Khamis, 26 November 2020 | 8:30am
Presiden Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM), Ahmad Ibrahim.
Presiden Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM), Ahmad Ibrahim.
Berita mengenai Alif Satar memberi kesedaran kepada pasukan produksi yang sedang menjalankan penggambaran supaya lebih menekankan soal keselamatan dan mematuhi SOP. - Foto IG Alif Satar
Berita mengenai Alif Satar memberi kesedaran kepada pasukan produksi yang sedang menjalankan penggambaran supaya lebih menekankan soal keselamatan dan mematuhi SOP. - Foto IG Alif Satar

Kes Alif beri kesedaran

KUALA LUMPUR: Kerisauan mula menghantui penggiat seni apabila penyanyi, pelakon dan pengacara, Alif Satar disahkan positif COVID-19, baru-baru ini.

Sebolehnya penggiat seni mahu menjaga tidak wujud kluster anak seni. Bagaimanapun, tiada guna menuding jari menyalahkan Alif, tiada siapa minta dijangkiti virus berbahaya itu.

Presiden Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM), Ahmad Ibrahim berkata, apa yang dirisaukan kini menjadi kenyataan apabila Alif disahkan positif COVID-19. Tetapi, tidak boleh menyalahkannya kerana Alif dijangkiti menerusi kontak rapat bukan dikalangan penggiat seni.

"Tidak dinafikan, FDAM sentiasa risau dengan situasi ini. Kita tahu, penggiat seni cukup terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu. Jika ada penularan di kalangan pasukan produksi, ia akan memberi impak buruk kepada warga industri ini.

"FDAM sentiasa menasihatkan dan menekankan warga seni sedang menjalankan penggambaran berwaspada dengan menjaga penjarakan fizikal dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

"Kami tak mahu wujudnya kluster anak seni. Kita tahu COVID-19 tidak mengenal mangsa, sesiapa sahaja boleh dijangkiti. Jadi, warga seni perlu memainkan peranan untuk mematuhi SOP dan menjaga kebersihan diri," katanya kepada BH Online.

Bagaimanapun, Ahmad berkata, berita mengenai Alif sedikit sebanyak memberi kesedaran kepada pasukan produksi yang sedang menjalankan penggambaran, ketika ini.

"Ada hikmah di sebalik apa yang berlaku. Ia sekurang-kurangnya dapat memberi pedoman pada pasukan produksi lain. Disebabkan itu, FDAM sentiasa menerima aduan orang ramai sekiranya kru balik tabir yang tidak memakai pelitup muka di lokasi penggambaran.

"Jangan ambil sikap sambil lewa, selain pelakon yang berada di hadapan kamera, kru balik tabir perlu memakai pelitup muka sepanjang masa. Pelakon yang sudah menyelesaikan babak lakonan perlu kembali memakai pelitup muka.

"Saya menekankan pada jurusolek, mereka kena sentiasa memakai pelitup muka kerana bersentuhan dengan orang ramai. Jangan berlagak, COVID-19 tidak mengenal mangsa. Jadi, sentiasalah mematuhi SOP dengan ketat," katanya.

Ahmad berkata, penerbit juga perlu mengelak orang luar memasuki kawasan penggambaran, bagi memastikan penularan pandemik COVID-19.

Pihak produksi perlu mengawal kemasukan orang luar. Jika nak lihat penggambaran, mereka boleh tengok dari jauh, tetapi jangan sampai memasuki kawasan penggambaran.

"Jika boleh, pelakon dan kru produksi elak bertemu orang ramai atau singgah ke mana-mana ketika dalam proses penggambaran. Ini teladan yang perlu diambil daripada situasi Alif.

"Teruslah pulang ke rumah dan elak perjumpaan dengan orang luar selepas selesai penggambaran. Saya percaya kekangan ini mampu mengelakkan penularan. Jadi, fikirlah sebaik-baiknya sesuatu tindakan," katanya.

Katanya, kekangan juga bagi menjaga kepentingan seluruh penggiat seni kerana tidak mahu kerajaan menarik semula kebenaran menjalankan penggambaran.

Sehubungan itu, katanya, setiap pemain industri seni perlu mempunyai kesedaran tinggi dalam soal itu.

"Namun, saya memuji ada syarikat produksi yang mengambil tindakan memberhentikan penggambaran serta merta ketika fasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Saya berharap warga seni bersikap jujur ketika menjalani ujian COVID-19. Sekiranya yakin sudah sembuh selepas dua minggu menjalani kuarantin barulah kembali bekerja, itupun atas kebenaran Kementerian Kesihatan (KKM)," katanya.

Katanya, FDAM tidak boleh sentiasa memastikan warga seni mematuhi SOP, jadi mereka perlu mempunyai kesedaran sendiri untuk mengelakkan penularan.

"FDAM tak dapat nak kawal semua penggambaran yang sedang berjalan. Jadi, setiap kru, pelakon dan pengarah yang terbabit dalam penggambaran jaga diri sendiri dan sentiasa ingat mengingati dalam mematuhi SOP.

"Bagaimanapun, kami akan sentiasa memantau secara rambang. Kami tak mahu penularan berlaku di kalangan anak seni. Saya sentiasa berdoa supaya penularan dapat dielakkan di kalangan pasukan produksi," katanya.

Berita Harian X