Khamis, 12 November 2020 | 12:00pm
Mira Filzah membolosi enam kategori pencalonan menerusi ABPBH 33. - Foto IG Mira Filzah
Mira Filzah membolosi enam kategori pencalonan menerusi ABPBH 33. - Foto IG Mira Filzah

Mira tak tertekan

KUALA LUMPUR: Dicalonkan dalam enam kategori pada Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-33 yang bakal disiarkan secara langsung dari Axiata Arena, Bukit Jalil, esok, pelakon dan pengacara, Mira Filzah tidak tertekan.

Diangkat sebagai Bintang Paling Popular ABPBH 32, isteri kepada Wan Emir Astar ini akur dengan situasi semasa ketika rakyat berdepan penularan COVID-19 serta mula membiasakan diri mengamalkan norma baharu dalam kehidupan.

Dilihat lebih tenang, Mira mengaku tidak meletakkan jangkaan untuk meraih mana-mana trofi.

"Teras ABPBH adalah sokongan dan undian peminat. Dengan keadaan semasa penularan COVID-19, saya tahu masing-masing bergelut.

"Saya sudah beritahu kelab peminat, Miraclegacy untuk tidak meletakkan sebarang tekanan. Cukuplah mereka berusaha semampu. Ada rezeki... adalah.

"Bagi saya, tahun ini, lebih positif di mana tiada tekanan langsung," katanya kepada BH Online.

Pada ABPBH 33, Mira bersaing dalam empat kategori utama dan dua kategori online. Kategori utama yang dibolosi Mira adalah Artis Versatil Popular, Pengacara TV Popular, Pelakon TV Popular dan Pelakon Filem Popular.

Bagi kategori online, Mira tercalon dalam kategori Gandingan Serasi Filem hasil lakonannya dalam filem Sangkar bersama Zul Ariffin dan Gandingan Serasi Drama membabitkan dua judul iaitu Sweet Dreams bersama Ben Amir dan Adellea Sofea bersama Ungku Ismail.

Mira Filzah dinobatkan Bintang Paling Popular, ABPBH 32. - NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman
Mira Filzah dinobatkan Bintang Paling Popular, ABPBH 32. - NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman

Mira teruja sebaik mendapat perkhabaran ABPBH 33 akan dianjurkan dengan penerapan norma baharu.

"Saat dapat tahu ABPBH 33 dilangsungkan. ia bagai suatu rahmat. Dalam soal apa sekalipun saya berserah.

"Kalau sudah tertulis rezeki ada tahun ini, Insya-Allah. Kalau tidak mungkin rezeki milik orang lain," katanya yang memenangi trofi Pelakon TV Wanita Popular dan Pelakon Filem Wanita Popular pada ABPBH 32.

Mira tidak lupa mengucapkan kepada peminat termasuk yang bergabung di bawah Miraclegacy yang gigih mengundinya.

"Terima kasih untuk setiap masa dan usaha semua. Saya amat menghargainya. Hendak belanja makan atau mengadakan majlis berkumpul ramai-ramai pun masih tidak boleh lagi dengan keadaan semasa negara. Perancangan hendak buat kenduri bersama peminat juga tidak kesampaian.

"Insya-Allah suatu hari nanti. Apa yang penting kita jaga diri dan kesihatan. Sama-sama kita beringat," katanya.

Mira Filzah bersama suami, Wan Emir Astar. - Foto IG Mira Filzah
Mira Filzah bersama suami, Wan Emir Astar. - Foto IG Mira Filzah

Sementara itu, berkongsi kehidupan rumah tangga yang sudah lebih dua bulan, Mira mengakui banyak perkara dipelajari dan diperbaiki.

Rumah tangga yang dibina sejak 3 September lalu membuat pemilik nama penuh, Nur Amirah Filzah Badioezaman lebih fokus terutama dalam aspek pengurusan masa.

Demi menikmati masa berdua, Mira ketika ini hanya terbabit dalam program Nona terbitan TV3 selain komitmen tertentu yang sudah dipersetujui awal.

Mira berkata, dia hanya mahu memberi tumpuan kepada karier lakonan, akhir tahun ini.

"Pastinya status bergelar isteri ini sentiasa membuka ruang untuk saya belajar selok belok rumah tangga dan menguruskannya sebaik mungkin.

"Pengurusan masa saya pun lebih teratur dan banyak perkara dapat dibuat sekali gus menjadi pengalaman berharga.

"Saya sudah maklumkan kepada pengurus untuk tidak mengambil apa-apa tawaran berlakon buat seketika.

"Biar ada tempoh untuk saya betul-betul kenal dan belajar mengenali suami dengan lebih mendalam," katanya yang akan berlakon drama baharu yang disiarkan Astro Ria, bulan depan.

Katanya, komitmen rakaman program Nona juga tidak mengambil masa lama.

"Jadi, sementara ada ruang senggang ini, saya hendak menghabiskan masa bersama suami. Banyak juga urusan saya dan suami hendak berpindah dan membuat dekorasi rumah baharu.

"Kami usahakan sedikit demi sedikit. Selain itu, saya juga lebih banyak masa memasak untuk suami.

"Saya hendak uruskan makan pakainya," katanya yang mempunyai akaun YouTube bersama suami di bawah nama Emiramirah.

Berita Harian X