Khamis, 26 November 2020 | 6:46pm
Ketua Penolong Pengarah Unit Komunikasi Korporat FINAS, Mohamad Syimir Alfi Zahari (kiri) menyampaikan sumbangan FINAS kepada pelawak, pelakon dan pengarah, AR Badul. - Foto Ihsan FINAS
Ketua Penolong Pengarah Unit Komunikasi Korporat FINAS, Mohamad Syimir Alfi Zahari (kiri) menyampaikan sumbangan FINAS kepada pelawak, pelakon dan pengarah, AR Badul. - Foto Ihsan FINAS

Ziarah FINAS Prihatin 2.0 bantu 50 penggiat seni

KUALA LUMPUR: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) menerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Industri, Kebajikan dan Data Industri meneruskan kesinambungan program Ziarah FINAS Prihatin 2.0 dengan menyantuni 50 lagi penggiat industri kreatif.

Program Ziarah FINAS Prihatin mensasarkan 100 warga seni yang terdiri daripada pelbagai latar belakang itu bertujuan meringan bebanan terutama golongan veteran yang mengalami masalah kesihatan, keuzuran dan terputus punca pendapatan berikutan penularan pandemik COVID-19.

Sebelum ini, menerusi program Ziarah FINAS Prihatin 1.0, FINAS sudah mengagihkan bantuan sejumlah RM50,000 kepada 50 penggiat seni. Kini, mereka meneruskan kesinambungan edisi kedua dengan menghantar bantuan kepada 50 lagi warga seni.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Industri, Kebajikan dan Data Industri FINAS, Datuk Seri Eizlan Yusof berkata,

program Ziarah FINAS Prihatin memberi manfaat kepada penggiat seni yang memerlukan bantuan terutama mereka yang berdepan kesempitan hidup dan masalah kesihatan ketika pandemik COVID-19.

"Program memberi penekanan kepada golongan veteran yang mengalami masalah kesihatan, keuzuran dan terputus rezeki ketika berdepan cabaran COVID-19.

"Usaha ini bukan hanya mahu meringankan bebanan dalam situasi pandemik COVID-19 ini, malah salah satu cara FINAS menghargai jasa dan pengorbanan mereka yang sudah banyak menabur jasa kepada industri seni," katanya kepada BH Online.

Datuk Baharuddin Omar atau lebih dikenali sebagai Anjang Aki sebak menerima kunjungan dan bantuanFINAS. - Foto Ihsan FINAS
Datuk Baharuddin Omar atau lebih dikenali sebagai Anjang Aki sebak menerima kunjungan dan bantuanFINAS. - Foto Ihsan FINAS

Usaha FINAS turut mendapat sokongan Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM), Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA), Global Ikhwan Sdn Bhd Holdings (GISBH), Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Cdert Ohhsem Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Yayasan Felda.

Minggu lalu, Program Ziarah FINAS Prihatin 2.0 menziarahi Datuk Baharuddin Omar, Emma Akma Yunus, Rawi Md Said, Syed Othman Syed Ahmad, S Azli, Harith Aton, Mustafa Marwan, Nina Farizha Muliani, Ali Husin dan Abbas Abu Bakar.

Ia diikuti Datuk Jamali Shadat, Jamil Mutalib, Fauziah Samad, JD Khalid, M Jamil, Radzali Buyong, Rahman B, Rosezita Mohamad Baharum dan balu Allahyarham Mohd Badri Abdul Rahim.

Setiap menerima sumbangan berbentuk wang tunai, RM1,000, mereka juga menerima barangan keperluan asas sumbangan MAPIM, Yayasan Felda dan GISBH Holdings.

Ketua Sekteriat FDAM, Mohamad Zaini Hassan berkongsi, penggiat seni yang diziarahi sangat gembira menyambut kedatangan mereka.

"Mereka sangat berbesar hati menerima kunjungan dan rasa dihargai apabila menerima sumbangan. Walaupun ada antaranya masih sihat, tetapi atas jasa yang begitu lama dalam industri seni, sumbangan ini disifatkan sebagai penghargaan buat mereka," katanya.

Penyanyi, pelakon dan pelawak, S Azli menerima sumbangan daripada Pengurus Besar Yayasan Felda, Datuk Mohd Banuri Aris. - Foto Ihsan FINAS
Penyanyi, pelakon dan pelawak, S Azli menerima sumbangan daripada Pengurus Besar Yayasan Felda, Datuk Mohd Banuri Aris. - Foto Ihsan FINAS

Penggiat industri yang menerima kunjungan meluahkan penghargaan atas usaha yang dilakukan menerusi program Ziarah FINAS Prihatin 2.0.

Pelakon dan pengarah filem, M Jamil berharap, program Ziarah FINAS Prihatin 2.0 akan dapat membantu penggiat seni yang memerlukan.

"Saya berterima kasih dan menyokong usaha FINAS. Bukan untuk saya sahaja, tetapi rakan seperjuangan dalam industri yang kurang bernasib baik," katanya.

Pelakon, Fauziah Samad berkata, program Ziarah FINAS Prihatin 2.0 sangat memberi manfaat kepada golongan veteran sepertinya.

"Kali pertama FINAS menubuhkan program yang membantu penggiat seni. Terima kasih FINAS, semoga terus menganjurkan program ini demi kelangsungan hidup anak seni," katanya.

Semalam, FINAS menerusi program Ziarah FINAS Prihatin 2.0 menghulurkan bantuan kepada AR Badul, Tawil, Din Glamour, Rayme Sham, Zali Man Gagak, Vijayan Paramasivam, M Yusoff Ismail dan Along Nima. Ia diwakili Ketua Penolong Pengarah Unit Komunikasi Korporat FINAS, Mohamad Syimir Alfi Zahari.

Berita Harian X