Khamis, 26 November 2020 | 11:01am
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah menyerahkan surat kepada penerima bantuan di bawah PELAKSANA DKD sesi pertama 2020 menerusi majlis secara virtual di FINAS, Petaling Jaya, Selasa lalu. - Foto Ihsan FINAS
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah menyerahkan surat kepada penerima bantuan di bawah PELAKSANA DKD sesi pertama 2020 menerusi majlis secara virtual di FINAS, Petaling Jaya, Selasa lalu. - Foto Ihsan FINAS

139 syarikat terima dana RM30 juta

KUALA LUMPUR: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) sudah menyerahkan surat tawaran menerusi inisiatif Dana Kandungan Digital (DKD) dan Pelan Langkah Segera Ekonomi Industri Kreatif (PELAKSANA) DKD kepada 139 syarikat produksi membabitkan kos keseluruhan hampir RM30 juta sejak Ogos lalu.

Ini atas paksi mahu memperkasa industri kreatif yang terjejas akibat impak pandemik COVID-19, selain memperbanyak pemilikan Hak Cipta Kandungan dalam kalangan penerbit tempatan bagi penjanaan keuntungan pada masa hadapan.

Kelmarin, sebanyak 40 syarikat produksi dipilih menerima inisiatif PELAKSANA DKD sesi pertama, tahun ini.

Ia diserahkan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah membabitkan jumlah keseluruhan yang diagihkan sebanyak RM13,927,000.00 dalam majlis secara virtual di FINAS, Petaling Jaya.

Manakala, sebanyak 99 syarikat produksi menerima surat tawaran menerusi DKD membabitkan kos RM15.5 juta, sebelum ini.

Pengerusi FINAS, Zakaria Abdul Hamid berkata, pihaknya sudah menyerahkan DKD kepada 99 syarikat produksi yang dikenal pasti layak dan dipercayai kredibiliti pada Ogos dan September lalu. Ia diikuti 40 lagi syarikat produksi menerusi inisiatif PELAKSANA DKD sesi pertama 2020.

"Sebanyak 99 syarikat yang sudah menerima DKD tidak boleh memohon dana di bawah PELAKSANA DKD. Ini kerana setiap produksi pasti mengambil masa untuk menyiapkan karya yang diamanahkan. FINAS memilih sendiri 99 syarikat selepas sesi 'pitching'.

"Manakala 40 syarikat produksi yang menerima tawaran PELAKSANA DKD dipilih menerusi kerjasama stesen televisyen (TV) membabitkan Media Prima Berhad, Astro dan Al Hijrah. Syarikat produksi ini dipilih pihak TV dan penyiaran berdasarkan keperluan 'air time'.

"FINAS mempunyai bajet RM40 juta di bawah PELAKSANA DKD. Kami baru agihkan sekitar 40 peratus membabitkan jumlah peruntukan lebih RM13.9 juta, kelmarin. Kami akan mengumumkan syarikat produksi yang menerima dana PELAKSANA DKD bagi sesi seterusnya dalam masa terdekat," katanya kepada BH Online.

Pengerusi FINAS, Zakaria Abdul Hamid. - Foto Ihsan FINAS
Pengerusi FINAS, Zakaria Abdul Hamid. - Foto Ihsan FINAS

Zakaria berkata, pihak stesen TV menerima lebih 200 kertas cadangan atau senarai nama syarikat, sebelum memilih 40 syarikat yang ditapis menerima dana PELAKSANA DKD.

"Sebanyak 40 kertas cadangan membabitkan bagi pembikinan drama bersiri, telefilem atau dokumentari dipilih selepas melalui saringan awal dan sesi 'pitching'.

"Saya akui, senarai 40 penerima PELAKSANA DKD lebih banyak diagihkan di kalangan syarikat produksi baharu, manakala 99 syarikat produksi yang FINAS pilih pula di kalangan syarikat yang aktif berkarya.

"Apa yang lebih utama, bantuan atau surat tawaran ini diberikan kepada syarikat produksi yang berpengalaman dalam pembikinan filem mahu drama, selain memenuhi syarat seperti memiliki modal berbayar sebanyak RM50,000 dan berdaftar di bawah FINAS," katanya.

Beliau berkata, syarikat produksi juga boleh membuat permohonan dalam talian menerusi laman sesawang FINAS.

"Jika memenuhi keperluan dan kriteria ditetapkan, FINAS akan dipertimbangkan untuk menghulurkan bantuan. Jika tidak, akan ditapis lagi. FINAS akan mengumumkan senarai baki nama syarikat produksi yang dipertimbangkan menerima surat tawaran bagi sesi seterusnya," katanya.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah menerusi FINAS menyerahkan surat tawaran kepada 99 syarikat produksi melalui inisiatif DKD pada Ogos dan September lalu. - Foto Ihsan FINAS
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah menerusi FINAS menyerahkan surat tawaran kepada 99 syarikat produksi melalui inisiatif DKD pada Ogos dan September lalu. - Foto Ihsan FINAS

Zakaria berkata, dana PELAKSANA DKD tidak diutamakan untuk pembikinan filem kerana akur dengan situasi pandemik COVID 19 hingga pawagam terpaksa menutup operasi buat sementara waktu.

"Lagipun, pembikinan filem mengambil masa yang lama berbanding drama. Jadi, keutamaan diberikan untuk menghasilkan drama, telefilem dan dokumentari. PELAKSANA DKD juga program pertama dianjurkan untuk memberikan hak harta intelek kepada penerbit atau syarikat produksi.

"Sebelum ini, harta intelek dimiliki stesen TV. Jadi, penerbit boleh menjual drama, telefilem mahupun dokumentari ke stesen TV berbeza atau platform lain seperti Over The Top (OTT) jika sesebuah karya sudah dihasilkan," katanya.

Katanya, matlamat FINAS untuk memberi pendedahan dan ruang kepada penerbit untuk menjalankan perniagaan. Seterusnya, keupayaan lebih menebal sekiranya memiliki harta intelek sendiri.

"Jadi, penerbit tidak menghasilkan atau melahirkan sesebuah naskhah sambil lewa. Kita mahu meningkatkan penghasilan kualiti penerbitan yang terbaik.

"Dana ini juga diberikan untuk membuka ruang pekerjaan kepada pekerja balik tabir. Seperti yang diketahui, ramai warga pekerja industri dan kru balik tabir yang hidup umpama kais pagi makan pagi, kais petang makan petang ketika pandemik COVID-19.

"Sekurang-kurangnya dengan pengagihan dana hampir RM30 juta mampu membantu mereka yang berdepan dengan kesempitan hidup," katanya.

Kelmarin, antara syarikat yang berjaya menerima surat tawaran PELAKSANA DKD sesi pertama 2020 termasuklah Intermediaco Sdn Bhd, Adtisha Productions, Global Film Station, Infinitus Productions, Dream At Work, Million Works Media, NS Star, Khalida Production, Cuepro Production, Adi Karya, Layar Consult, Indigital Sdn Bhd, Layar Pictures, Sha's Media, Skop Productions dan banyak lagi.

Berita Harian X