Isnin, 30 November 2020 | 11:37am
Fauziah Latiff berharap setiap pihak perlu bertanggungjawab dengan amanah diberi. - Foto IG Fauziah Latiff
Fauziah Latiff berharap setiap pihak perlu bertanggungjawab dengan amanah diberi. - Foto IG Fauziah Latiff

'Artis keliru agihan royalti'

KUALA LUMPUR: Keliru, kurang faham mekanisme agihan dan 'label' isu lapuk tanpa penyelesaian konkrit menjadi reaksi penggiat seni terhadap kemelut bayaran royalti artis yang mencetuskan kontroversi, sejak minggu lalu.

Kekecohan tercetus sebaik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) dilaporkan mula menyiasat badan kutipan royalti atas aduan dibuat Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Freddie Fernandez, mendorong seorang demi seorang anak seni, daripada bintang legenda hingga bakat baharu digelar 'budak-budak nak up' (BBNU) tampil berkongsi pandangan.

Ada yang lantang bersuara, tidak kurang juga mengambil pendekatan berkecuali, rata-rata selebriti mengaku isu royalti sebagai lapuk dan perlu segera ditangani secara telus. Usaha ini, bagi mereka, menuntut kesediaan semua pihak berunding secara profesional demi kepentingan industri hiburan.

Lebih empat dekad mengabdikan diri dalam dunia seni, Raja Pop, Datuk Jamal Abdillah, berkata siasatan SPRM ke atas badan pemungut royalti membuka mata terhadap dakwaan wujudnya ketidaktelusan dalam isu agihan royalti artis.

"Sejak zaman 1960-an hingga sekarang, korupsi dunia seni dalam pelbagai isu termasuk royalti sudah berlaku.

"Begitu juga dengan isu cetak rompak. Sejak zaman cakera padat hinggalah ke era digital, perkara itu bagai tiada kesudahan.

"Bertukarlah tampuk pimpinan sekalipun, nasib anak seni terus dipandang sebelah mata," katanya kepada BH Online.

Datuk Jamal Abdillah menganggap penat lelah anak seni tidak mendapat pulangan setimpal apabila isu lapuk masih membelenggu industri hiburan. - Foto IG Datuk Jamal Abdillah
Datuk Jamal Abdillah menganggap penat lelah anak seni tidak mendapat pulangan setimpal apabila isu lapuk masih membelenggu industri hiburan. - Foto IG Datuk Jamal Abdillah

Jamal berkata, penat lelah anak seni tidak mendapat pulangan setimpal apabila isu lapuk masih membelenggu industri hiburan.

"Pihak yang mendapat 'isi ikan' sebagai perumpamaan, lebih kepada syarikat rakaman dan pihak tidak bertanggungjawab yang melakukan agenda jahat seperti cetak rompak.

"Artis yang bekerja hanya mendapat 'tulang ikan'," katanya.

Bintang legenda berusia 61 tahun ini berharap isu kutipan dan agihan royalti disemak semula terutama dalam aspek peratusan bayaran kepada artis.

"Soal pembahagian royalti artis ini dari zaman Allahyarham Tan Sri P Ramlee dan Allahyarham Datuk Ahmad Jais hingga era saya, masih dilihat serba tidak kena.

"Ada anak seni yang mendapat hak sewajarnya dan begitulah sebaliknya.

"Ada juga yang nampak isu ini seperti berat sebelah apabila syarikat rakaman melebihkan bayaran royalti kepada artis yang buat kerja," katanya.

Diminta mengulas apakah beliau berdepan masalah bayaran royalti, suami kepada Datin Zai Izzati ini bagaimanapun enggan memberi jawapan.

Amy Mastura menerima bayaran royalti mengikut kadar serendah ratusan hingga ribuan ringgit. - Foto IG Amy Mastura
Amy Mastura menerima bayaran royalti mengikut kadar serendah ratusan hingga ribuan ringgit. - Foto IG Amy Mastura

Bagi artis serba boleh yang mencipta nama sejak 1990-an, Amy Mastura, beliau menerima bayaran royalti mengikut kadar serendah ratusan hingga ribuan ringgit.

"Kalau duit royalti masuk ke dalam akaun bank, saya bersyukur... Kalau ada, adalah. Sikit atau banyak, Alhamdulillah. Kalau tiada, tidak mengapa.

"Selama ini, bayaran dibuat setahun sekali. Tahu-tahu sahaja ada sejumlah wang masuk ke dalam akaun," katanya.

Namun, akui Amy, beliau tidak tahu secara tepat bagaimana kiraan dan agihan royalti dibuat.

"Penyata pun diteliti begitu sahaja. Saya mengaku tidak ambil tahu secara mendalam.

