Jumaat, 6 November 2020 | 6:00pm
Gelombang populariti yang dikecapi menerusi drama, nyanyian dan pengacaraan melayakkan Elly Mazlein membolosi empat kategori dalam ABPBH 33. - Foto IG Elly Mazlein
Gelombang populariti yang dikecapi menerusi drama, nyanyian dan pengacaraan melayakkan Elly Mazlein membolosi empat kategori dalam ABPBH 33. - Foto IG Elly Mazlein

Gelombang populariti Elly Mazlein

KUALA LUMPUR: Watak Minah Selamat lakonan pelakon dan penyanyi, Elly Mazlein dalam drama rantaian, Kampung People berjaya mencetuskan fenomena, sekali gus meletakkan namanya pada carta popular.

Elly atau lebih dikenali dengan panggilan Kak Lina Pom Pom membuktikan ke mana sahaja melangkah, dirinya pasti menjadi tumpuan peminat yang menyukai lakonan menerusi drama bergenre komedi itu.

Ternyata impak populariti berlanjutan hingga drama Kampung People musim kedua apabila babak Minah Selamat menyanyikan lagu Empat Dara dan meminta nyanyiannya disambung menjadi tular.

Ramai peminat termasuk golongan selebriti menyahut cabaran Elly menyambung nyanyiannya dan memuat naik dalam media sosial, sekali gus menjadikan karakter Minah Selamat itu semakin hangat diperkatakan.

Barangkali, pasti akan ada yang menyangka watak Minah Selamat cukup mudah buat penyanyi yang pernah popular menerusi lagu Usah Ditambah Bara Yang Tersimpan itu. Namun, hakikatnya pemilik nama penuh, Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi beranggapan karakter berkenaan sangat berat buatnya.

"Saya kena selitkan elemen komedi dengan cara tersendiri supaya karakter Minah Selamat sentiasa diingati. Karakter ini sebenarnya sangat memenatkan.

"Saya pasti keletihan memandangkan banyak tenaga yang perlu diberikan untuk watak Minah, Mona, Meringue atau Badak Berendam selepas menamatkan setiap babak dalam drama ini. Bayangkan, ada empat nama semuanya.

"Tak dinafikan, saya jadi tertekan selepas karakter Minah Selamat menjadi popular pada musim pertama. Saya tertekan mahu memberikan yang terbaik. Mana tidaknya, tentunya ramai yang mengharapkan watak ini akan lebih menyerlah selepas berjaya mencetuskan fenomena," kongsi Elly ketika ditemubual dalam kapsul hiburan BHTV, Apa Kes? baru-baru ini.

Ditanya apakah inspirasi yang diambil ketika melakonkan babak menyanyikan lagu Empat Dara sebelum nyanyiannya itu disambung ibunya, Dona lakonan Adibah Noor, pelakon berusia 39 tahun itu berkata, idea tercetus berdasarkan karakter makcik kumpulan marhaban yang sering dilihatnya di kampung.

"Ia dibuat secara spontan dan ia diambil berdasarkan makcik marhaban di kampung. Selalunya, apabila ada majlis cukur jambul atau kenduri akikah, pasti ada kumpulan marhaban yang menjadi penyeri. Dalam kalangan mereka, pasti ada yang menyanyi dalam nada tinggi dan gaya nyanyian bersahaja itulah yang saya tiru. Tak sangka pula menjadi tular.

"Sejujurnya, saya terharu apabila ramai suka dengan babak ini. Ada makcik marhaban menghantar mesej pada saya sambil menyanyikan lagu ini. Itu belum masuk makcik yang berjumpa saya di luar. Kebanyakan menegur dan kami akan menyanyikan lagu ini bersama. Kiranya, kami boleh jadi kawan disebabkan watak Minah Selamat," ujarnya dalam nada sebak.

Gelagat Elly Mazlein mendendangkan lagu Empat Dara menerusi babak Minah Selamat dalam drama Kampung People mencetuskan fenomena. - Foto IG Elly Mazlein
Gelagat Elly Mazlein mendendangkan lagu Empat Dara menerusi babak Minah Selamat dalam drama Kampung People mencetuskan fenomena. - Foto IG Elly Mazlein

Berikutan populariti watak yang digalasnya itu, nama Elly membolosi senarai calon top 20 menerusi empat kategori Anugerah Bintang Popular BH Ke-33 (ABPBH 33) yang bakal berlangsung pada 13 November ini. Empat kategori itu adalah Pengacara TV Popular, Artis Versatil, Pelakon TV Wanita Popular dan Gandingan Serasi Drama bersama Rashidi Ishak menerusi drama Kampung People.

Mengulas pencalonannya itu, isteri kepada guru dikenali sebagai Mohamad Azlan Che Nuh menyifatkannya sebagai hadiah paling bermakna selepas lebih dua dekad berada dalam belantara seni.

"Saya nak ucapkan terima kasih kepada peminat yang menyokong kerjaya seni dan penganjur, BH yang mencalonkan nama saya. Tak pernah terfikir saya akan menerima pengiktirafan seperti ini selepas lebih dua dekad bergelar anak seni. Ia umpama satu sejarah buat saya secara peribadi.

"Terima kasih juga sentiasa memberi saya semangat. Walaupun menembusi pencalonan, tetapi ia sudah memadai. Saya dapat merasakan diri ini disayangi dan diraikan," kata Elly sambil menyeka air mata.

Berkongsi kehidupannya selepas 10 bulan mendirikan rumah tangga, bekas peserta Gegar Vaganza musim ketiga itu berkata, kebahagiaan mengulit dirinya ketika ini.

"Alhamdulillah, saya gembira dan bahagia dengan kehidupan sekarang. Abah dan anggota keluarga lain bersyukur dikurniakan menantu yang baik seperti suami. Soal cahaya mata, saya hanya berserah pada perancangan yang disusun Allah SWT. Jika ada rezeki, insya-Allah pasti akan berkongsi dengan peminat," janjinya sebelum menamatkan perbualan.

Berita Harian X