Ahad, 29 November 2020 | 11:01am
Bukan hanya akan beraksi satu pentas, malah Tomok, Akim Ahmad, Hazama dan Black Hanifah menghadiahkan single Suara Licik buat peminatnya.
Bukan hanya akan beraksi satu pentas, malah Tomok, Akim Ahmad, Hazama dan Black Hanifah menghadiahkan single Suara Licik buat peminatnya.

Impian 4 sekawan jadi kenyataan

KUALA LUMPUR: Impian menyaksikan gabungan empat penyanyi popular beraksi dalam konsert berskala besar bakal menjadi kenyataan, bulan depan.

Keinginan penyanyi, Tomok, Akim Ahmad, Hazama dan Black Hanifah muncul dalam Konsert 4G's di Istana Budaya yang pernah tertangguh akibat pandemik COVID-19 akhirnya dapat direalisasikan pada 11 dan 12 Disember depan.

Seperti diketahui, empat penyanyi popular itu mempunyai kelompok peminat tersendiri, selain aura dan mutu vokal yang tidak mahu dipertikaikan.

Bermula dengan 'zero' sebagai budak hingusan yang menghadiri uji bakat pelbagai program realiti, kini mereka sudah berada di kelas tersendiri.

Satu persatu kejayaan diraih membuktikan kerja keras dan kesungguhan mereka dalam mengabdikan diri sebagai anak seni seterusnya mencipta jenama tersendiri.

Bukan hanya tampil dengan lagu popular, empat penyanyi muda itu juga akan memperdengarkan single baharu yang dicipta khas berjudul Suara Licik menerusi Konsert 4G's itu.

Akim berkata, single Suara Licik ciptaan Taja dan lirik oleh Ana Raffali disifatkan sangat unik.

"Melodi dan lirik single Suara Licik sangat bagus. Saya gembira dapat menyanyi dan merakam lagu bersama tiga rakan seperjuangan yang selalu bersama saya.

"Secara kebetulan, mahu tampil dalam konsert bersama, jadi kami memerlukan satu lagu baharu yang dinyanyikan. Karya ini sangat menarik untuk dipersembahkan kepada peminat.

"Saya akui, pengalaman merakamkan single bersama Hazama, Black dan Tomok sangat luar biasa. Ini kerana masing-masing memiliki karakter dan keunikan suara tersendiri. Mereka adalah penyanyi yang bagus," katanya kepada BH Online.

Vokalis kumpulan Akim & The Majistret itu berkata, bekerjasama dengan rakan baik tidak menimbulkan tekanan.

"Kami saling menyokong dan membantu antara satu sama lain. Malah, kami mahu memberikan yang terbaik ketika rakaman.

"Pada hari konsert, saya harap single Suara Licik dapat memenuhi cita rasa dan menikmati nyanyian kami. Saya mengharapkan peminat akan terus menyokong konsert artis tempatan.

"Apabila peminat menyokong, ia umpama menyuntik semangat yang besar untuk tampil dengan persembahan yang bertenaga," katanya.

Tomok, Akim Ahmad, Hazama dan Black Hanifah muncul dalam Konsert 4G’s di Istana Budaya yang pernah tertangguh akibat pandemik COVID-19 pada 11 dan 12 Disember depan.
Tomok, Akim Ahmad, Hazama dan Black Hanifah muncul dalam Konsert 4G’s di Istana Budaya yang pernah tertangguh akibat pandemik COVID-19 pada 11 dan 12 Disember depan.

Bagi Tomok, kali pertama bekerjasama dalam dengan rakan baik sangat istimewa.

"Ini kali pertama kami bergabung dalam satu lagu. Sebenarnya, bergandingan dengan rakan baik adalah perkara yang sangat menarik. Benda susah jadi mudah kerana kami membantu.

"Hasilnya juga menarik. Sepatutnya, single ini dipersembahkan pada konsert lalu, tetapi dibatalkan disebabkan pandemik COVID-19. Namun, ia tak mematahkan semangat kami meneruskan konsert ini," katanya.

Hazama pula menyifatkan kerjasama dengan Akim, Tomok dan Black saling memberi tunjuk ajar.

"Pengalaman bersama mereka bukan sahaja dalam lagu ini, malah semasa kami berjuang dalam industri. Mereka banyak memberi tunjuk ajar dan boleh menerima pandangan orang lain.

"Mereka tidak kedekut ilmu dan memberikan komitmen tinggi sewaktu rakaman single Suara Licik. Perhubungan kami bukan sahaja dalam industri, malah rapat secara peribadi," katanya.

Single Suara Licik sudah dilancarkan di semua platform digital muzik sejak 27 November lalu.

Berita Harian X