"Jika pihak yang dipertanggungjawabkan memberi sejumlah nilai, saya terima sahaja.

"Selagi lagu saya diputarkan di radio dan televisyen (TV), adalah terima rezeki serba sedikit," katanya.

Amy berkata, andai pihak yang diamanahkan untuk mengagihkan royalti tidak jujur dalam memenuhi tanggungjawab, biarlah urusan itu antara mereka dan Tuhan.

"Konsep saya senang... Kalau ada bahagian saya, adalah. Jika tiada, saya reda. Lagipun, lagu saya tidaklah sepopular mana pun," katanya.

Penyanyi lagu Teratai Layu Di Tasik Madu, Fauziah Latiff pula mengambil pendekatan berkecuali dan tidak mahu berpihak kepada mana-mana pihak.

Namun, Fauziah atau mesra disapa Jee berharap setiap pihak perlu bertanggungjawab dengan amanah diberi.

"Bagi saya, pihak terbabit perlu jujur dengan amanah dan tanggungjawab yang dipikul. Hak artis sudah semestinya perlu diserahkan.

"Dengan isu berbangkit sekarang, tidak adil untuk saya menghukum hanya kerana ada pihak yang merungut dan memberi kecaman.

"Industri seni kita kecil sahaja... Semoga permasalahan ini dapat diselesaikan dengan baik," katanya.

Fauziah berkata, pihak berkepentingan mampu menyelesaikan kemelut agihan royalti dengan baik.

"Pihak berkepentingan lebih arif untuk berkomunikasi sesama sendiri. Dengan keadaan pandemik COVID-19 sekarang, banyak perkara lain yang patut diberi perhatian," katanya.

Ramlah Ram bingung memilih badan rujukan setiap kali berdepan masalah royalti. - Foto IG Ramlah Ram
Ramlah Ram bingung memilih badan rujukan setiap kali berdepan masalah royalti. - Foto IG Ramlah Ram

Penyanyi popular era 1980-an, Ramlah Ram mengaku bingung memilih badan rujukan setiap kali berdepan masalah royalti.

"Saya mula menjadi ahli Performer's Rights Interest Society of Malaysia (PRISM) pada 2013... Agak lewat sebenarnya.

"Kali pertama saya mendapat royalti dalam belasan ribu ringgit. Tahun seterusnya, saya pelik kerana hanya dapat dalam ratusan ringgit.

"Pernah pada suatu tahap, saya tidak menerima bayaran langsung. Saya bertambah keliru kerana wujud dua badan iaitu PRISM dan Recording Performers Malaysia (RPM) Berhad.

"Daripada menjadi ahli PRISM, saya beralih arah ke RPM. Kemudian saya disuruh menyertai semula PRISM.

"Apabila berlaku percanggahan ini, saya sebagai artis 'terkontang-kanting' badan mana yang boleh diharap," katanya.

Penyanyi lagu Kau Kunci Cintaku Di Dalam Hatimu itu turut membangkitkan soal hak artis dalam isu royalti.

"Apa sebenarnya terjadi? Bayangkan, jika di peringkat akar umbi atau atas tidak tahu hala tuju, bagaimana pula dengan artis yang berpaut kepada badan berkaitan?

"Bukan hendak menuduh itu-ini, cuma pada satu tahap, di mana hak artis? Akhirnya senyap begitu saja," katanya.

Ramlah berkata, tiada gunanya wujud beberapa badan kutipan royalti jika tidak dapat menyelesaikan kemelut dihadapi.

Nora Ariffin berpendapat semua pihak berkepentingan perlu telus dalam memperjuangkan sebarang agenda termasuk isu royalti. - Foto IG Nora Ariffin
Nora Ariffin berpendapat semua pihak berkepentingan perlu telus dalam memperjuangkan sebarang agenda termasuk isu royalti. - Foto IG Nora Ariffin

Bagi Nora Ariffin, semua pihak berkepentingan perlu telus dalam memperjuangkan sebarang agenda termasuk isu royalti.

"Saya memberi pandangan secara umum. Setiap persatuan yang wujud perlu tahu visi dan misi mereka supaya hak artis lebih terpelihara.

"Kalau banyak sangat entiti, memang banyak persoalannya. Saya tidak mahu berpihak kepada sesiapa," katanya.

Nora atau nama sebenar, Wan Norafizah Ariffin mengakui bayaran royalti diterima makin berkurangan terutama ketika pandemik COVID-19.

"Tapi saya hanya berserah kepada Allah. Saya percaya rezeki kita ini hanya pada kuasa Allah.

"Jikalau ada pihak yang menyeleweng mana-mana duit yang sepatutnya menjadi rezeki kami, saya doakan supaya Allah menggantikannya dengan hadiah yang setimpal," katanya.

Berita Harian X