Khamis, 26 November 2020 | 1:00pm
Ellie Suriaty hanya memberi pandangan dan nasihat dari sudut pemain industri kreatif, bukan mahu mengutuk filem Mael Totey The Movie. - Foto NSTP
Ellie Suriaty hanya memberi pandangan dan nasihat dari sudut pemain industri kreatif, bukan mahu mengutuk filem Mael Totey The Movie. - Foto NSTP

Ellie kesal dikecam netizen

KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengarah, Ellie Suriaty Omar tampil bersuara berikutan kesal atas kecaman netizen yang salah faham pandangannya mengenai filem Mael Totey The Movie.

Sebelum ini, menerusi laporan sebuah portal hiburan, Ellie memberitahu kejayaan filem Mael Totey The Movie meraih kutipan lebih RM5 juta tidak boleh dijadikan penanda aras untuk sesebuah karya kreatif. Bagaimanapun, pengarah filem Penanggal itu hanya melontarkan pandangan, bukan mengutuk.

Ellie berkata, dia sedih menerima kecaman teruk hingga mengaitkan keluarganya.

"Saya mengucapkan memuji kejayaan filem Mael Totey The Movie dari segi kutipan mencecah RM5 juta dalam tempoh 12 hari tayangan menerusi Astro First.

"Saya akui, filem ini memiliki formula hingga berjaya, selain mempunyai kelompok pengikut.

"Bahagian mana yang saya kecam, kutuk dan kritik pengarah Mael Totey The Movie? Kenapa maki hamun, mencarut, sumpah seranah bagai langit nak runtuh kerana pendapat saya berkenaan filem ini? Nak kena saman baru puas hati ke?," katanya kepada BH Online.

Tegas Ellie, hanya kerana pendapatnya tidak selaras dengan peminat tegar filem arahan Syazmi Sazli itu, tidak adil dirinya dikecam seperti sampah.

"Pendapat mereka adalah pendapat peminat tegar filem Mael Totey The Movie, manakala pendapat saya pula dari sudut pemain industri kreatif yang berkecimpung secara profesional lebih 20 tahun dalam tiga medium iaitu teater, televisyen dan filem.

"Pendapat peminat tegar dan pandangan pemain industri tidak boleh dibuat perbandingan. Saya adalah sosok pemain industri, bukan pengkritik. Saya juga penilai karya kreatif industri filem Malaysia.

"Pengalaman sebagai juri Anugerah Skrin TV3 (ASK) kategori filem selama beberapa tahun dan juri Festival Filem Malaysia (FFM) melayakkan saya memberi pendapat mengenai perfileman Malaysia.

"Saya juga penilai luar bagi peperiksaan tahun akhir pelajar Fakulti Seni Persembahan Universiti Malaya. Selebihnya tak perlulah saya beritahu," katanya.

Pandangan pelakon dan pengarah, Ellie Suriaty mengenai filem Mael Totey The Movie disalah erti hingga dikecam dan dikutuk netizen.
Pandangan pelakon dan pengarah, Ellie Suriaty mengenai filem Mael Totey The Movie disalah erti hingga dikecam dan dikutuk netizen.

Menjelaskan mesejnya sebenar, aktres yang pernah diangkat Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, Festival Filem Malaysia Ke-16 menerusi filem Soalnya Siapa? itu berkata, pandangannya lebih menjurus kepada pembikinan sesebuah filem cereka.

"Bagi sesebuah karya, perkara paling penting adalah sudut teknikal pembikinan filem cereka. Dalam erti kata lain, teknikal adalah indeks petunjuk prestasi utama (KPI) dalam pembikinan.

"Andai proses pembikinan dari sudut teknikal tidak dilaksanakan dengan baik, kualiti filem pasti terjejas nilai paparan audio visual filem. Kerja teknikal penting untuk setiap genre pembikinan filem dalam dunia ini.

"Tidak kiralah penghasilan filem berskala besar, rendah atau Hollywood sekalipun. Asas dalam menghasilkan sesebuah karya filem adalah aspek teknikal pembikinan sesebuah filem cereka. Kena capai aspek teknikal ini dahulu sebelum menghasilkan filem," katanya.

Sehubungan itu, Ellie menasihatkan mendalami ilmu pembikinan filem terlebih dahulu kepada sesiapa yang mahu bergelar pengarah.

"Tak belajar masuk universiti pun tak mengapa kerana bakat adalah anugerah Allah. Apa yang penting, mendalami ilmu dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai penggiat seni kreatif.

"Sertailah bengkel filem yang tenaga pengajar di kalangan pembikin filem berkaliber. Ramai pengarah mempunyai kredibiliti seperti U-Wei Shaari, Mamat Khalid, Othman Hafsham, Nasir Jani, Datuk Rahim Razali, Aziz M Osman, Osman Ali, Dain Said, Raja Mukhriz, Din CJ, Syamsul Yusof, Rashid Sibir, Shuhaimi Baba, Erma Fatima, Saw Teong Heng, Jason Chong, Teck Tan dan ramai lagi.

"Cari mereka dan belajar ilmu pembikinan filem cereka sebagai persediaan sebelum duduk di kerusi sutradara filem," katanya dengan jujur.

Berita Harian X