Isnin, 30 November 2020 | 11:36pm
Ito Mohd, Khadijah Ibrahim, Freddie dan Mohd Rafi Shafie pada sidang media mendesak Sheila meletakkan jawatan sebagai Pengerusi RPM di ibu negara, hari ini. Foto NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Ito Mohd, Khadijah Ibrahim, Freddie dan Mohd Rafi Shafie pada sidang media mendesak Sheila meletakkan jawatan sebagai Pengerusi RPM di ibu negara, hari ini. Foto NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Tunggu siasatan selesai - Sheila Majid

KUALA LUMPUR: "Saya hanya keluarkan kenyataan selepas siasatan selesai."

Itu reaksi Pengerusi Recording Performers Malaysia (RPM), Datuk Sheila Majid berhubung kontroversi desakan meletakkan jawatan atas dakwaan gagal menyelesaikan isu agihan royalti ahli, yang diperkatakan sejak minggu lalu.

Sheila yang mula mengetuai RPM sejak 2012 memberitahu, buat masa ini, beliau lebih selesa mengambil sikap 'mengunci mulut' kerana tidak mahu mengganggu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), sejak beberapa hari lalu.

"Saya sudah memberikan kerjasama penuh kepada SPRM. Tiada apa yang perlu disembunyikan kerana segala maklumat serta dokumen berkaitan yang diminta, sudah diserahkan.

"Jika ada perkara berbangkit yang menuntut penjelasan lanjut, mereka akan menghubungi saya.

Sheila mengambil sikap ‘mengunci mulut’ kerana tidak mahu mengganggu siasatan SPRM. Foto IG Sheila Majid
Sheila mengambil sikap ‘mengunci mulut’ kerana tidak mahu mengganggu siasatan SPRM. Foto IG Sheila Majid

"Sekarang, saya hanya menunggu tindakan lanjut mereka (SPRM). Hanya selepas siasatan selesai, barulah saya bersedia mengulas segala kemelut yang berlaku," katanya kepada BH Online.

Baru-baru ini, industri seni kecoh apabila Presiden Karyawan Malaysia (Karyawan), Datuk Freddie Fernandez mendakwa Sheila gagal dalam menjalankan tugas dalam mengagihkan royalti ahli RPM.

Kemelut itu semakin memuncak apabila SPRM campur tangan dengan menyiasat tiga badan kutipan royalti iaitu Music Authors Copyright Protection (MACP) Berhad, Public Performance Malaysia (PPM) Sdn Bhd dan RPM.

Operasi dibuat berdasarkan laporan dikemukakan Freddie yang juga Ahli Panel Penasihat SPRM dalam perjumpaan bersama Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki, bulan lalu.

Berita Harian X