Jumaat, 27 November 2020 | 2:00pm
Pengerusi Public Performance Malaysia (PPM) Sdn Bhd, Rosmin Hashim.
Pengerusi Public Performance Malaysia (PPM) Sdn Bhd, Rosmin Hashim.

PPM beri kerjasama siasatan SPRM

KUALA LUMPUR: Pengerusi Public Performance Malaysia (PPM) Sdn Bhd, Rosmin Hashim mengesahkan, pihaknya memberikan kerjasama sepenuhnya kepada SPRM.

"Pejabat PPM didatangi SPRM pada 25 November lalu. Kedatangan mereka untuk mendapatkan dokumen yang diperlukan untuk membantu penyiasatan.

"Kami sudah menyerahkan dokumen yang diperlukan kepada pegawai SPRM. Saya tidak melihat ia sebagai satu perkara negatif. Usaha SPRM adalah peluang terbaik untuk PPM membersihkan nama daripada sebarang pertuduhan, jadi kami menyambut baik usaha dijalankan SPRM," katanya kepada BH Online.

Katanya, tidak hanya PPM, malah tiga badan royalti lain, MACP, RPM dan Music Rights Malaysia (MRM) Berhad juga bersedia memberikan kerjasama penuh.

Bagaimanapun, Rosmin yang juga Naib Pengerusi Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) berharap penyiasatan terhadap penyalahgunaan dana hasil kutipan royalti hak cipta lagu dapat diselesaikan segera.

"PPM tidak mahu isu ini mengganggu operasi dan memberi kesan kepada pemuzik, penulis lagu, penulis lirik, penyanyi dan syarikat rakaman.

"Besar kemungkinan ia berkait rapat dengan kenyataan Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Freddie Fernandez. Bagaimanapun, tak mengapa, kami tetap akan memberikan kerjasama baik untuk siasatan," katanya.

Semalam, SPRM sudah memulakan siasatan terhadap dakwaan penyalahgunaan dana hasil kutipan royalti hak cipta lagu yang diterima oleh penggiat industri muzik di Malaysia.

Mengikut sumber, satu operasi dijalankan di empat pejabat dipercayai terbabit dalam proses kutipan royalti iaitu Hak Cipta Muzik (MACP) Berhad, PPM dan Recording Performers Malaysia (RPM) Berhad.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya mengesahkan, pihaknya sudah memulakan siasatan berhubung isu berkenaan.

"Masih terlalu awal untuk memberi kenyataan berhubung siasatan bagi berlaku adil terhadap semua pihak.

"Semua pihak diminta tidak mensensasikan isu ini dan memberikan masa yang secukupnya kepada SPRM bagi dijalankan siasatan secara telus, adil dan profesional," katanya.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Sebelum ini, Freddie dilaporkan meminta campur tangan SPRM dalam pertikaian mengenai royalti sekitar RM30 juta yang belum dibayar kepada artis rakaman. Beliau kecewa dengan kemungkinan beberapa 'tangan tersembunyi' memanipulasi kutipan royalti untuk keuntungan mereka sendiri.

Berita Harian X