Ahad, 1 November 2020 | 2:56pm
Nur Fazura
Nur Fazura

ABPBH 33 : 10 artis dahului undian

PETALING JAYA: Sepuluh calon pelbagai kategori Anugerah Bintang Paling Popular BH (ABPBH) Ke-33 diumumkan mendahului undian sejak proses pencarian pemenang dilancarkan pada 7 Oktober lalu.

Artis terbabit adalah Aiman Tino; Alif Satar; Nur Fazura; Haqiem Rusli; Haziq; Hun Haqeem; Khai Bahar; Sherry Alhadad; Siti Nordiana dan Zahiril Adzim.

Kumpulan artis ini merangkumi penyanyi, pelakon, penyampai radio dan pelawak, malah ada dalam kalangan mereka dianggap bintang versatil yang menguasai lebih daripada satu bidang.

Siti Nordiana
Siti Nordiana

Bagaimanapun, pengumuman yang dibuat penganjur ABPBH 33 dalam program hiburan terbitan TV3, Melodi dan sidang media virtual di sini, hari ini, bukanlah jaminan artis terbabit bakal beroleh kemenangan.

Pengarang Berita Hiburan BH, Shamshul Azree Samshir, berkata, peminat masih boleh mengundi artis pilihan dengan melayari www.abpbh.com.my sehingga tarikh akhir pada 8 November ini.

"Senarai 10 artis yang mendahului pencalonan ini boleh dianggap gambaran awal terhadap minat dan kecenderungan penyokong terhadap selebriti pujaan.

"Artis tersenarai sama ada memiliki produk yang baik dan viral, juga dilihat mempunyai hubungan rapat dengan peminat melalui sosial media yang menjadi medium utama komunikasi sejak penularan COVID-19.

"Apa yang penting, kuasa masih lagi di tangan peminat kerana tarikh tutup undian ABPBH 33 adalah pada 8 November ini," katanya kepada BH Online.

Hun Haqeem
Hun Haqeem

Sidang media virtual itu turut mengumumkan pengacara, penyanyi dan pelakon popular, Datuk AC Mizal sekali lagi mengemudi malam kemuncak ABPBH bagi edisi ke-33.

Kali ini, AC digandingkan dengan pelakon, Nabila Huda.

Turut diumumkan pengisian malam kemuncak yang bakal dijayakan bintang layak bergelar lagenda dan bakat baharu.

Pentas ABPBH 33 bakal dihangatkan dengan persembahan duet dan berkumpulan membabitkan gandingan Azlan Typewriter, Yonniboii dan Zynakal; Faizal Tahir, Elly Mazlein, Syamel, Zizi Kirana dan Dolla; Ernie Zakri dan Hafiz Suip serta Naim Daniel, Tuju dan Man Keedal.

Tidak ketinggalan, Aina Abdul, Indah Ruhaila, Tomok dan Lan Solo serta pasangan adik-beradik, Liza Aziz dan Azlina Aziz bersama Noki K-Clique.

Haqiem Rusli
Haqiem Rusli

Turut tersenarai, bakat baharu, Yonniboii dan pasangan duet, Shalma Eliana yang akan mempersembahkan lagu tema Xiaomi Malaysia iaitu Xiaomi For Me!

Pentas ABPBH 33 turut dihangatkan dengan sketsa komedi yang dijayakan Khir Rahman, Liza Abdullah, Nora Danish, Joey Daud, Man dan Kaka Azraff.

ABPBH 33 turut memberi penghargaan dan pengiktirafan kepada anak seni melalui kategori khas, Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat. Penerima anugerah ini bakal diumumkan pada malam kemuncak kelak.

Sementara itu, barisan penyampai trofi yang dipilih adalah dalam kalangan personaliti dan artis hebat yang memiliki reputasi tersendiri dalam bidang diceburi.

Mereka adalah Datuk Rosyam Nor, Saiful Apek, Ramlah Ram, Shaheizy Sam, Zul Ariffin, Siti Nordiana dan Wany Hasrita.

Bagi segmen karpet merah pula, gandingan Sean Lee dan Sissy Imann pasti menghangatkan lagi liputan eksklusif dari Axiata Arena, Bukit Jalil, di sini.

Zahiril Adzim
Zahiril Adzim

Malam kemuncak ABPBH 33 bakal menobatkan Bintang Paling Popular yang dipilih dalam kalangan calon Top 20 yang memperoleh undian tertinggi membabitkan 13 kategori.

Tiga belas kategori itu adalah Artis Baharu Lelaki Popular, Artis Baharu Wanita Popular, Penyanyi Lelaki Popular Xiaomi Malaysia, Penyanyi Wanita Popular Xiaomi Malaysia dan Artis Kolaborasi/Duo/Berkumpulan Popular.

Kategori lain adalah Pelakon Filem Lelaki Popular, Pelakon Filem Wanita Popular, Pelakon TV Lelaki Popular, Pelakon TV Wanita Popular, Artis Versatil Popular, Artis Komedi Popular, Pengacara TV Popular dan Penyampai Radio Popular.

Turut dipertandingkan adalah lima kategori 'online' iaitu Gandingan Serasi Drama Popular, Gandingan Serasi Filem Popular, Lagu Paling Boom Popular, Artis Kontroversi Popular dan FC #FANtastik Popular.

Sebelum ini, ABPBH 33 mengumumkan Xiaomi, iaitu sebuah syarikat elektronik multinasional China yang ditubuhkan pada April 2010 dan beribu pejabat di Beijing, sebagai penaja utama.

Xiaomi melabur dalam pengeluaran telefon pintar, aplikasi mudah alih, komputer riba, perkakas rumah, beg, kasut, elektronik pengguna dan pelbagai produk lain.

Berita Harian X