Khamis, 29 Oktober 2020 | 8:36am
Pengerusi FINAS, Zakaria Abdul Hamid bersama pelakon dan kru drama rantaian, Sang Pewaris terbitan Global Station Sdn Bhd yang menjalani ujian calitan COVID-19 di Kelab Golf Tasek Puteri, Rawang, Selangor, Isnin lalu. - Foto FINAS
Pengerusi FINAS, Zakaria Abdul Hamid bersama pelakon dan kru drama rantaian, Sang Pewaris terbitan Global Station Sdn Bhd yang menjalani ujian calitan COVID-19 di Kelab Golf Tasek Puteri, Rawang, Selangor, Isnin lalu. - Foto FINAS

Insentif saringan dilanjut

KUALA LUMPUR: Insentif Saringan Prihatin bernilai RM5,000 diperkenalkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dilanjutkan selama dua minggu selaras Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya yang disambung sehingga 9 November depan.

Pengerusi FINAS, Zakaria Abdul Hamid, berkata syarikat produksi yang sedang menjalani penggambaran di tiga zon terbabit boleh memohon insentif disediakan kerajaan sebagai langkah keselamatan mencegah penularan COVID-19.

Meninjau proses saringan COVID-19 dikendalikan kumpulan produksi drama rantaian Sang Pewaris terbitan Global Station Sdn Bhd di Kelab Golf Tasek Puteri, Rawang, Selangor, Isnin lalu, Zakaria berpuas hati dengan inisiatif diambil syarikat terbabit.

Zakaria berkata, ini menunjukkan keprihatinan syarikat produksi memastikan keselamatan dan kesihatan tenaga kerja terjamin.

"Saya dimaklumkan Bahagian Pelesenan FINAS, ada beberapa syarikat produksi yang sudah membuat permohonan menjalani ujian saringan berkumpulan di lokasi penggambaran masing-masing.

"Kami mengucapkan terima kasih kepada syarikat produksi kerana menyahut seruan kerajaan demi memastikan tiada penularan wabak COVID-19 di lokasi.

"Ini langkah proaktif penggiat seni untuk memutuskan rantaian COVID-19," katanya kepada BH Online.

Pengerusi FINAS, Zakaria Abdul Hamid meninjau proses saringan COVID-19 dikendalikan Global Station Sdn Bhd di Kelab Golf Tasek Puteri, Rawang, Selangor, Isnin lalu. - Foto FINAS
Pengerusi FINAS, Zakaria Abdul Hamid meninjau proses saringan COVID-19 dikendalikan Global Station Sdn Bhd di Kelab Golf Tasek Puteri, Rawang, Selangor, Isnin lalu. - Foto FINAS

Zakaria berkata, pada kunjungan itu, beberapa pelakon dan tenaga produksi menyatakan terima kasih atas keprihatinan FINAS menyediakan dana membolehkan anak seni menjalani ujian saringan percuma.

"Datuk Fizz Fairuz, Shila Mambo, Harun Hashim dan beberapa kru produksi mengucapkan terima kasih kepada FINAS.

"Saya dapati ada antara mereka tidak menjalani ujian kerana tiada gejala. Apabila tiada gejala, jadi sukar untuk mereka menjalani sendiri ujian.

"Apabila FNAS sediakan dana dan penerbit memanggil petugas klinik datang membuat ujian 'swab', sedikit sebanyak ia memudahkan produksi," katanya.

Bagaimanapun, Zakaria berkata, ada individu terutama kru menjalani ujian calitan sendiri kerana bimbang bertemu ramai orang di lokasi penggambaran.

"Sebagai langkah berjaga-jaga, mereka ambil inisiatif melakukan sendiri ujian.

"Kebanyakan mereka was-was dan takut ke lokasi, terutama artis yang perlu berlakon dalam keadaan rapat.

"Jadi, setiap kali berlakon, mereka ragu-ragu dari segi keselamatan. Jadi dengan ujian saringan dilakukan, sedikit sebanyak melegakan mereka," katanya.

Datuk Fizz Fairuz menjalani ujian calitan menerusi Insentif Saringan Prihatin yang diperkenalkan FINAS. - Foto FINAS
Datuk Fizz Fairuz menjalani ujian calitan menerusi Insentif Saringan Prihatin yang diperkenalkan FINAS. - Foto FINAS

Sementara itu, Pengarah Urusan Global Station Sdn Bhd, Zetty Alia Ramly berkata, pemberian insentif kepada syarikat produksi sangat membantu meringankan beban penerbit.

Katanya, sejak sesi penggambaran dilakukan dalam keadaan norma baharu, penerbit terpaksa menanggung kos tambahan bagi membeli alat sanitasi, pelitup muka dan alat pengimbas suhu.

Justeru, dana RM5,000 diberikan kepada produksi tentunya memberi kelegaan kepada penerbit.

"Sebelum ini, saya sentiasa mengingatkan seluruh tenaga produksi termasuk pelakon, sekiranya tidak sihat, bersikap jujur pada diri sendiri.

"Selain itu, tolong jangan datang ke lokasi kerana kita bimbang wujudnya kluster baharu. Tetapi melalui ujian saringan dijalani dengan dana disediakan FINAS, kami tidak perlu lagi bimbang wujud penularan di set penggambaran," katanya.

Alia berkata, bagi mengelak risiko kepada tenaga kerjanya, dia menangguhkan penggambaran di kawasan dikategorikan Zon Merah.

Keputusan itu dibuat selepas kru dan pelakon menyuarakan kerisauan mereka.

"Bagi penggambaran di zon selamat, kami sentiasa memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi kru.

"Selain itu, seboleh mungkin, kami mengelak ke lokasi ramai orang, sebaliknya hanya mereka diperlukan saja berada di lokasi bagi memudahkan kami memantau keadaan," katanya.

Berita Harian X