Jumaat, 27 November 2020 | 8:52am
Dynamite adalah single pertama BTS dalam bahasa Inggeris dan meraih 101.1 juta tontonan pada hari pertama, sekali gus menjadikan muzik video paling banyak ditonton di laman YouTube pada Ogos lalu.
Dynamite adalah single pertama BTS dalam bahasa Inggeris dan meraih 101.1 juta tontonan pada hari pertama, sekali gus menjadikan muzik video paling banyak ditonton di laman YouTube pada Ogos lalu.

BTS melompat bolos Anugerah Grammy

KUALA LUMPUR: Kumpulan remaja popular Korea Selatan, BTS meraih perhatian apabila buat kali pertamanya dicalonkan menerusi acara antarabangsa berprestij, Anugerah Grammy.

BTS dianggotai tujuh remaja lelaki itu disenaraikan dalam kategori Duo Pop Terbaik/Persembahan Berkumpulan menerusi lagu popular, Dynamite.

Anggota BTS memuat naik video reaksi menerusi laman sosial, Twitter sejurus pengumuman pencalonan, kelmarin.

Dengan kapsyen menggambarkan keterujaan, empat ahli BTS, V, Jungkook, RM dan Jimin duduk di sofa dan kemudian melompat gembira apabila nama mereka menembusi pencalonan Anugerah Grammy.

BTS mengucapkan terima kasih kepada peminat yang menyokong ketika situasi mencabar ini dan Recording Academy atas penghargaan berkenaan.

Untuk anugerah itu, BTS menghantar tujuh penyertaan bagi tujuh kategori, namun hanya satu kategori berjaya menembusi senarai pencalonan.

Selain Dynamite, empat lagu lain yang bersaing menerusi kategori itu ialah Un Dia (J Balvin, Dua Lipa, Bad Bunny & Tainy), Intentions (Justin Bieber feat Quavo), Rain On Me (Lady Gaga dan Ariana Grande) dan Exile (Taylor Swift feat Bon Ver).

Anugerah Grammy akan disiarkan pada 31 Januari depan. Mempertandingkan 83 kategori, anugerah berkenaan akan dihoskan Trevor Noah.

BTS disenaraikan dalam kategori Duo Pop Terbaik/Persembahan Berkumpulan menerusi lagu popular, Dynamite.
BTS disenaraikan dalam kategori Duo Pop Terbaik/Persembahan Berkumpulan menerusi lagu popular, Dynamite.

Dynamite adalah single pertama BTS yang dinyanyikan dalam bahasa Inggeris sepenuhnya. Selepas dilancarkan pada Ogos, lagu berkenaan meraih 101.1 juta tontonan pada hari pertama, sekali gus menjadikan ia muzik video paling banyak ditonton di laman YouTube.

Single Dynamite juga menduduki tangga teratas Billboard Hot 100 selama dua minggu, menjadikan BTS kumpulan K-Pop pertama meraih pencapaian hebat.

Peminat BTS yang menggelarkan diri Adorable Representative M.C. for Youth (ARMY) meraikan kejayaan itu dalam media sosial. Bagaimanapun, ada yang mempersoalkan BTS sepatutnya dicalonkan pada penganjuran, tahun lalu.

Kali pertama BTS membuat persembahan di Los Angeles pada 2014, diikuti menjelajah Amerika Syarikat pada 2015 dan 2017. Mereka menjadi kumpulan K-pop pertama yang memenangi Billboard Music Award dan menduduki carta Top 10 di Billboard 200 pada 2017.

Pada tahun sama, BTS membuat persembahan di American Music Awards, sekali gus melonjakkan lagi populariti kumpulan itu.

Tahun ini, BTS membawa pulang dua anugerah American Music Awards 2020 iaitu Favourite Duo or Group – Pop/Rock dan Favourite Social Artist serta menutup tirai acara itu dengan persembahan lagu Dynamite.

Bagaimanapun, BTS bukanlah kumpulan K-Pop pertama yang cuba menembusi pasaran luar negara. Terdahulu, Big Bang pernah meraih perhatian menerusi kejayaan menerusi program anugerah dan carta muzik antarabangsa.

BTS berada di bawah naungan, Big Hit Entertainment dan membuat penampilan sulung pada 2013. Ia dianggotai tujuh ahli iaitu Jin, Suga, J-Hope, RM, Jimin, V dan Jungkook.

Berita Harian X