Selasa, 17 November 2020 | 1:00pm
Zakaria mengalukan syarikat penerbitan bermasalah untuk berunding dengan FINAS berhubung status pembikinan filem kenegaraan menggunakan DKD. Foto NSTP
Zakaria mengalukan syarikat penerbitan bermasalah untuk berunding dengan FINAS berhubung status pembikinan filem kenegaraan menggunakan DKD. Foto NSTP

Isu dana DKD, FINAS rujuk peguam

KUALA LUMPUR: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) mendapatkan pandangan peguam berhubung implikasi undang-undang terhadap cadangan mendedahkan nama 44 syarikat yang didakwa menyeleweng Dana Kandungan Digital (DKD) bernilai RM32 juta serta gagal menyiapkan filem kenegaraan.

Pengerusinya, Zakaria Abdul Hamid berkata, cadangan mendedahkan nama syarikat yang gagal menyiapkan filem kenegaraan melalui dana yang disalurkan sejak 2015 hingga 2019 perlu diperhalusi.

Zakaria berkata, semakan mendapati melalui perjanjian dimeterai bagi tempoh lima tahun itu, FINAS ditegah daripada mendedahkan nama penerima dana.

"Mengikut perjanjian asal yang dipersetujui bersama penerbit, ada klausa di mana FINAS dilarang mendedahkan senarai peminjam.

"Jadi, saya perlu berbincang bersama peguam kerana perjanjian itu dimansuhkan sejak saya mengambil alih tampuk pimpinan FINAS, Mei lalu.

"Saya perlu mendapatkan kepastian daripada peguam sama ada pendedahan melalui laman sesawang FINAS seperti yang dituntut beberapa pihak, boleh dilakukan atau tidak.

"Jika peguam memberikan lampu hijau, kita akan melaksanakannya dengan secepat mungkin," katanya kepada BH Online.

Baru-baru ini, Presiden Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM), Datuk Jurey Latiff Rosli menggesa FINAS menyenaraikan semua syarikat yang menerima geran atau dana kerajaan bagi menangani isu penyelewengan dalam kalangan pemain industri perfileman.

Jurey berkata, senarai itu perlu dipaparkan di laman web FINAS bagi tujuan semakan dan mengenal pasti syarikat produksi atau penggiat seni yang tidak menjalankan tanggungjawab mereka.

Zakaria berkata, FINAS bukan berniat memalukan syarikat berkenaan, sebaliknya, ini adalah tanggungjawab apatah lagi membabitkan duit kerajaan dan rakyat.

"Dana bukanlah pinjaman, maka ia wajar dipulangkan sekiranya penerbit tidak mampu melaksanakan kerja mereka," katanya.

Zakaria berkata, sejak menyertai FINAS, beliau sudah meminta peguam yang dilantik mengkaji semula perjanjian berkenaan berikutan klausa yang diguna pakai dianggap tidak masuk akal.

"Hanya dengan cara mendedahkan nama syarikat yang terbabit dalam media sahaja mampu membantu FINAS mendapatkan kembali dana yang diseleweng," katanya.

DKD diumumkan dalam pembentangan Bajet 2015 pada awalnya disalurkan kerajaan kepada pemain industri sebagai penggerak untuk mereka menghasilkan filem bertemakan kenegaraan.

Namun, projek itu gagal disiapkan syarikat terpilih.

Bagaimanapun, Zakaria berkata, FINAS boleh bertolak ansur dan fleksibel.

Malah, FINAS seboleh-bolehnya mengelak daripada mengambil tindakan terhadap syarikat terbabit.

"Jadi, penerbit yang gagal menyiapkan filem mereka adalah dialu-alukan untuk berbincang dengan FINAS, bukan lari atau mendiamkan diri," katanya.

Zakaria berkata, daripada 44 syarikat terbabit, FINAS masih gagal mendapatkan maklum balas daripada 12 syarikat.

"Profil semua 12 syarikat itu berpotensi untuk didedahkan sekiranya masih berdegil.

"FINAS bukanlah tidak berhati perut, sebaliknya kami sangat terbuka malah mengalu-alukan syarikat bermasalah untuk berbincang dengan kami.

"Setakat ini, hanya 12 syarikat yang masih tidak dapat dikesan termasuk produksi kecil.

"Ada kemungkinan mereka mempunyai syarikat lain tetapi menggunakan nama lain atas tujuan mengambil dana sahaja. Kita kurang pasti apa tujuan mereka berbuat demikian.

"Namun, kita akan berusaha mengesan pihak terbabit biarpun semakan di Pejabat Pendaftar Syarikat (ROC) mendapati ada syarikat yang sudah pun ditutup.

"Itu tidak menghalang kami daripada terus mengesan dan meminta mereka memulangkan wang dipinjam," katanya.

Zakaria berkata, pihaknya membahagikan kumpulan penerima DKK terbabit kepada tiga kumpulan.

Kategori pertama membabitkan syarikat penerbitan yang mengalami masalah projek terbengkalai tetapi masih menghubungi FINAS untuk menyelesaikan isu tertunggak.

"Kategori kedua membabitkan projek yang belum terbengkalai tetapi ditangguhkan kerana masalah tiada sumber untuk meneruskan kerja pasca produksi tetapi mereka masih berhubung dengan FINAS.

"Kategori ketiga adalah syarikat yang hilang dan tidak dapat dihubungi," katanya.

Zakaria berkata, tindakan tidak akan diambil terhadap syarikat dalam kumpulan pertama dan kedua.

"Namun, mereka tidak layak menerima dana selagi 'hutang' tidak dilangsaikan," katanya.

Tambahnya, FINAS tidak menetapkan sebarang tempoh untuk syarikat terbabit menyiapkan naskhah masing-masing, asalkan produk dihasilkan.

"Selepas ini, FINAS akan lebih bersikap berhati-hati. Apabila kita memansuhkan perjanjian yang dimeterai sebelum ini, maka FINAS tidak lagi terikat.

"Ini akan memudahkan kami mengambil tindakan seperti mendedahkan nama pihak terbabit dalam media jika kejadian seumpama itu berlaku lagi," katanya.

Sementara itu, dalam pengumuman terbaru, penggiat industri yang ingin memperbaharui lesen pengeluaran filem (PF) tidak perlu lagi menjadi ahli Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM).

Keputusan itu dicapai pada mesyuarat Ahli Perbadanan FINAS bagi memudahkan serta mempercepatkan proses pelesenan kepada syarikat produksi.

Zakaria berkata, pembaharuan PF kepada semua penggiat industri kreatif mengikut syarat ditetapkan di bawah Peraturan-Peraturan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Perlesenan) 1983 (Peraturan 1983), akan berkuat kuasa pada 1 Januari depan.

Berita Harian X