Selasa, 1 Disember 2020 | 1:00pm
Isu royalti hangat diperkatakan selepas Freddie yang juga Ahli Panel Penasihat SPRM, membuat laporan mengenainya dalam perjumpaan bersama Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki, bulan lalu. Foto NSTP/Mohamad Shahril Badri Saari
Isu royalti hangat diperkatakan selepas Freddie yang juga Ahli Panel Penasihat SPRM, membuat laporan mengenainya dalam perjumpaan bersama Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki, bulan lalu. Foto NSTP/Mohamad Shahril Badri Saari

Isu royalti : Fahami realiti, bukan emosi

KUALA LUMPUR: Penggiat seni termasuk artis perlu memahami dengan terperinci mekanisme pungutan dan agihan royalti, selain menggunakan kebijaksanaan bukannya emosi, dalam membicarakan isu agihan royalti yang hangat diperkatakan, sejak akhir-akhir ini.

Menerajui badan pemungut royalti, Music Authors Copyright Protection (MACP) Berhad bagi tempoh 18 tahun sebelum meletakkan jawatan, dua tahun lalu, penulis lirik terkenal, Habsah Hassan, 71, percaya pemahaman lebih jelas penggiat seni terhadap isu royalti, mampu membantu pihak berkepentingan mencari penyelesaian kemelut itu.

"Saya faham orang seni emosinya lebih sedikit. Namun, kita perlu bercakap dengan kewarasan akal, melihat realiti, fahami keadaan dan bukan bercakap dengan emosi.

Habsah mengetuai MACP selama 18 tahun sebelum meletakkan jawatan kira-kira dua tahun lalu. Foto FB Habsah Hassan
Habsah mengetuai MACP selama 18 tahun sebelum meletakkan jawatan kira-kira dua tahun lalu. Foto FB Habsah Hassan

"Ada yang bercakap tetapi tidak tahu apa perjanjian dimeterai, tidak berfikir dan tidak faham kesulitan yang dialami badan pemungut royalti dalam melaksanakan tugas," katanya kepada BH Online.

Sejak minggu lalu, industri hiburan kecoh apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) dilaporkan mula menyiasat badan kutipan royalti atas aduan dibuat Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Freddie Fernandez.

Habsah mengakui tidak pernah menghadapi masalah besar selama menerajui MACP sehinggalah semua organisasi pungutan diarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) diletakkan di bawah badan tunggal mengutip royalti untuk kemudahan pengguna.

Habsah berkata, penubuhan Music Rights Malaysia (MRM) Berhad mengambil masa yang lama dan cukup mencabar kerana sudah tentu setiap organisasi mahu memperjuangkan kepentingan ahli masing-masing.

"Selain itu, dikenakan pula beberapa syarat oleh kementerian yang tidak mudah kami patuhi terutama dalam konteks mahu memuaskan ahli.

"Memberi arahan mudah tetapi untuk melaksanakannya secara terbaik dan seadil mungkin adalah sangat berbeza," katanya.

Habsah berkata, pecahan dan penggunaan karya seni ada bermacam-macam membabitkan sumber berbeza.

"Proses pungutan dan agihan royalti dibuat antara lain berdasarkan data penggunaan yang diperoleh daripada pelbagai pihak.

"Misalnya, stesen penyiaran, persembahan konsert, hotel, pusat karaoke dan lain-lain. Pengagihan pula dibuat mengikut kekerapan penggunaan," katanya.

Berkongsi pengalaman sebagai Pengerusi MACP yang kini dianggotai hampir 4,000 ahli yang didaftarkan secara individu dan syarikat penerbitan, Habsah berkata, sepanjang tempoh bersama MACP, beliau dan Ahli Lembaga Pengarah tidak menerima gaji tetap.

Sebaliknya, mereka sekadar menerima bayaran elaun untuk kehadiran mesyuarat.

"Mungkin ramai tidak tahu, Ahli Lembaga Pengarah MACP sejak ditubuhkan sehingga kini, tidak bergaji tetap," katanya.

Menyentuh mengenai kebajikan ahli, Habsah tidak menafikan segelintir ahli menganggap MACP sebagai 'pusat kebajikan', sedangkan pada hakikatnya, badan itu hanya menjalankan tugas sebagai agensi memungut dan mengagihkan royalti berdasarkan data penggunaan.

"Namun, sebagai badan bertanggungjawab, Ahli Lembaga Pengarah MACP tetap memberi royalti minimum kepada ahli serta menyediakan sedikit peruntukan untuk membantu mereka yang benar-benar dalam kesempitan," katanya.

