Isnin, 23 November 2020 | 3:00pm
Walaupun pernah dikecam, Wani Syaz makin berani mencuba, sekali gus menyerlahkan sisi kematangannya. - Foto Wani Syaz
Walaupun pernah dikecam, Wani Syaz makin berani mencuba, sekali gus menyerlahkan sisi kematangannya. - Foto Wani Syaz

Anak Ustazah makin berani

KUALA LUMPUR: Walaupun anak Ustazah, ia tidak membataskan penyanyi, Wani Syaz, 24, untuk mencuba pelbagai genre muzik, termasuklah irama padang pasir dengan sentuhan muzik moden.

Tahun lalu, Wani mendapat kecaman atas cubaan menari menerusi video muzik lagu Pendusta Cinta, namun kali ini, berani mencuba sesuatu yang segar menerusi single terbaharu berjudul Habibi.

Wani atau nama sebenarnya, Nursyazwani Selamat berkata, dia kini lebih berani mengambil risiko untuk tampil dengan sesuatu yang berbeza menerusi single Habibi.

"Ramai netizen menyokong tindakan berani saya yang dahulu, tidak kurang juga mengecam. Namun, jika dilihat dari sudut positif, tindakan yang diambil amat bertepatan dengan lagu Pendusta Cinta, sekali gus menyerlahkan sisi kematangan saya.

"Sebagai anak seni, saya kena berani mencuba walaupun hakikatnya saya seorang yang pemalu, apatah lagi orang mengenali saya anak seorang Ustazah. Jujurnya, apabila mencuba, saya rasa selesa dan seronok pula.

"Jika tak mencuba, saya tak akan keluar daripada zon selesa, bimbang peminat akan bosan. Alhamdulillah, walaupun dikecam, muzik video Pendusta Cinta berjaya mencecah 26 juta tontonan menerusi laman di YouTube," katanya kepada BH Online.

Berkongsi lanjut mengenai single Habibi, Wani berkata, single yang dilancarkan di saluran YouTube FMC Music pada 16 November itu adalah ciptaan lDJ Fuzz, Aziquebeats dan Waris.

Ia juga adalah single kedua hasil kerjasamanya bersama Waris.

"Saya tiada masalah untuk menyanyikan lagu irama padang pasir kerana diterapkan sentuhan moden. Ia adalah genre kesukaan saya dan sangat bersesuaian dengan vokal.

"Saya mengharapkan orang ramai menonton muzik video Habibi, tiada yang akan kecam saya lagi. Berilah peluang kepada saya untuk keluar dari zon selesa.

"Jika boleh saya mahu mencuba genre yang jauh lebih berbeza pada masa akan datang supaya saya dapat membuktikan keupayaan dan mencabar kemampuan vokal," katanya.

Wani Syaz tampil dengan single Habibi bergenre padang pasir dengan sentuhan muzik moden. - Foto Wani Syaz
Wani Syaz tampil dengan single Habibi bergenre padang pasir dengan sentuhan muzik moden. - Foto Wani Syaz

Wani berkata, dia berharap muzik video Habibi meraih tontonan lebih tinggi berbanding muzik video Pendusta Cinta yang berjaya mencatat 26 juta tontonan dalam laman YouTube.

Tidak hanya itu, Wani berkata, menyertai pertandingan Gema Gegar Vaganza (GGV) musim pertama juga adalah salah satu langkah beraninya sepanjang bergelar anak seni.

"Sebelum menyertai GGV, ramai yang tidak tahu dan tak yakin dengan kemampuan saya membawakan lagu bernada tinggi, tetapi saya berjaya membuka mata ramai pihak termasuk syarikat rakaman, FMC Music," katanya.

Memulakan langkah sebagai penyanyi pada 2013, Wani muncul dengan single pertama berjudul I Cinta Jer, kemudian popular dengan lagu Lepaskan dan Gemala serta single duet bersama Wany Hasrita, Sinar Terindah.

Terdahulu, Wani pernah menghasilkan single bersama Juzztin berjudul Kembalilah dan Alhamdulillah, seterusnya bergandingan bersama Waris dalam Pendusta Cinta.

Mengulas mengenai dirinya yang boleh dikatakan antara penyanyi yang tidak mempunyai gosip dan cerita panas, Wani berkata, ia kerana sikap berhati-hati dan kurang bergaul sesama artis dalam industri hiburan.

"Saya bukan sombong atau tak suka bergaul, tetapi saya lebih selesa bersama Ummi walau ke mana sahaja pergi. Sekiranya Ummi tak ikut ke Kuala Lumpur, saya akan selalunya terus pulang ke Batu Pahat, Johor jika habis kerja. Saya lebih selesa dengan cara begini," katanya yang juga menguruskan Restoran Beezer box di Batu Pahat.

Berita Harian X