memberi royalti saya kepada orang lain. Seboleh mungkin kami tidak mahu perkara seumpama itu berlaku dalam RPM.

"Jadi, kita sangat teliti dalam aspek pendaftaran hak cipta supaya tidak berlaku penipuan yang boleh mendatangkan kesulitan pada kemudian hari," katanya.

Sejak minggu lalu, PRM dihambat kontroversi agihan royalti dan gesaan agar Pengerusinya, Datuk Sheila Majid berundur.

Industri hiburan kecoh apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilaporkan menyiasat tiga badan pelesenan pungutan royalti selepas aduan dikemukakan Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Datuk Freddie Fernandez yang juga Ahli Panel Penasihat SPRM, dalam perjumpaan bersama Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki, bulan lalu.

Kelmarin, Karyawan menganjurkan sidang media mendesak Sheila melepaskan jawatan sebagai Pengerusi RPM.

Pada majlis itu, komposer dan pemuzik, Mohd Rafi Shafie, 51, menawarkan diri mengambil alih tugas Sheila sambil mendakwa sedia mengemudi RPM dan menyelesaikan semua isu tertunggak.

Difahamkan, Sheila mula mengetuai RPM sejak 2012 selepas dipilih ahli melalui mesyuarat agung pertama.

Berita Harian X