Sehubungan itu, Habsah berpandangan mentaliti segelintir artis yang mengharapkan agihan royalti sebagai sumber pendapatan, perlu diubah.

"Artis perlu aktif berkarya, berusaha bekerja dan mencuba meningkatkan pendapatan untuk kelangsungan hidup.

"Amat menyedihkan jika bergantung harap kepada royalti semata-mata kerana pendapatan royalti itu tidak tetap dari tahun ke tahun dan bayaran hanya dibuat sekali setahun," katanya.

Mengulas saranan Karyawan mahu kerajaan menghidupkan semula MRM sebagai badan tunggal mengutip royalti, Habsah mengaku ada pro dan kontra dalam cadangan itu.

"Sebelum ini, tiga badan iaitu MACP, Public Performance Malaysia (PPM) Sdn Bhd dan Recording Performers Malaysia (RPM) Berhad diarahkan diletak di bawah MRM.

"Keadaan sangat mencabar terutama bagi MACP yang pada mulanya diterima sebagai 'primary owner' atau pemegang hak asas lagu dalam struktur baharu itu.

"Tetapi sewaktu pungutan dibuat, ada pula pihak berkeras mahu nisbah pengagihan tiga badan berkaitan diubah," katanya.

Habsah berkata, hakikatnya, untuk melaksanakan tugas itu, bukan mudah.

"Setiap organisasi mempunyai ahli berbeza, cara pungutan dan pengagihan tidak sama yang akhirnya timbul banyak masalah.

"Bukan sedikit masa dan usaha dikorbankan. Bukan sedikit modal dikeluarkan untuk membuka pejabat, melantik kakitangan dan mendapatkan teknologi terkini bagi memudahkan urusan pungutan dan agihan royalti.

"Tetapi akhirnya, terkandas di tengah jalan," katanya.

Habsah berkata, isu mula timbul apabila ada pihak membangkitkan formula 2:1:1 atau 50 peratus kepada MACP yang membabitkan komposer, penulis lirik dan penerbit; 25 peratus kepada PPM (syarikat rakaman) dan 25 peratus lagi kepada RPM (artis) yang dipersetujui dalam mesyuarat awal dan dipateri bersama kementerian.

"Dari situ, timbul kesulitan untuk mengagihkan royalti dipungut dan semua pihak tidak sehati dengan persetujuan awal dibuat.

"Kebanyakan ahli pula tidak faham dengan masalah dalaman, biarpun kita cuba memberi penjelasan.

"Banyak tuduhan dilemparkan dengan kata-kata tidak sedap didengari. Keadaan yang tidak menentu itu menyebabkan kutipan royalti turun mendadak.

"Keadaan bertambah buruk apabila timbul fitnah-memfitnah hingga menyentuh peribadi," katanya.

Habsah berpendapat jika MRM mahu dihidupkan semula, perkara itu perlu diputuskan ahli setiap badan pungutan royalti.

"Kembalikan kepada ahli untuk memutuskan atas suara majoriti apakah langkah terbaik yang boleh diambil bagi menangani isu agihan royalti," katanya.

Sebelum ini, MRM diwujudkan sebagai sebuah syarikat tidak berasaskan keuntungan yang bertindak sebagai badan pelesenan tunggal menjalankan aktiviti kutipan royalti bagi badan pelesenan sedia ada.

Namun, susulan proses penggulungan syarikat secara sukarela oleh ahlinya, Julai lalu, MRM hilang kelayakan atau mandat di dalam urus tadbir pelesenan muzik.

Berikutan itu, tiga badan pelesenan muzik iaitu MACP; PPM dan RPM masing-masing melakukan sendiri proses kutipan dan agihan royalti.

Sebuah lagi badan yang dahulunya di bawah MRM, Performer's Rights Interest Society of Malaysia (PRISM) pula diletakkan di bawah seliaan pelikuidasi, Jabatan Insolvensi Malaysia (MDI).

Mengenai operasi MACP dalam menguruskan agihan royalti ahli, Habsah yakin badan itu profesional dalam melaksanakan tugas mereka.

"MACP ada Ahli Lembaga Pengarah yang amanah dan berhemah dalam berbelanja.

"Kita juga mengamalkan dasar pintu terbuka di mana ahli yang tidak berpuas hati, boleh datang berjumpa untuk diterangkan cara agihan dibuat.

"Saya juga sangat bertuah kerana mempunyai Ahli Lembaga Pengarah dan kakitangan yang berdedikasi diketuai mantan Pengurus Besar, Chan Miew Lan yang memiliki pengetahuan hebat dalam bidang pungutan dan agihan royalti," katanya.

Berita Harian X