Jumaat, 27 November 2020 | 10:00am
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah menyerahkan sumbangan kepada Pengerusi Persatuan IRAMA, Ayob Abdul Majid. - Foto Ihsan FINAS
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah menyerahkan sumbangan kepada Pengerusi Persatuan IRAMA, Ayob Abdul Majid. - Foto Ihsan FINAS

Nasib 100 penggiat seni terbela

KUALA LUMPUR: Jika ikutkan resmi padi, semakin tunduk semakin berisi. Namun, nasib artis veteran tanah air pula sebaliknya, kian luas pengalaman diperoleh, kian dipinggirkan pula.

Inilah senario yang berlaku terhadap golongan veteran yang boleh diumpamakan habis madu, sepah dibuang. Bukan sahaja sempit ruang pekerjaan, malah nasib juga jarang terbela sebelum ini.

Bagaikan kaca tidak bernilai, biarpun ada antaranya adalah bintang utama drama dan filem, suatu ketika dahulu. Situasi bertambah meruncing bukan hanya ketika pandemik COVID-19, malah tawaran semakin berkurangan, sejak beberapa tahun lalu. Sudah ramai golongan veteran merungut dan merayu kepada penerbit memberikan mereka kerja untuk meneruskan sisa hidup, namun tidak dipedulikan.

Namun, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) melalui Jawatankuasa Hal Ehwal Warga Industri, Kebajikan dan Data Industri tidak sesekali berpaling daripada membantu golongan veteran. Ada yang terlantar, bertongkat dan hanya menunggu 'ajal' menjemput, tetapi nasib mereka mendapat perhatian menerusi program Ziarah FINAS Prihatin sejak Jun lalu.

Program Ziarah FINAS Prihatin mensasarkan 100 warga seni yang terdiri daripada pelbagai latar belakang itu bertujuan meringan bebanan terutama golongan veteran yang mengalami masalah kesihatan, keuzuran dan terputus punca pendapatan berikutan penularan pandemik COVID-19.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah, Pengerusi FINAS, Zakaria Abdul Hamid, Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Ahmad Idham Ahmad Nadzri dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Industri, Kebajikan dan Data Industri FINAS, Datuk Seri Eizlan Yusof turun padang menghantar bantuan kepada penggiat seni, baru-baru ini. - Foto Ihsan FINAS
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah, Pengerusi FINAS, Zakaria Abdul Hamid, Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Ahmad Idham Ahmad Nadzri dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Industri, Kebajikan dan Data Industri FINAS, Datuk Seri Eizlan Yusof turun padang menghantar bantuan kepada penggiat seni, baru-baru ini. - Foto Ihsan FINAS

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Industri, Kebajikan dan Data Industri FINAS, Datuk Seri Eizlan Yusof berkata, program khas untuk memberi manfaat kepada penggiat industri kreatif yang memerlukan.

"FINAS memperuntukkan RM100,000 untuk 100 penggiat seni dalam tempoh lima bulan, sejak Jun lalu. Tumpuan bukan hanya Semenanjung Malaysia, malah karyawan di Sabah dan Sarawak turut menerima sumbangan.

"Kami sudah menyampaikan sumbangan berbentuk kewangan dan keperluan kepada 50 penggiat seni dengan peruntukkan sebanyak RM50,000. Kini, kami meneruskan kesinambungan membantu 50 lagi warga seni kreatif untuk siri kedua.

"Usaha ini bukan hanya mahu meringankan bebanan dalam situasi pandemik COVID-19 ini, malah salah satu cara FINAS menghargai jasa dan pengorbanan mereka yang sudah banyak menabur jasa kepada industri seni," katanya kepada BH Online.

Ketua Penolong Pengarah Unit Komunikasi Korporat FINAS, Mohamad Syimir Alfi Zahari (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada AR Badul di kediamannya di Setapak, Kuala Lumpur. - Foto Ihsan FINAS
Ketua Penolong Pengarah Unit Komunikasi Korporat FINAS, Mohamad Syimir Alfi Zahari (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada AR Badul di kediamannya di Setapak, Kuala Lumpur. - Foto Ihsan FINAS

Usaha FINAS turut mendapat sokongan Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM), Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA), Global Ikhwan Sdn Bhd Holdings (GISBH), Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Cdert Ohhsem Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Yayasan Felda.

"FINAS berterima kasih atas sokongan diberikan rakan strategik. Tidak hanya turun padang menghulurkan bantuan, mereka mengeluarkan dana menyumbang barangan seperti kerusi roda, katil elektrik, membaiki rumah dan kelengkapan mengikut keperluan.

"Kami mengharapkan bantuan serba sedikit ini dapat meringankan bebanan dan memberi kemudahan kepada penggiat seni dalam meneruskan kelangsungan hidup," katanya.

Minggu lalu, Program Ziarah FINAS Prihatin 2.0 menziarahi Datuk Baharuddin Omar, Emma Akma Yunus, Rawi Md Said, Syed Othman Syed Ahmad, S Azli, Harith Aton, Mustafa Marwan, Nina Farizha Muliani, Ali Husin dan Abbas Abu Bakar.

Ia diikuti Datuk Jamali Shadat, Jamil Mutalib, Fauziah Samad, JD Khalid, M Jamil, Radzali Buyong, Rahman B, Rosezita Mohamad Baharum dan balu Allahyarham Mohd Badri Abdul Rahim.

Wakil FINAS menyerahkan sumbangan kepada pelakon filem Prebet Lapok, Tawil di kediamannya di Serendah, Selangor. - Foto Ihsan FINAS
Wakil FINAS menyerahkan sumbangan kepada pelakon filem Prebet Lapok, Tawil di kediamannya di Serendah, Selangor. - Foto Ihsan FINAS

Setiap menerima sumbangan berbentuk wang tunai, RM1,000, mereka juga menerima barangan keperluan asas sumbangan MAPIM, Yayasan Felda dan GISBH Holdings.

Semalam, FINAS menerusi program Ziarah FINAS Prihatin 2.0 menghulurkan bantuan kepada AR Badul, Tawil, Din Glamour, Rayme Sham, Zali Man Gagak, Vijayan Paramasivam, M Yusoff Ismail dan Along Nima. Ia diwakili Ketua Penolong Pengarah Unit Komunikasi Korporat FINAS, Mohamad Syimir Alfi Zahari.

Berita Harian X