Jumaat, 13 November 2020 | 1:00pm
Ben Amir
Ben Amir

Saingan sengit Elly, Haqiem, Ben, Nana, Wany

KUALA LUMPUR: Setiap ramalan, boleh jadi benar belaka, mungkin juga igauan ngeri. Namun, segalanya terletak di tangan pengundi dalam menentukan siapa yang bakal menggenggam trofi Bintang Paling Popular?

Anugerah pencapaian tertinggi ini menjadi persoalan ramai dalam mengangkat 'bintang' yang menyusuri gelombang populariti dan kejayaan cemerlang, sepanjang tahun lalu.

Sekian lama berteka-teki, jawapan pasti akan ditemui peminat apabila Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-33 yang dibawakan syarikat elektronik multinasional China, Xiaomi sebagai penaja utama, akan disiarkan dari Axiata Arena, Bukit Jalil, jam 9 malam ini.

Bersiaran secara langsung menerusi kaca TV3, edisi ke-33 anugerah paling mungkinkah menyaksikan sebutir lagi 'permata' dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular atau mampukah si cantik, Mira Filzah mengulangi sejarah dilakarnya, tahun lalu?

Namun, apa yang pasti, kemenangan Bintang Paling Popular agak sukar diramal, tidak seperti tahun sebelum ini kerana pola populariti artis menyusuri gelombang turun naik sejak COVID-19 menyerang seluruh negara.

ABPBH 33 masih memperlihatkan persaingan sengit yang memungkinkan berlaku kejutan pada malam kemuncak ini.

Berdasarkan graf pencapaian, nama seperti Elly Mazlein, Haqiem Rusli, Ben Amir, Siti Nordiana dan Wany Hasrita memacu kehebatan, tahun lalu.

Elly Mazlein
Elly Mazlein

Seperti yang diketahui, watak Minah Selamat artis serba boleh, Elly Mazlein, 40, menerusi drama rantaian, Kampung People berjaya mencetuskan fenomena, sekali gus meletakkan namanya pada carta popular.

Elly atau lebih dikenali dengan panggilan Kak Lina Pom Pom membuktikan ke mana sahaja melangkah, dirinya pasti menjadi tumpuan peminat yang menyukai lakonan menerusi drama komedi itu. Nyata, impak populariti berlanjutan hingga drama Kampung People musim kedua apabila babak Minah Selamat menyanyikan lagu 4 Dara dan meminta nyanyiannya disambung menjadi tular.

Lebih dua dekad kukuh memahat nama sebagai penyanyi, pelakon dan pengacara, Elly membolosi empat kategori Pengacara TV Popular, Artis Versatil Popular, Pelakon TV Wanita Popular dan Gandingan Serasi Drama Popular bersama Rashidi Ishak untuk drama Kampung People, tahun ini. Mungkinkah Elly akan mencipta kejutan?

Begitu juga pelakon kacak, Ben Amir, 30. Selepas enam tahun berjuang, bakat besarnya hanya dipandang selepas mencipta fenomena menerusi drama rantaian, Sweet Dreams.

Perubahan imej dengan potongan rambut yang sesuai memperlihatkan ketampanan Ben atau nama sebenarnya, Muhammad Amir Sabaruddin sehingga menjadi kegilaan peminat drama Melayu. Selain itu, Ben bernasib baik bergandingan dengan heroin pujaan ramai yang baru sahaja diangkat sebagai Bintang Paling Popular, ABPBH 32, Mira pada ketika itu.

Nama Ben dan Mira melakar sejarah tersendiri apabila drama arahan Michael Ang itu menjadi trending dan sebutan ramai. Biarpun menerusi drama seterusnya, Chandelier yang menggandingkannya dengan Mimi Lana tidak mampu menandingi kehebatan drama Sweet Dreams, nama Ben sudah terpahat di hati pengikutnya.

Melihat pada gelombang populariti anak jati Kuala Lumpur ini, tidak mustahil Ben boleh diangkat sebagai Bintang Paling Popular, tahun ini. Ben membolosi dua kategori iaitu Pelakon TV Lelaki Popular dan Gandingan Serasi Drama Popular bersama Mira untuk drama Sweet Dreams.

