Sabtu, 28 November 2020 | 11:01am
AR Badul bersyukur masih dalam keadaan baik, meskipun seluruh dunia bergelut dengan kehidupan yang mencabar ketika COVID-19. - Foto FINAS
AR Badul bersyukur masih dalam keadaan baik, meskipun seluruh dunia bergelut dengan kehidupan yang mencabar ketika COVID-19. - Foto FINAS

AR Badul tak simpan dendam

KUALA LUMPUR: Tidak menyimpan dendam dan sentiasa berfikiran positif menjadi rahsia pelawak popular, AR Badul kekal sihat pada berusia 71 tahun.

Biarpun sudah beberapa kali nama pelakon, pelawak, pengarah filem dan penulis skrip itu dikaitkan dengan berita palsu yang mendakwanya sudah meninggal dunia, namun Badul atau nama sebenarnya, Armaya Aman Ramlie tidak menyimpan dendam terhadap perbuatan di luar kawalannya.

Jauh di sudut hati, kekesalan tetap ada atas perbuatan pihak yang tidak bertanggungjawab, apatah lagi kematian bukan perkara yang boleh dipersendakan.

Katanya, dia tidak mahu terlalu memikirkan berita palsu yang pernah melingkari hidupnya.

"Kesihatan saya baik sehingga hari ini disebabkan sentiasa berfikir perkara yang baik.

"Alhamdulillah, saya masih sihat biarpun berusia 71 tahun. Saya pegang cakap orang tua, orang baik akan sentiasa sihat, insya-Allah. Syukur, saya masih bernyawa dan bernafas," katanya kepada BH Online.

Berkongsi situasi COVID-19, pelakon dan pelawak yang menempa populariti menerusi filem Darah Satria dan Prebet Lapok itu bersyukur, dirinya masih dalam keadaan baik, meskipun seluruh dunia bergelut dengan kehidupan yang mencabar.

Badul tidak menafikan, duit poketnya agak terkesan ekoran tiada punca pendapatan, namun keadaannya belum terjejas teruk.

"Saya akui, penggambaran filem terpaksa ditangguhkan, selain pekerjaan hujung minggu sebagai pengacara majlis perkahwinan juga tiada. Namun, saya masih mempunyai simpanan untuk menanggung keluarga.

"Isteri bekerja sebagai jururawat, anak pun sudah besar, jadi tidak terkesan sangat dengan COVID-19. Hendak kata mewah, tidaklah... Alhamdulillah, saya masih ada duit untuk makan dan membeli keperluan harian.

"Jujurnya, saya bukan penggiat seni yang terjejas teruk akibat COVID-19, hanya pendapatan berkurangan. Mujur saya bukan jenis pakai kereta mahal dan rumah besar, jadi masih mampu menanggung keluarga dalam kehidupan sederhana," katanya.

Ketua Penolong Pengarah Unit Komunikasi Korporat FINAS, Mohamad Syimir Alfi Zahari bertanya khabar AR Badul ketika mengunjunginya di kediaman di Setapak, Kuala Lumpur. - Foto FINAS
Ketua Penolong Pengarah Unit Komunikasi Korporat FINAS, Mohamad Syimir Alfi Zahari bertanya khabar AR Badul ketika mengunjunginya di kediaman di Setapak, Kuala Lumpur. - Foto FINAS

Bagaimanapun, Badul berkata, dia terharu apabila ada pihak seperti FINAS tetap menghulurkan sumbangan dan prihatin terhadap anak seni sepertinya.

Badul antara penerima sumbangan menerusi Program Ziarah FINAS Prihatin 2.0 anjuran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) melalui Jawatankuasa Hal Ehwal Industri, Kebajikan dan Data Industri.

Usaha FINAS turut mendapat sokongan Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM), Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA), Global Ikhwan Sdn Bhd Holdings (GISBH), Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Cdert Ohhsem Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Yayasan Felda.

"Saya terkejut apabila nama dalam senarai program ini. Dahulu, saya lihat sahaja artis dan penggiat seni dapat. Saya tak pernah harap pun dapat, malah tak pernah meminta. Alhamdulillah, sekarang saya turut menerima bantuan.

"Syukur atas sumbangan dan usaha FINAS serta rakan strategik banyak membantu insan seni yang terjejas. Sebab sumbangan ini bukan sekadar membantu meringankan bebanan, tetapi juga menghargai jasa warga seni selama ini. Saya puji usaha FINAS ini," katanya.

AR Badul menerima sumbangan wakil FINAS menerusi Program Ziarah FINAS Prihatin 2.0. - Foto FINAS
AR Badul menerima sumbangan wakil FINAS menerusi Program Ziarah FINAS Prihatin 2.0. - Foto FINAS

Mengulas mengenai pembikinan filem yang ditunda akibat COVID-19, Badul berkata, dia merancang menghasilkan filem komedi berjudul Jembalang Bangkit.

"Sepatutnya filem ini menjalani penggambaran sekitar Mac hingga Mei lalu, tetapi ditangguhkan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu.

"Sebenarnya, perancangan filem ini sudah siap hampir 80 peratus. Saya memberikan peluang kepada Adlin Aman Ramlie untuk mengarah, tetapi nampaknya tiada rezeki.

"Saya tidak kesal kerana ini dugaan Allah SWT kepada seluruh dunia. Jika saya buat filem ini pun, nanti nak tayang di mana? Kaki wayang pun takut mahu menonton di pawagam, sekarang lebih elok tonton pawagam di rumah sahaja," katanya.

Badul berharap, industri perfileman kembali pulih bagi memberi pendapatan kepada penggiat seni yang terkesan dengan pandemik.

"Bayangkan, produksi filem yang membuat pinjaman bank, mempunyai ramai pekerja dan banyak tanggungan, tetapi tidak mempunyai pendapatan dalam tempoh ini? Merekalah ialah penggiat seni yang paling teruk terjejas.

"Sebelum ini, mereka mempertaruhkan berjuta-juta modal untuk menghasilkan filem, tetapi sekarang hendak buat filem pun mencabar. Mujur, syarikat produksi saya sudah lama ditutup. Jadi, sebagai penggiat industri, saya berdoa situasi ini segera pulih," katanya.

Berita Harian X