Isnin, 23 November 2020 | 5:40pm
Alif Satar cuba mengalih kegelisahan hati dan perasaan tidak tenteram dengan bersenam, mengaji serta pelbagai aktiviti lain. - Foto IG Alif Satar
Alif Satar cuba mengalih kegelisahan hati dan perasaan tidak tenteram dengan bersenam, mengaji serta pelbagai aktiviti lain. - Foto IG Alif Satar

Alif tenang, banyak baca al-Quran

KUALA LUMPUR: Hati mana yang tidak tenteram saat dimaklumkan suami tersayang disahkan positif COVID-19. Takut, sedih, bimbang dan segala-galanya bersarang dalam jiwa.

Ketakutan yang selama ini enggan dilalui sesiapa akhirnya terpaksa ditelan isteri penyanyi, Alif Satar, Sha Dila Halid, 35, apabila penyanyi lagu Nakal dan Lelaki Seperti Aku itu disahkan positif COVID-19, Ahad lalu.

Artis serba boleh itu membuat pengumuman melalui entri Instagram (IG), semalam, terkejut dengan keputusan yang diterima selepas menjalani ujian saringan di sebuah pusat perubatan di Melaka, sekali gus terpaksa akur menjalani menjalani proses kuarantin di sana.

Sebagai kontak rapat, Sha Dila dan tiga cahaya mata, Alisha Anugerah, 4, Ariana Mecca, 2, dan Muhammad Ali, 1,

sudah melakukan ujian calitan di kediamannya, jam 9.30 pagi, hari ini.

Alif Satar dan isteri, Sha Dila Halid berjauhan kerana penyanyi Lelaki Seperti Aku kini menjalani kuarantin di sebuah pusat perubatan di Melaka. - Foto IG Alif Satar
Alif Satar dan isteri, Sha Dila Halid berjauhan kerana penyanyi Lelaki Seperti Aku kini menjalani kuarantin di sebuah pusat perubatan di Melaka. - Foto IG Alif Satar

Sha Dila berkata, keputusan ujian calitan dijangka diketahui dalam tempoh 24 jam.

"Saya minta jauh daripada dijangkiti pandemik COVID-19, selama ini. Satu pengalaman yang saya percaya semua orang enggan melaluinya, tetapi akhirnya datang juga. Saya hanya reda dan pasrah. Jauh di lubuk hati, saya mengharapkan keputusan yang diperoleh menyebelahi saya dan anak-anak.

"Saya menitiskan air mata melihat tiga cahaya mata perlu melalui ujian calitan. Anak sulung agak okay dan hanya terkejut apabila melakukan ujian calitan pada bahagian hidung dan mulut.

"Anak kedua mulanya agak takut, tetapi berjaya ditenteramkan. Anak bongsu pula hanya menangis sekejap, kemudiannya kembali tenang," katanya kepada BH Online.

Mengenai keadaan suaminya, Sha Dila berkata, Alif dalam keadaan tenang dan enggan terlalu memikirkan apa yang dilaluinya ketika ini.

"Saya tahu emosi dan fikiran Alif terganggu, namun dia tak mahu larut dengan perasaan dan kegelisahan hati.

"Alif cuba alih perasaan tidak tenteram dengan bersenam, mengaji dan pelbagai aktiviti lain. Dalam masa sama, Alif juga risaukan keadaan saya dan anak-anak.

"Jika ikutkan, Alif nak minta dipindahkan ke pusat perubatan di Sungai Buloh, tetapi doktor tidak membenarkan. Saya tak putus berdoa supaya suami terus kuat dan sembuh secepat mungkin," katanya.

Alif Satar bersama isteri, Sha Dila Halid dan tiga cahaya mata, Alisha Anugerah, Ariana Mecca, 2, dan Muhammad Ali, 1. - Foto IG Sha Dila Halid
Alif Satar bersama isteri, Sha Dila Halid dan tiga cahaya mata, Alisha Anugerah, Ariana Mecca, 2, dan Muhammad Ali, 1. - Foto IG Sha Dila Halid

Sha Dila memohon peminat mendoakan keluarga dan kontak rapat lain akan mencapai keputusan negatif.

"Andai kata mendapat keputusan negatif, saya dan anak-anak akan melakukan ujian calitan buat kali kedua untuk memastikan kami benar-benar selamat dan negatif.

"Jujurnya, kerisauan yang bersarang di hati sangat menebal. Saya dan anak-anak tidak mengalami simptom yang mencurigakan. Tetapi, saya risau lain macam apabila terkena pada Alif. Saya mengharapkan doa supaya dijauhi pandemik COVID-19, biarpun kami dalam risiko tinggi," katanya.

Sha Dila berkata, kali terakhir bersua muka dengan suami selepas waktu Subuh pada Sabtu lalu.

"Alif melunaskan tanggungjawab mendendangkan lagu I Want You To Love Me pada Separuh Akhir Muzik Muzik (SFMM) Ke-35 di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam, Jumaat lalu. Dia bergerak ke Melaka ke Melaka untuk menghabiskan baki penggambaran drama Penjara Janji terbitan JS Pictures selepas subuh pada Sabtu.

"Suami mengetahui kontak rapat yang ditemui pada Selasa lalu positif COVID 19 pada tengah hari. Dia tidak lengah lagi terus ke sebuah pusat perubatan di Melaka untuk menjalani ujian saringan dan mendapat keputusan positif COVID-19, Ahad lalu," katanya.

Sebelum ini, menerusi entri IG, mohon maaf atas kesulitan yang berlaku.

"Perkara ini amat mengejutkan dan mendukacitakan. Perkara pertama yang difikirkan adalah keselamatan keluarga, isteri dan anak-anak termasuk rakan di set penggambaran dan kontak rapat.

"Saya mohon maaf atas segala kesulitan ini. Saya mohon doa semua supaya diberi kesembuhan dan kekuatan untuk menempuhi dugaan Allah SWT. Semoga semua rakan terhindar daripada sebarang kemudaratan," katanya.

Melalui perkongsian itu, Alif menyatakan sudah menyerahkan senarai nama dan butiran kontak yang dikenal pasti dalam tempoh 14 hari lalu kepada Kementerian Kesihatan.

Berita Harian X