Haqiem Rusli
Haqiem Rusli

Sukar menidakkan kredibiliti, populariti dan kemampuan penyanyi serta komposer muda, Haqiem Rusli, 22. Biarpun pernah mencetuskan kekecohan menerusi isu kemurungan dua tahun lalu, graf populariti tetap mencanak dari semasa ke semasa. Seiring dengan kontroversi 'makan diri', penyanyi lagu Adlina Marie itu sentiasa menampilkan hasil kerja yang bermutu dan cemerlang.

Bukan hanya cemerlang dalam nyanyian, Haqiem atau nama sebenarnya, Ridzuan Haqiem Rusli turut menyerlah dalam dunia penciptaan lagu. Lembah Kesepian ciptaannya dan lirik oleh Ibnu dan Gouffran berjaya membolosi malam kemuncak Anugerah Juara Lagu ke-34 (AJL34).

Sentuhan Haqiem berjaya meninggalkan impak buat peminat dan pencinta muzik, sekali gus menjadikannya antara penyanyi serta komposer muda yang mampu membina empayar muzik tersendiri. Haqiem menembusi pencalonan bagi kategori Penyanyi Lelaki Popular Xiaomi Malaysia dan Lagu Paling Boom Popular menerusi Lembah Kesepian dan Selamat Tinggal Sayang.

Siti Nordiana
Siti Nordiana

Saban tahun, nama penyanyi, pelakon dan artis versatil, Siti Nordiana atau Nana, 36, tidak pernah tercicir daripada pencalonan ABPBH. Bagaimanapun, penyanyi lagu Angkara itu gagal membolosi kategori penyanyi disebabkan hanya bersandarkan pada satu single yang kurang popular, tahun lalu.

Namun, penyanyi bersuara lunak yang pernah dinobatkan sebagai Penyanyi Wanita Popular pada ABPBH 2017 dan 2019 itu berjaya menembusi pencalonan Artis Versatil Popular, Artis Kolaborasi/Duo/Berkumpulan Popular bersama Khai Bahar dan Lagu Paling Boom Popular menerusi lagu Hatiku Milikmu.

Kekuatan Nana pada kelab peminat, Siti Nordiana FC yang dipelopori golongan profesional yang sentiasa menyokong juara program Gegar Vaganza musim kedua itu. Biarpun, graf aktiviti seni Nana dilihat bergerak perlahan, tahun lalu, penyanyi kelahiran Felda Sendayan itu pandai merangka strategi untuk kekal relevan. Selain single Satukan Rasa, Nana mempertaruhkan drama berjudul sama, bergandingan dengan Khai Bahar.

Tidak mustahil Siti Nordiana FC bekerja habis-habisan seperti tahun sebelumnya bagi memastikan impian melihat Nana menggenggam trofi Bintang Paling Popular.

Wany Hasrita
Wany Hasrita

Usah pandang ringan kepada penyanyi, Wany Hasrita, 28, yang pernah diangkat Bintang Paling Popular dan Penyanyi Wanita Popular pada ABPBH 31.

Biarpun Wany dilihat gagal mempertahankan trofi Bintang Paling Popular, tahun lalu, penyanyi yang pernah mencipta fenomena menerusi lagu Menahan Rindu kembali mengganas menerusi ABPBH 33.

Kembali menyusun rentak dan gelombang baharu, Wany muncul dengan lagu popular, Terlalu Memuja dan muncul bersama penyanyi legenda, Datuk Jamal Abdillah menerusi lagu duet, Belenggu Rindu, tahun lalu.

Apakah Wany kembali merampas takhta Bintang Paling Popular? Seperti yang diketahui, Wany mendapat sokongan kelab peminat fanatiknya, The Nizers yang sentiasa bertungkus-lumus dan bijak merangka strategi kempen demi memastikan penyanyi kesayangan mereka sentiasa dalam sanjungan.

Apa juga keputusan, tepuk dada, tanya hati.

Berita Harian X